Skip to main content
Education

Ucapan Perasmian Kongres Wanita KEADILAN Nasional Ke-10 Tahun 2014

By 22 August, 2014February 5th, 2021No Comments

Kita baru sahaja menyelusuri hari-hari penuh getir – bukan sahaja buat keluarga KEADILAN menerusi pemilihan serba sengit yang mempamerkan perbedaan dalaman tetapi juga tragedi dan dugaan nasional menerusi MH370 & MH17.

Hari ini ternyata hari kita berkabung buat mereka yang meninggalkan kita; kita sedekahkan doa allah umma firlahum warham hum wa a’ fihi wa’ fuanhum khusus jua buat Allahyarham Ahmad Hakimi Hanapi, sebahagian drp keluarga besar Abim Dan wadah yang sempat bersama DSAI Ramadhan yang lepas serta anggota keluarga sdr zulrushdi, mantan calon kita di Sarawak. Moga kesemua keluarga mangsa tabah menghadapi Dugaan ini. Sahabat lain dipinta bertafakur sejenak.

Sebaiknya kita mencontohi Perdana Menteri Netherlands Mark Rutte dalam ketegasannya untuk mengetuai penyiasatan terhadap tragedi ini bagi membela nasib rakyat mereka.

Yang kita pinta adalah pimpinan kerajaan pusat agar jelas dengan tindakan seterusnya beserta Saranan samada menggunapakai laluan ICJ seperti Iran Air dalam kejayaan meraih pampasan, ataupun menganggotai ICC untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab membunuh rakyat kita dan tetamu-tetamu Malaysia yang lain didapati bersalah dan dihukum setimpal dengan jenayah yang telah mereka lakukan.

Sidang perwakilan Wanita KEADILAN yang saya dikasihi:

Kongres KEADILAN Nasional ke 10 ini memperlihatkan 15 tahun kita mendepani cabaran menghidupkan bukan sahaja sebuah parti, malah cabaran untuk bersama mengangkat agenda reformasi untuk wanita.

Kita hairan mengapa sehingga ke hari ini, masih ramai lagi di kalangan masyarakat kita yang masih menganggap wanita selaku pemimpin dan ketua itu suatu yang dianggap asing dan “taboo”. Lebih-lebih lagi mereka yang menggunakan hujah agama bagi menghalang wanita dari terus memimpin.

Kita harus melihat ke kiri dan ke kanan dan memberi ucapan tahniah buat semua wanita, calon wanita yang telah berani mengorak langkah untuk bertanding, untuk berkempen, menempa nama dalam sejarah Dan arena politik tanah air.

Sejarah telah membuktikan bahawa wanita turut mempunyai pengaruh yang besar dalam melakar corak pembentukan negara yang kita ada pada hari ini.

Tokoh-tokoh seperti Shamsiah Fakeh, Tan Sri Paduka Seri (Dr.) Aishah Ghani, Tan Sri Datin Sri Cempaka Kontik Kamariah dan Dato’ Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang masing-masing telah memberikan sumbangan mereka yang tersendiri kepada Malaysia.

Kita mungkin tidak bersetuju dengan sesetengah aliran-aliran pemikiran politik mereka, namun, tiada siapa yang boleh menafikan akan sumbangan mereka, termasuklah teman-teman sekalian dalam pembentukan negara yang kita cintai ini.

KEADILAN merupakan sebuah parti yang memperjuangkan keadilan buat semua; dengan penumpuan mengurangkan jurang ekonomi sosial dan juga politik.

Sasaran 30 peratus penglibatan calon wanita – diterajui KEADILAN jua. Jangan dilupa bahawa Keadilan merupakan Parti Politik Utama Malaysia yang pertama yang mempunyai seorang wanita sebagai Presiden Parti.

Allah SWT berfirman: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”- (surah At-Taubah, ayat 71)

Disini juga jelas bagi umat Islam bahawa, apa yang penting bukanlah gender dalam isu kepimpinan, akan tetapi atas isu apa yang mereka bawa bersama-sama dalam perjuangan. Jika yang dilawan adalah kezaliman, maka tiada salahnya perempuan untuk memimpin.

