Skip to main content
Jawapan Parlimen

04 Jul 2013: Jawapan Bertulis Soalan Parlimen [MENTERI KEWANGAN]

By 8 July, 2013February 18th, 2020No Comments

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : Puan Nurul Izzah binti Anwar

[ Lembah Pantai ]

TARIKH : 4 Jul 2013 (Khamis)
SOALAN : 80

Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan bagaimanakah unjuran defisit fiskal 4% dapat dicapai bagi Belanjawan 2013 apabila terdapat pengumuman-pengumuman perbelanjaan yang tidak direkod belanjawan seperti BR1M 3.0 yang dianggarkan mencecah RM7.2 bilion dan juga projek MRT yang sehingga sekarang kosnya masih tiada persetujuan.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Selaras dengan usaha konsolidasi fiskal, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 4.8% daripada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) pada tahun 2011 kepada 4.5% daripada KDNK pada tahun 2012. Kerajaan komited untuk mengawal defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pada kadar 4% daripada KDNK pada tahun 2013.

Tuan yang di-Pertua,

Peruntukan Bantuan Rakyat 1 Malaysia 3.0 (BR1M 3.0) adalah tidak termasuk di bawah Belanjawan 2013 dan perlaksanaannya tidak akan menjejaskan peruntukan perbelanjaan bagi tahun 2013 serta unjuran 4% defisit fiskal. Dalam Belanjawan 2013, Kerajaan telah memperuntukkan bantuan berjumlah RM3.0 bilion di bawah BR1M 2.0 yang memanfaatkan 4.3 juta isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan 2.7 juta individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan. Sebarang pengumuman bagi BR1M berikutnya akan diambil kira dalam Belanjawan 2014. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan sentiasa memastikan perbelanjaan ini adalah dalam lingkungan kemampuan hasil dan sasaran defisit Kerajaan selaras dengan konsolidasi fiskal. Sementara itu, pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) dijangka tidak akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2013.

Tuan Yang di-Pertua,

Dalam memastikan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan yang kukuh dan mapan, defisit fiskal dirancang untuk dikurangkan lagi kepada 3.0% pada tahun 2015. Dalam usaha ini sumber hasil akan diperluas dan diperkukuhkan dan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan akan dipastikan cekap dan berkesan serta menetapi sasaran matlamat Kerajaan