Skip to main content

Keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Sri Mustapha bin Mohamed untuk menggunakai Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) dalam merangka program  bagi mengambil kira ketersisihan dan keperluan isi rumah bagi pelaksanaan yang lebih bersasar dan berkesan susulan penerbitan Laporan MPI Permatang Pauh wajib bermula dengan ukuran di kawasan-kawasan yang terkesan dengan dwi tragedi pandemik serta #DaruratBanjir – yang lebih parah akibat fenomena La Niña.

Hasil penemuan Laporan MPI telah disebut buat pertama kalinya di Dewan Rakyat pada Julai 2021 – yang melaporkan penemuan indeks kemiskinan pelbagai dimensi yang dialami oleh 332 isi rumah B40 di Permatang Pauh yang sudi ditemuramah dan berkongsi sisi yang sebenar terhadap kemiskinan – ditambah lagi kesukaran pasca Covid-19. 14 enumerator anak muda jati Permatang Pauh yang telah turun padang selama 14 hari demi dapatan kajian dan menghulurkan bantuan secara berpasukan.

Dengan 9 dimensi kemiskinan (deprivation) yang diukur; 3 daripadanya berkait dengan kesan pandemik Covid-19 – saya bangkitkan juga bahaya yang mendepani kita sekiranya kita tidak sepenuhnya bersedia mendepani musim tengkujuh yang bakal tiba. Beban krisis pandemik-banjir-kemiskinan akan membebani kita semua sekiranya kita tidak bertindak untuk mempersiap dasar, langkah, serta program berintegrasi rentas agensi yang menjadikan Malaysia kalis cabaran dan krisis masa depan.

Penggunaan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) kerajaan perlu lebih realistik bagi membantu proses membuat keputusan berasaskan bukti pada semua peringkat perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian inisiatif untuk mengurangkan kemiskinan.

Ternyata, kiraan dimensi pasca Covid-19 iaitu ketersediaan jalur lebar dan kemudahan peranti dalam isi rumah yang dipertimbangkan untuk disenaraikan dalam indikator dan dimensi MPI yang sedang dikemaskini, hendaklah mengambil kira impak tragedi #DaruratBanjir yang memperlihatkan rakyat yang kehilangan tempat berteduh, wang simpanan yang kian menyusut (hampir lupus), status keberadaan serta kewarganegaraan yang terkesan akibat kehilangan pensijilan dan harta benda.

Sekiranya pada 2020, dianggarkan daripada 580,000 ribu sehingga 1 juta isi rumah yang tergelincir daripada M40 ke B40 – tragedi #DaruratBanjir yang juga dipersulit menerusi kluster baru akibat gandingan bencana dan pandemik yang setakat ini memberi kesan kepada lebih daripada 71,000 orang.

MPI telah dibangunkan semenjak Rancangan Malaysia Ke-11, malangnya, akibat ukuran yang digunakan ketika itu masih belum cukup mencerminkan realiti yang dihadapi oleh rakyat – menyebabkan ukuran MPI tersebut tidak mampu diiktiraf dan ini diakui oleh Philip Alston, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai kemiskinan tegar dan hak asasi manusia ketika beliau melawat Malaysia pada 2019. Dengan MPI 0.0033 yang dijana dan angka kemiskinan negara 0.4% [1], ianya disifatkan masih terlalu rendah untuk menjadi ukuran kemiskinan yang bermakna bagi Malaysia.

Kajian Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) Permatang Pauh yang dipandu oleh Professor Dr. Fatimah Kari telah diusahakan semenjak 2019 ini merupakan satu-satunya kajian yang mengambil kira secara teliti impak pandemik terhadap dimensi kekurangan Malaysia – ini termasuk kemudahan perumahan, pendidikan Ketua Isi Rumah, sanitasi, bekalan air, kesihatan, dan bekalan elektrik, dan juga tiga indikator yang berkaitan pandemik COVID-19 termasuk keselesaan rumah kediaman, dimensi kehilangan pekerjaan dan perniagaan yang terjejas disebabkan PKP dan penyisihan berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Kita wajib melengkapkan Pelan Pemulihan Negara, yang pada hemat saya, masih belum selesai kerana rakyat belum pulih sepenuhnya. Majlis Pemulihan Negara perlu membincangkan langkah seterusnya mengambil kira kelangsungan hidup 71,000 mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan setakat ini: peruntukan RM100 juta yang diumum; beserta wang ihsan RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah (anggaran RM 17.75 juta bagi purata 4 orang seisi rumah); RM75.8 juta dana am (hasil sumbangan GLC dan lain-lain) dan bantuan lain yang bersyarat untuk usahawan, koperasi dan sebagainya.

Persoalannya, adakah jumlah kasar bagi setiap mangsa yang boleh disimpulkan sejumlah RM6,600 seisi rumah, mencukupi? Sebagai perbandingan, sehingga akhir 2020 NADMA menerima RM129 juta; sementara MKN sebanyak RM1.4 bilion [2]. Bayangkan keperluan bantuan meliputi pelbagai dimensi bernilai RM30,000 secara konservatif (dengan purata 4 orang seisi rumah) diberikan secara berfasa, ia mungkin memerlukan belanja RM532.5 juta. Kiraan MPI bagi isirumah mangsa #DaruratBanjir mampu memberi gambaran jumlah yang lebih realistik bagi maksud pemberian bantuan.

Kita perlu terus istiqamah dengan bukan sahaja langkah persiapan yang kalis pandemik serta bencana alam yang sudah tentu akan jauh lebih parah akibat perubahan iklim yang ekstrem dan mengukur tahap kemiskinan serta deprivasi rakyat yang sifatnya pelbagai dimensi – supaya dasar program serta langkah undang-undang yang diambil mampu menepati keperluan rakyat terbanyak. Hanya pelan pemulihan yang berempati, komprehensif dan realistik, mampu melindungi kebajikan rakyat selayaknya. Hakikatnya, kemelut banjir ini telah menambah trauma rakyat, termasuk mengorbankan jiwa mereka yang tersayang. Kita wajib mengambil langkah jangka pendek, pertengahan serta panjang secara proaktif dan secara bersama meraikan serta memuatkan semangat setiakawan dan kesukarelawanan rakyat dalam tugasan pemulihan negara.

 

Rujukan

[1]

https://www.epu.gov.my/sites/default/files/2020-08/Kajian%20Separuh%20Penggal%20RMK11

[2] https://govdocs.sinarproject.org/documents/ministry-of-finance/federal-government-financial-statements/penyata_kewangan_kerajaan_persekutuan_2020-compressed.pdf/view