Di dalam sejarah umat Islam, Saidatina Aisyah, isteri Nabi diakui dalam kepimpinannya terutama dalam usahanya menuntut bela atas kematian Khalifah Uthman.

Malah, jika kita masih ingat diceritakan oleh Allah atas pengiktirafannya dengan kepimpinan Ratu Balqis, sebagai wanita di peringkat yang tertinggi yang memimpin kerajaan Saba’ membawa kebaikan dunia dan akhirat untuk umatnya setelah bertaubat, dan ini juga menjadi hujjah Dr Yusoff Al-Qaradawi dalam mengharuskan wanita memegang jawatan tertinggi.

Malah banyak lagi contoh yang boleh saya bawakan seperti yang disebut oleh tokoh Muslimah, Fatima Mernissi (1993) dalam bukunya “The Forgotten Queen of Islam” yang menyenaraikan sejumlah pemimpin-pemimpin Islam wanita dunia sepanjang sejarah termasuklah Malika Asma dan Arwa yang memimpin Yemen pada tahun 1091-1138, Sultanah-Sultanah di Mesir, India, Maldives, Indonesia dan Mongol, seterusnya pemimpin wanita Islam moden seperti Benazir Bhutto dan Megawati Sukarnoputri yang menjadi pemimpin tertinggi negara masing-masing.

Saudari perwakilan Wanita yang saya kasihi sekalian,

Cabaran kita yang lebih getir ialah cabaran yang didatangkan oleh isu-isu yang lebih dekat dengan kita, isu-isu “bread and butter” yang memberikan kesan kepada kita semua secara langsung.

Kita mesti mengakui bahawa pengaruh suri-rumah dalam menentukan hala tuju rumah tangga secara khususnya amat besar sekali. Ini seterusnya boleh secara langsung mempengaruhi kemanakah haluan politik keluarga.

Menurut statistik tahun 2013, 3.37 juta wanita Malaysia dikategorikan sebagai surirumah tangga sepenuh masa. Angka ini merupakan sebuah angka yang amat besar. Pengorbanan mereka ini dalam menguruskan keluarga tanpa sebarang ganjaran kewangan tidak boleh kita perkecilkan.

Menjadi misi utama bagi sayap wanita KEADILAN, untuk memikirkan cara-cara mendekati suri rumah tangga serta wanita yang lain, untuk mengukuhkan sokongan golongan ini kepada perjuangan parti.

Untuk mengukuhkan sokongan kepada Parti, kita perlu terlebih dahulu mengukuhkan wanita dengan ilmu pengetahuan.

Harus diingat bahawa bagi suri rumah tangga yang menguruskan perbelanjaan keluarga, sudah pasti isu seperti GST yang akan diperkenalkan pada tahun 2015 akan memberikan kesan yang amat mendalam.

GST ini akan menjerumuskan lebih banyak isi rumah ke dalam kemiskinan tegar. Kuasa membeli rakyat Malaysia yang sememangnya sudah rendah akan menjadi lebih rendah lagi.

Sebagai sebuah parti politik yang prihatin akan kesusahan yang bakal dihadapi oleh rakyat, kita perlulah memikirkan cara untuk memastikan hanya impak minima dirasai, terutamanya bagi golongan suri rumah dan ibu tunggal.

Tahun lepas, saya berpeluang meluangkan masa untuk mendengar idea-idea yang bernas daripada Prof. Muhammad Yunus, yang mengasaskan Grameen Bank.

Grameen Bank, bersama-sama Prof. Yunus telah memenangi hadiah nobel atas usaha mereka meningkatkan kehidupan rakyat termiskin di Bangladesh, dengan memberikan pinjaman mikrokredit kepada suri rumahtangga untuk menjalankan perniagaan.

Idea-idea ini telahpun saya gunapakai untuk melancarkan program Skim Usahawan Wanita di Lembah Pantai melalui NGO TechOutreach yang memberikan pinjaman tanpa faedah, serta latihan keusahawanan kepada wanita-wanita terpilih. Why women only ? Some men ask – we answer because women control their purses , the best. Ibu yang menghayun buaian bakal mengubah dunia!

