Skip to main content
Penerbitan

Apa sebenarnya SOP Jabatan Penerbangan Awam?

By 9 April, 2014February 18th, 2020No Comments

Nurul Izzah Anwar
Sinar Harian
9 April 2014

SAYA bersama-sama rakyat Malaysia yang lain sungguh terkesan dengan tragedi MH370. Misteri yang melibatkan 239 nyawa di atas penerbangan tersebut masih belum kelihatan penghujungnya, walaupun sudah sebulan berlalu.

Saya berasa amat terharu dengan rakyat Malaysia yang telah bersatu hati untuk mendoakan agar suatu penyelesaian yang terbaik dapat dijumpai.

Saya juga turut menghargai pengorbanan serta usaha keras daripada pasukan-pasukan yang telah dikerahkan untuk mencari pesawat yang hilang tersebut. Semoga usaha daripada mereka diberkati dan membawa pulang hasil yang diharapkan semua.

Pun begitu, saya berasakan rentetan kronologi tragedi ini begitu menggusarkan. Persoalan yang pertama ialah apakah sebenarnya Standard Operating Procedure diikuti oleh Jabatan Penerbangan Awam?

Menurut laporan, jabatan tersebut telah menerima laporan mengenai kehilangan pesawat pada jam 1:30 pagi, tetapi hanya melancarkan misi mencari dan menyelamat pada jam 5:30 pagi, 4 jam setelah pesawat itu dilaporkan hilang!

Majalah Time.com melaporkan Angkatan Tentera Malaysia telah pun mengesan pesawat tersebut melalui 3 radar tentera, semasa ia melalui ruang udara timur laut Malaysia sebelum sampai ke Selat Melaka.

Namun, walaupun dengan corak penerbangan yang mencurigakan, Tentera Udara Diraja Malaysia tidak mengerahkan pesawat pejuang untuk mengesahkan identiti pesawat misteri ini.

Semasa menerima laporan mengenai pesawat yang hilang pada jam 1:30 pagi, adakah Jabatan Penerbangan Awam mengambil langkah drastik untuk menghubungi jabatan-jabatan yang berkaitan dengan keselamatan udara, termasuk tentera udara bagi mengerahkan keseluruhan jentera yang kita ada untuk mengesan pesawat tersebut? Sekiranya ada, apakah yang berlaku dalam tempoh 10 minit pertama kehilangan pesawat tersebut?

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, Jabatan tersebut memulakan operasi mencari dan menyelamat pada jam 5:30 pagi kerana mereka mengumpulkan maklumat dan bantuan daripada negara jiran terlebih dahulu.

Jabatan-jabatan kerajaan sepatutnya lebih mengutamakan kerjasama antara jabatan di dalam negara semasa cuba mendapatkan maklumat daripada negara-negara jiran pada masa krisis ini bermula.

Untuk mengelakkan daripada tragedi ini berulang lagi, Jabatan Penerbangan Awam perlu lebih bersedia untuk mendapatkan bantuan daripada Angkatan Tentera sekiranya kehilangan pesawat seperti ini berlaku lagi.

Malaysia sudah membelanjakan berbilion ringgit dalam membeli pelbagai peralatan ketenteraan termasuk jet-jet pejuang yang sepatutnya boleh dikerahkan untuk mencari pada awal krisis ini berlaku.

Kita pernah sekali dulu mengalami masalah radar yang begitu mencemaskan. Kenyataan daripada Azharuddin suatu masa dahulu mengesahkan bahawa sistem radar dan radio gagal berfungsi akibat terputusnya bekalan elektrik di Pusat Kawalan Trafik Udara Subang (Subang ATCC) pada 12 September 2012 antara jam 2.50 pagi hingga 4.15 pagi.

Yang lebih membimbangkan adalah pegawai-pegawai bertugas tidak sedar bekalan elektrik telah putus sehingga Uninterrupted Power Supply (UPS) telah habis bekalan elektriknya.

Kegagalan ini merupakan suatu petanda yang sepatutnya dipandang serius, terutamanya apabila melibatkan nyawa, bukan sahaja rakyat Malaysia malahan masyarakat antarabangsa.

Saya mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengatakan kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi merungkai kehilangan pesawat MH370.

Laporan suruhanjaya ini perlu digunakan untuk memantapkan lagi SOP yang digunakan untuk menangani krisis seperti ini sekiranya berlaku lagi. Kerjasama antara jabatan dan agensi kerajaan, termasuk Jabatan Penerbangan Awam dan juga Tentera Udara perlu ditingkatkan dengan segera. Kita tidak boleh berlengah lagi.

Malaysia perlu lebih bersedia. Kesediaan ini perlu dimulakan dengan penglibatan daripada semua, termasuklah ahli Parlimen daripada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Janganlah kita berat sebelah. Kita semua sayangkan Malaysia.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/nurul-izzah/apa-sebenarnya-sop-jabatan-penerbangan-awam-1.268540