Skip to main content
Press Release

Apakah Rancangan Bagi Pelajar Yang Gagal?

By 1 April, 2014February 18th, 2020No Comments

UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA

Dua minggu lepas, Kementerian Pendidikan telah mengumumkan sejumlah 13,970 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah berjaya mendapatkan keputusan cemerlang A dalam semua subjek; suatu peningkatan sebanyak 0.05 peratus berbanding dengan tahun 2012.

Pun begitu, saya lebih terkesan apabila mendapati statistik daripada Kementerian sendiri yang menunjukkan bahawa 14.5 peratus atau 68,208 daripada 470,395 calon telah gagal dalam peperiksaan tersebut. Bandingkan 408 orang calon yang mendapat A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan 128 orang pelajar yang gagal dalam semua mata pelajaran.

Melihatkan kepada angka kegagalan yang sebesar ini menunjukkan bahawa selama ini kerajaan terlalu menumpukan perhatian kepada pelajar yang cemerlang, sehingga meminggirkan mereka yang gagal, yang lebih memerlukan dokongan. Apakah sebenarnya perancangan kerajaan dalam membantu anak-anak yang gagal ini; di samping memperbaiki kualiti dan mutu pendidikan dalam meningkatkan daya saing anak-anak lainnya.

Kerajaan perlu mengambil tindakan yang komprehensif untuk membantu pelajar yang gagal ini; meningkatkan “employability” mereka; dan seterusnya memastikan mereka ini menyumbangkan tenaga secara positif ke arah peningkatan ekonomi mereka sendiri secara khususnya, dan peningkatan ekonomi negara secara amnya.

Dr Frederico Gil Sander, sorang pakar ekonomi Bank Dunia berkata dalam sebuah laporan yang rakyat Malaysia perlu sedar dan berwaspada kerana pelajar luar bandar di Vietnam, sebuah negara yang jauh lebih miskin dari Malaysia, mempunyai keputusan yang lebih baik. Beliau turut menambah, krisis pendidikan ini adalah lebih berbahaya dan mengejutkan dari isu jumlah hutang isi rumah rakyat Malaysia.

Berbanding dengan Vietnam, pelajar Malaysia berada lebih kurang 2.5 tahun di belakang pelajar Vietnam dalam mata pelajaran Matematik, dan dalam mata pelajaran Sains pula, pelajar Malaysia berada 2.8 tahun di belakang pelajar Vietnam. Dan berbanding pelajar Singapura, Korea dan China, pelajar Malaysia terkebelakang sebanyak 4 tahun!

Dari segi pendidikan peringkat tinggi, kadar kemasukan di Malaysia cumalah 25 peratus sahaja, bandingkan angka ini dengan Korea Selatan, iaitu pada 90 peratus.

Melihatkan bagi setiap pelajar yang mendapat semua dalam semua subjek yang diambil dalam SPM, ada lebih kurang lima (5) pelajar yang gagal dalam peperiksaan ini, kerajaan perlu mengambil suatu inisiatif bagi mengkaji kenapakah perkara seperti ini berlaku. Adakah sistem pendidikan Malaysia terlalu rigid dan tidak mengambil kira kecenderungan-kecenderungan yang berbeza dalam mewujudkan suatu kurikulum yang lebih komprehensif? Adakah bakat-bakat semulajadi yang wujud dalam setiap individu tidak diolah supaya lebih ramai daripada pelajar kita dapat mencapai kecemerlangan di dalam bidang-bidang yang berbeza?

Kita memerlukan sebuah reformasi pendidikan yang radikal demi menyelamatkan anak-anak kita daripada jurang pendidikan yang jelas kelihatan berlaku pada masa ini. Kita bertanggungjawab untuk memastikan 68,208 orang calon SPM yang gagal pada tahun lepas, dan juga calon calon yang gagal pada tahun-tahun terdahulunya, tidak dibiarkan terumbang-ambing dalam mencari peluang untuk menyumbangkan tenaga dalam pembinaan ekonomi negara.

Sekali lagi saya ingin menyeru kepada Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan agar mengajak kesemua pihak yang berkepentingan agar kita sama-sama berbincang, untuk mencari penyelesaian kepada kegetiran pendidikan yang melanda anak-anak kita pada ketika ini. Sebagai langkah pertama, sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen berkenaan pendidikan mestilah ditubuhkan. Kita semua mestilah berganding bahu, melupakan perbezaan politik agar masa depan anak-anak kita akan terjamin. Berikan perhatian kepada semua anak-anak kita, bukan sekadar anak-anak emas.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai