Skip to main content
Education

Warga emas kelahiran Selangor di KL dapat khairat kematian

By 19 May, 2010February 5th, 2021No Comments
Saidah Hairan
Thu | Jan 29, 09 | 4:19:34 pm MYT
KUALA SELANGOR, 29 Jan (Hrkh) – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan warga emas yang lahir di Kuala Lumpur sebelum tahun 1974 layak menerima khairat kematian kerana mereka adalah rakyat Selangor.

Begitu juga kata beliau, anak yang dilahirkan sama ada ibu atau bapa mereka yang lahir di Selangor boleh berdaftar dengan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas).

Khalid berkata demikian dalam majlis penyampaian bayaran Skim Mesra Usia Emas di pekarangan pejabat Menteri Besar di Dun Ijok.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi; Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad; Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin; Dr Xavier Jayakumar serta pimpinan PAS Kawasan.

Beliau menjelaskan dalam program yang diadakan di Parlimen Bandar Tun Razak, lebih 1000 orang mendaftar sebagai warga emas dan Tawas.


“Tugas kita bertambah dan saya minta kita semua wakil rakyat Selangor jalankan tugas dan berusaha mempertingkatkan kebajikan terhadap anak yang baru lahir hingga warga emas,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak mahu kebajikan itu hanya ditumpukan kepada khairat kematian iaitu waris yang meninggal baru mendapat wang tersebut.

“Kita mesti mencari jalan kebajikan perlu diberikan dalam usia warga emas bukan selepas mereka meninggal dunia,” tegasnya.

Pada majlis itu beliau menyampaikan khairat kematian kepada 21 orang waris warga emas yang telah meninggal dunia sebanyak RM2,500 sebagaimana yang dijanjikan dalam salah satu program Merakyatkan Ekonomi Selangor.