Skip to main content
Press Release

Kenapakah Kerajaan Menawarkan Projek Janakuasa Solar 50 MW kepada 1MDB yang Diselubungi Kontroversi?

By 7 April, 2014February 18th, 2020No Comments

KENYATAAN MEDIA
UNTUK SEBARAN SEGERA

Setelah dianugerahkan suatu kontrak melibatkan sebuah stesen janakuasa 2000 megawatt yang dipanggil Projek 3B yang dianggarkan bernilai kira-kira RM11 billion, walaupun harga yang diletakkan lebih tinggi pada 25.65 sen per kWh berbanding dengan 25.23 sen per kWh; 1MDB sekali lagi telah diberikan satu lagi projek janakuasa solar 50 MW – kali ini dengan cara rundingan terus.

Stesen janakuasa solar yang dibangunkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah memperoleh kadar tarif diantara 40 sen dan 46 sen per kWh. Kadar ini adalah lebih rendah daripada tarif untuk tenaga elektrik yang dihasilkan oleh janakuasa solar. Kuasa elektrik yang dijanakan dari gas tidak bersubsidi adalah berada pada 35 sen per kWh. Kita boleh mengganggap bahawa strategi kerajaan ialah untuk menggantikan gas apabila penarikan semula subsidi berlaku, yang merupakan sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi yang diterapkan oleh kerajaan.

Persoalannya, bagaimanakah kita dapat mengetahui samada kadar ini adalah kadar yang terbaik yang boleh didapati dengan teknologi terkini, sedangkan tender ini tidak melalui proses tender terbuka? Stesen janakuasa solar 50 MW yang akan dibina di Kedah akan menjadi yang terbesar di Malaysia, terutamanya sekiranya projek ini merupakan projek perintis bagi suatu projek yang jauh lebih besar.

Sebelum ini, anak syarikat TNB, TNB Energy Services Sdn Bhd merupakan syarikat yang telah menjadi nama unggul dalam bidang tenaga yang boleh diperbaharui untuk sekian lama. Kemasukan 1MDB kedalam industri kuasa solar akan meminggirkan TNB serta lain-lain syarikat-syarikat kuasa solar yang kecil.

Kerajaan mestilah menerangkan dengan jelas kenapakah kerajaan menganugerahkan projek ini secara rundingan teris bersama 1MDB, sedangkan SEDA telah berusaha dengan giat untuk menggunakan sistem tender terbuka dalam kuota tenaga diantara 1 MW dan 5 MW dalam tahun 2012.

Kerajaan juga perlu mengesahkan sokongan yang akan diberikan dalam projek ini – samada menerusi penyaluran tenaga dari stesen janakuasa ke grid, memberikan bantuan kewangan, ataupun memberikan pajakan untuk 500 ekar tanah yang diperlukan bagi projek tersebut. Adakah ianya akan dibuat melalui Projek Usahasama Awam dan Swasta sepertimana kebiasaannya.

Rakyat juga berhak untuk mendapatkan maklumat mengenai siapakah rakan kongsi 1MDB yang akan membekalkan teknologi yang akan digunakan, untuk mengkaji risiko-risiko yang dihadapi oleh 1MDB – yang pada masa ini dianggap sebagai khazanah negara oleh Kerajaan. Tanpa apa-apa jaminan, dan persaingan dengan stesen janakuasa konvesional, kos projek janakuasa solar ini boleh mencecah sehingga RM900 juta; walaupun harga photovoltaic sedang menurun pada masa ini.

Adakah 1MDB mempunyai rekod dan kepakaran yang diperlukan untuk projek Janakuasa Solar ini? Dimanakah projek ini akan dibina? Adakah Penilaian Kesan Alam Sekitar telah dilakukan untuk mengetahui kesan ke atas warga Kedah? Pada ketika ini, Stesen Janakuasa Solar yang terbesar didunia terletak di Ivanpah – di tengah-tengah padang pasir pedalaman Amerika Syarikat! Sejumlah 371 MW dijana di ruang tanah seluas 3,700 ekar. Kerajaan perlu mendedahkan segara laporan kajian ini bagi kepentingan penduduk setempat.

Akhir-akhir ini, 1MDB telah mendapatkan pelbagai asset janakuasa, bermula dengan asset yang bernilai RM10 billion pada harga yang jauh lebih tinggi, yang melibatkan asset di Tanjong Jimah dan genting; kepada kejayaan syarikat tersebut dalam mendapatkan projek 3B tadi. Kerajaan perlu menerangkan apakah alasan kerajaan untuk memberikan ruang yang luas kepada 1MDB, termasuk memberikan projek secara rundingan terus, walaupun syarikat itu tidak mempunyai rekod yang baik dalam pengurusan kewangan; menerusi kelewatan melapor kepada Suruhanjaya Syarikat dan penukaran syarikat audit di saat akhir. Kegagalan menjelaskan persoalan penganugerahan mana-mana kontrak sebegini akan menempelak kerajaan kelak menerusi kemungkinan kerugian yang bakal ditanggung pembayar cukai negara, lebih-lebih lagi bila projek gagal berhasil.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai