Skip to main content
Jawapan Parlimen

02 Jul 2013: Jawapan Bertulis Soalan Parlimen [MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI]

By 4 July, 2013February 18th, 2020No Comments

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : Puan Nurul Izzah binti Anwar

[ Lembah Pantai ]

TARIKH : 2 Jul 2013 (Rabu)
SOALAN : 68

Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan kesediaan meminda Seksyen 2A, Akta Rasmi Pindaan 1986 yang memberi kuasa kepada Menteri untuk menambah, membuang atau meminda sebarang peruntukan dalam Jadual yang memberikan Menteri kuasa penuh untuk merahsiakan mana-mana dokumen dengan makluman Warta Kerajaan.

JAWAPAN: YB DATO’ SERI DR. SHAHIDAN BIN KASSIM, MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang Di-Pertua,

Menurut peruntukan Seksyen 2A Akta Rahsia Rasmi (Pindaan 1986)(selepas ini dirujuk sebagai Akta tersebut) menetapkan perkara di dalam Jadual adalah seperti berikut:

– Suratan, rekod keputusan dan pertimbangan Jemaah Menteri termasuklah juga suratan, rekod keputusan dan pertimbangan jawatankuasa-jawatankuasa Jemaah Menteri

– Suratan, rekod keputusan dan pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuklah juga suratan, rekod keputusan dan pertimbangan jawatankuasa -jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;

– Suratan berkenaan dengan keselamatan negara, pertahanan dan hubungan antarabangsa.

Kerajaan bersedia untuk meminda seksyen 2A tersebut sekiranya ada keperluan.

2. Seksyen 2A Akta tersebut berbunyi seperti berikut:

“Menteri boleh, dari semasa ke semasa , melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, menambah, memotong atau meminda mana-mana peruntukan Jadual kepada Akta ini”.

3. Definisi “rahsia rasmi” mengikut Akta tersebut adalah “apa-apa suratan yang dinyatakan dalam Jadual dan apa-apa maklumat dan bahan yang berhubungan dengannya dan termasuklah apa-apa suratan rasmi, maklumat dan bahan lain sebagaimana yang boleh dikelaskan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia”, “Sulit” atau “Terhad”, mengikut mana-mana yang berkenaan, oleh seorang Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri atau mana-mana pegawai awam yang dilantik di bawah seksyen 2B.

Sekian Terima kasih.