Skip to main content
Jawapan Parlimen

22 Okt 2013: Jawapan Bertulis Soalan Parlimen [MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN]

By 23 October, 2013February 18th, 2020No Comments

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : Puan Nurul Izzah binti Anwar

[ Lembah Pantai ]

TARIKH : 22 OKT 2013 (Selasa)
SOALAN : No. 56

PR-1313-L57348
Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN menyatakan :-

(a) susulan persetujuan Menteri pada 26 Ogos 2013, bilakah pelaksanaan penyaluran wang peruntukan kawasan-kawasan Parlimen kepada Ahli Parlimen yang dipilih akan dibuat; dan

(b) apakah mekanisme wang peruntukan akan disalurkan demi manfaat dan kebajikan penduduk kawasan-kawasan yang dimaksudkan.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Lembah Pantai, YB Menteri Wilayah Persekutuan telah bersetuju dan memutuskan bahawa bagi permohonan program sosial dan kemasyarakatan yang ingin dijalankan oleh Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan akan diluluskan dan diberikan bantuan meliputi peralatan pembekalan logistik asas, jamuan makanan dan sebagainya. Sejumlah RM700,000 telah diperuntukkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk pelaksanaan program sosial dan gotong-royong di setiap kawasan parlimen bagi tahun 2013.

Dijangka peruntukan ini telah bertambah kepada RM1.2juta bagi tahun 2014. Walau bagaimanapun, pembekalan ini perlu dinyatakan penganjur sama ada dalam bentuk bertulis atau lisan bahawa sumbangan ini adalah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Bagi pembekalan peralatan yang boleh dimilik kekal untuk manfaat persatuan seperti komputer, kanopi dan seumpama dengannya, perkara ini akan diselaraskan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP), DBKL.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, mekanisme peruntukan ini akan disalurkan melalui permohonan yang boleh dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan kepada Pejabat-Pejabat Cawangan yang ada di setiap kawasan parlimen sekitar Kuala Lumpur ini.