Pemberian pinjaman seperti ini adalah sebahagian daripada usaha saya untuk memberikan pengiktirafan kepada wanita sebagai nadi penggerak ekonomi utama dalam keluarga.

Antara contoh yang lain adalah seperti program AMANITA oleh PDRM.

Melalui Amanita yang merupakan program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu, polis wanita dikerah mendekati suri rumah untuk mengetahui setiap masalah berkaitan jenayah di persekitaran tempat tinggal mereka.

Program ini menjadikan suri rumah sebagai mata dan telinga kepada pihak polis, dan menjadikan penglibatan suri rumah dalam aktiviti kemasyarakatan sesuatu yang amat penting sekali.

Idea-idea seperti inilah yang kita perlukan dalam usaha bukan sahaja untuk menarik sokongan malah untuk mengukuhkan kaum wanita. Wanita KEADILAN memerlukan pendekatan yang baru untuk mendekatkan parti ke hati surirumah tangga, menjadikan KEADILAN sebagai sebuah “household name”.

Teman-teman seperjuangan sekalian:

Kita mestilah sedar bahawa isu kemiskinan yang sedang dihadapi oleh Malaysia ini sukar untuk kita atasi tanpa sebuah sistem pendidikan yang berkualiti.

Suatu masa dahulu, Menteri Pendidikan kita pernah berkata, ““kualiti pendidikan yang diterima oleh pelajar Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia. Lebih baik daripada Amerika Syarikat, Great Britain dan Jerman.”

Saya juga seorang ibu. Saya juga seorang bekas pelajar sekolah kerajaan. Alangkah sedihnya saya apabila menjadi saksi kepada penurunan kualiti pendidikan yang diterima oleh anak-anak kita, termasuk anak saya sendiri.

Saya pernah ditemukan dengan 40 orang pelajar darjah 6 yang buta huruf di salah sebuah sekolah di Lembah Pantai.

Berita yang kita terima tahun lepas, kualiti pendidikan kita terus merudum, walaupun dibandingkan dengan negara seperti Vietnam, negara yang tidak mempunyai sumber alam yang kaya seperti Malaysia. Apatah lagi sekiranya kita bandingkan dengan negara seperti Korea Selatan ataupun Singapura.

Pada 3 Disember 2013, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah mengeluarkan laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012. Sekali lagi rakyat Malaysia dikejutkan dengan prestasi pelajar Malaysia yang semakin merudum. Pelajar Tingkatan 3 Malaysia setaraf dengan pelajar Darjah 5 dari Singapura dan Korea Selatan.

Berbanding dengan Vietnam, pelajar Malaysia berada lebih kurang 2.5 tahun di belakang pelajar Vietnam dalam mata pelajaran Matematik, dan dalam mata pelajaran Sains pula, pelajar Malaysia berada 2.8 tahun di belakang pelajar Vietnam. Dan berbanding pelajar Singapura, Korea dan China, pelajar Malaysia terkebelakang sebanyak 4 tahun.

Pakar ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia Frederico Gil Sander berkata, keadaan pendidikan Malaysia yang jauh ditinggalkan oleh negara seperti Vietnam, yang lebih miskin tetapi lebih bijak, adalah lebih menggerunkan berbanding dengan nisbah hutang isi rumah yang besar.

Walaupun saban tahun kita dihidang dengan berita enak keputusan SPM kita semakin baik, namun realitinya tidak sebegini.

Kita mestilah mempunyai sebuah kesedaran bahawa tanpa sebuah sistem pendidikan yang baik, tidak mungkin rakyat Malaysia yang termiskin mampu keluar daripada kancah kemiskinan tanpa sebuah keajaiban. Sehubungan ini, kita akan terus menuntut agar ditubuhkan sebuah Majlis Perundingan Pendidikan Kebangsaan yang membolehkan semua pihak duduk semeja – education must never be politicized!

Di lapangan, bagi membantu mengatasi masalah-masalah yang diperkenalkan oleh polisi-polisi kerajaan yang semakin menekan rakyat, kita mestilah berani untuk melakukan sebuah revolusi untuk membuka minda akan kepentingan pendidikan kepada rakyat, terutamanya kepada wanita yang seringkali merupakan pencetus kepada keputusan hala tuju keluarga.

