Skip to main content
Issues Affecting the RakyatParliament

Soalan-soalan Parlimen YB-Mesyuarat ke-3, bermula 19 Oktober 2009

By 22 October, 2009February 18th, 2020No Comments

SOALAN-SOALAN PARLIMEN
PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI

MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEDUA
PARLIMEN KE-12, DEWAN RAKYAT 2009

Soalan Lisan:

1. Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan kenapa wujud perbezaan dalam statistik jenayah di kawasan Brickfields yang diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, iaitu pengurangan sebanyak 19.4%, berbanding dengan hanya 7% yang diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields dari bulan Januari hingga Mei 2008.

2. Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan bagaimana sistem yang sedia ada di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dapat memastikan masa depan kerjaya dan nasib guru-guru baru terbela (contoh; pengesahan jawatan, penetapan gaji minimum, kemudahan serta insentif, cuti bersalin dll.)

3. Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menjelaskan, berdasarkan kemungkinaan penggunaan sumber tenaga nuklear di Malaysia sebagai sumber baru dalam penjanaan elektrik menjelang 2025:

a) sudahkah kerajaan meneliti sebab-sebab berlakunya krisis pengurangan sumber tenaga asli termasuk pengurusan sumber tenaga yang tidak efisyen?

b) apakah langkah-langkah persediaan yang telah diambil oleh kementerian untuk memastikan negara bersedia dalam penggunaan tenaga nuklear?

4. Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN menjelaskan

a) Kenapa siasatan ke atas laman web Malaysiakini dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) walaupun langkah tersebut bercanggah dengan Perkara 7 dalam Bill of Guarantee Multimedia Super Corridor (MSC); dan

b) langkah-langkah yang perlu/telah diambil untuk memastikan tiada lagi sekatan melampaui batas diambil oleh SKMM.

5. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [LEMBAH PANTAI] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan rasional Terengganu Investment Authority, yang asalnya dibentuk khas untuk mengelakkan dasar campurtangan ahli politik kini diubah menjadi satu entiti kerajaan persekutuan bernama 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melapor terus kepada Menteri Kewangan.

6. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [LEMBAH PANTAI] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah justifikasi penerusan tahanan rakyat-rakyat Malaysia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memandangkan 5 tahanan Jemaah Islamiyah (JI) yang dikatakan berbahaya dibebaskan akhirnya pada 14 September 2009 tanpa sebarang alasan diberikan.

7. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [LEMBAH PANTAI] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan:
a) kenapa hingga kini tiada tindakan diambil ke atas pekerja-pekerja syarikat-syarikat balak yang terlibat mencabul wanita dan kanak-kanak kaum Penan di Sarawak seperti yang dilaporkan sejak 2008; dan
b) langkah-langkah yang diambil bagi menjamin keselamatan pengangkutan seharian anak-anak Penan ke sekolah.

8. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [LEMBAH PANTAI] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan apakah usaha serta-merta yang diambil untuk memastikan kanak-kanak dari keluarga yang miskin tegar bersekolah berdasarkan pengakuan beliau bahawa lebih 125,000 kanak-kanak yang mencapai umur persekolahan tercicir daripada alam persekolahan di luar bandar dan pedalaman.

9. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [LEMBAH PANTAI] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN menyatakan apakah langkah segera untuk memastikan setiap pili bomba di setiap unit perumahan kelolaan DBKL berfungsi supaya langkah awal dapat diambil ketika berlaku kecemasan atau kebakaran.

10. Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan:
a) perkembangan terbaru tahap pembangunan dan pencapaian Multimedia Super Corridor (MSC) di Cyberjaya serta sumbangannya terhadap kemajuan teknologi kepada negara yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat.
b) Keseluruhan kos perbelanjaan oleh kerajaan dalam mewujudkan MSC termasuk perincian bayaran khidmat pakar kepada firma McKinsey.

Soalan Bertulis:

11. Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan:

a) hasil kajian “Pendidikan kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri di Malaysia” (“Stateless Children”). Sila senaraikan jumlah kanak-kanak tanpa dokumen mengikut negara asal, jantina dan umur; dan

b) langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan bagi memastikan kanak-kanak ini tidak terus tercicir dari sistem pendidikan negara.

12. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [LEMBAH PANTAI] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN menyenaraikan usaha-usaha kerajaan dalam memastikan matlamat penembusan perkhidmatan Internet jalur lebar WiMAX di seluruh negara dapat mencecah tahap 50% seperti yang diharapkan, sedangkan Pulau Pinang sekarang hampir mencecah tahap 100% penembusan menerusi program WiMAX@Penang.

13. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [LEMBAH PANTAI] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN menyatakan:

a) Senarai flat-flat yang akan dinaiktaraf di seluruh Kuala Lumpur, kos pengubahsuaian dan kriteria pemilihan seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam lawatan beliau ke Vista Angkasa pada bulan Mac 2009.

b) Senarai nama syarikat yang dipilih untuk melakukan kerja penaiktarafan serta justifikasi pilihan.

14. Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan sama ada kementerian mengenakan cukai import ke atas peralatan bagi tujuan penyelidikan. Jika ya, adakah kementerian bercadang memansuhkan cukai import tersebut supaya kos penyelidikan di Malaysia dapat diturunkan.

15. Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan jumlah hasil penyelidikan oleh para saintis negara serta penyelidik universiti yang telah dipatenkan dan telah dikomersilkan. Berapakah jumlah dan peratus dari jumlah keseluruhan kajian yang telah dilakukan digunapakai oleh syarikat tempatan dan antarabangsa?