Skip to main content
Education

BANTAHAN SIKAP POLIS DI MAJLIS MAKAN MALAM.

By 31 October, 2009February 18th, 2020No Comments

BANTAHAN SIKAP POLIS DI MAJLIS MAKAN MALAM.

Saya sangat kesal dengan tindakan polis yang tidak professional dan melampaui batas pada 31hb Okt lalu ketika Program Makan Malam Ahli Parlimen Lembah Pantai, anjuran Persatuan Penduduk dan Persatuan Penjaja Taman Sri Sentosa. Majlis yang bertujuan untuk mengutip dana bagi memberi bantuan kepada rakyat miskin dan Persatuan Ibu Tunggal Lembah Pantai telah berjalan dengan penuh meriah dan dihadiri pelbagai kaum dari pelbagai status masyarakat
.
Pihak polis yang diketuai OCPD dari IPD Brickfield telah mencemari majlis apabila menerpa naik ke pentas dan merampas mikrofon. Mereka juga telah merampas beratus-ratus naskah newsletter kepunyaan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai. Usaha peguam saya untuk mendapatkan semula barangan tersebut gagal. Pegawai saya juga telah diarah untuk hadir ke balai polis untuk diambil keterangan. Saya percaya semua insiden ini bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat Lembah Pantai dan penyokong-penyokong saya serta para pegawai saya.

Program makan malam tersebut telah menurut peruntukan undang-undang sedia ada; permit DBKL dan permit polis telah diperolehi.

Alasan bahawa majlis tersebut berbaur politik amat dangkal sekali kerana saya orang politik dan Ahli Parlimen yang dipilih sah rakyat Lembah Pantai. Saya bangga dengan penyokong yang hadir dan mengucapkan terima kasih kerana kekal sopan dan matang walaupun cuba diuja dengan sikap provokatif pihak polis.

Justeru saya menggesa polis mengembalikan barangan kepunyaan kami; mikrofon dan news letter tersebut. Itu adalah makluman program dan aktiviti Ahli Parlimen dan menjadi hak masyarakat setempat mengetahui aktiviti ahli parlimen mereka. Tugas polis adalah menjaga keselamatan dan perjalanan program termasuk mengawal lalulintas bukan bertindak secara provokatif mengganggu program serta menjadi alat pihak tertentu.