Pepatah Melayu ada mengatakan, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Salah satu yang boleh saya cadangkan ialah dengan menubuhkan sebuah prasekolah, sebagai sebuah alternatif kepada prasekolah yang sedia ada.

Ini bersesuaian dengan kajian George Land pada tahun 1968, yang mana beliau memberikan sebuah ujian kreativiti NASA kepada 1,600 kanak-kanak 5 tahun. Ujian itu mendapati bahawa 98 peratus daripada kanak-kanak yang diuji menunjukkan tahap kreativiti yang genius.

Cabang-cabang KEADILAN juga boleh menubuhkan pusat-pusat tuisyen mereka yang tersendiri. Di Lembah Pantai, saya ada mengusahakan Tuisyen bahasa Inggeris di Pejabat, serta sedang mengusahakan untuk membuka sebuah lagi kelas bagi membantu anak-anak tempatan mendapat pendidikan tambahan di luar sekolah dengan kos yang minima.

Saudari rakan seperjuangan sekalian. Kerajaan pusat sering mencanangkan sasaran mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Saya nyatakan, apakah gunanya sebuah negara berpendapatan tinggi sekiranya rakyat marhaen masih lagi miskin.

Ingin saya ulangi ramalan seorang tokoh akademia wanita, Prof Fatimah Kari dari Universiti Malaya, yang kadar kemiskinan mungkin kembali seperti pada era 70-an sekiranya polisi-polisi kerajaan pada masa ini diteruskan. Bank of America Merril Lynch sudah pun meramalkan Malaysia menjadi sebuah negara yang muda dan miskin menjelang 2030. Apakah tindakan yang akan diambil untuk membetulkan serta menidakkan ramalan ini? Kerajaan wajib melunaskan permohonan kita supaya sebuah Jawatankuasa Fiskal Parlimen diwujudkan dalam usaha membanteras rasuah dan ketirisan yang bermula di peringkat kabinet sendiri!

Saudari-saudari, ingin saya ulangi saya komited dalam memenuhi tuntutan wanita IKRAM sebelum PRU ke 13 tempoh hari.

Ini termasuk penglibatan wanita sekurang-kurangnya 30 peratus, pengiktirafan terhadap surirumah tangga, isu-isu kesihatan, kehakiman, penjagaan bayi dan kanak-kanak di tempat kerja dan lain-lain yang turut menjadi sebahagian tonggak perjuangan kita.

Bertitik tolak dari sinilah, kita dapat melihat dan melakar perancangan masa depan parti supaya generasi-generasi seterusnya dapat berterusan menggalas tanggungjawab yang berat bagi memimpin parti untuk membela rakyat atas prinsip keadilan.

Pembelaan parti bermula dengan usaha keras agar kita cukup 100 anggota setiap Parlimen membantah persempadanan semula dilakar SPR – Jika tidak menjaga sempadan, jangan Mimpi kalahkan lawan – meminjam kata-kata Dato Prof Redzuan Othman, UMCEDEL.

Akhir kata dari saya, saya menyeru kepada semua ahli-ahli parti mengambil iktibar dan kembali merefleksi sejauh mana kita telah menjejaki politik tanah air kita dengan pegangan yang tidak pernah goyah dan berterusan mereformasi sahsiah dan kepimpinan diri, menginstitusikan keadilan di dalam parti tanpa mengira latar belakang dan memperkasa peranan wanita dalam menjunjung martabat karamah insaniah terhadap diri dan masyarakat.

Ingatlah, kita hanya utuh, sekiranya kita menjiwai idealisme parti, dan bersama dalam susah dan senang; bersatu dalam kecelaruan dan optimis hingga akhirnya – dengan beradab, dengan berakhlak. Terima Kasih atas kepercayaan sehingga saya meraih 29,712 undi, Akan saya pegang amanah ini sebaiknya inshaaAllah .

Selamat berkongres – Demi Keadilan, Demi Rakyat