Skip to main content

Kedua-dua Kerajaan Negeri dan Pusat Harus Batalkan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) dan Menumpukan Segala Usaha bagi Menangani Pandemik dan Menjaga Kelestarian Alam, Ekosistem Sumber Perikanan, Jaminan Sekuriti Makanan serta Punca Rezeki Nelayan Pulau Pinang.

PSR yang diumumkan pada tahun 2015 asalnya bertujuan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, PTMP. Walaupun saya bersama rakan-rakan parti pada awalnya menyokong pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih baik, keraguan mula timbul apabila PTMP dirubah untuk merangkumi lebuhraya mega merentasi bukit dan sungai, LRT, monorel, skycab dan pelan tambakan laut.

Kini, jelas bahawa PSR tidak lagi menjadi asbab pembiayaan PTMP, tetapi tertumpu kepada penghasilan dan penjualan harta tanah spekulatif dengan meminggirkan kepentingan alam sekitar dan ekosistem seimbang. Projek ini boleh digambarkan sebagai penswastaan laut kita secara tidak langsung untuk pembangunan yang berpaksikan kepentingan swasta.

Oleh itu, kita harus mempertimbangkan semula penerusan PSR ini dengan keutamaan perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan penduduk. Kerugian dan risiko projek ini jauh melebihi kemungkinan keuntungan bagi negeri dan rakyat.

Penentangan yang saya, serta beberapa teman seangkatan lainnya, lahirkan terhadap PSR (sekarang juga disebut sebagai Pulau Selatan Pulau Pinang, PSI), secara konsisten disampaikan menerusi mekanisma saluran komunikasi dalaman, kenyataan awam, dan juga persoalan yang diajukan di Parlimen. Berikut merupakan antara sebab-sebab penolakan:

  1. Keperluan menimbang semula projek infrastruktur mega, terutamanya semasa kita menangani gelombang pandemik dengan pemulihan berbentuk K yang dijangkakan.

Negeri dan rakyat Pulau Pinang tidak patut dibebankan dengan projek yang penuh dengan risiko, hutang, ketidakpastian, dan pusingan-U (U-turn), lebih-lebih lagi di kala pandemik. Keseluruhan projek PSR akan dibiayai dan dikendalikan oleh usaha sama 70-30 antara SRS Consortium Sdn Bhd (Rakan Penyampaian Projek untuk projek PSR) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (KNPP) – projek tersebut kini merupakan projek mega yang dikemudi pihak swasta.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 23hb Mei 2021, SRS Consortium Sdn Bhd menyatakan bahawa perjanjian usahasama 70-30 akan memastikan bahawa Pulau Pinang mendapat manfaat daripada pelaburan langsung asing, sumbangan KDNK dan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam jangka masa pembangunan selama 30 tahun untuk 3 pulau PSR/PSI.

Walau tidak dinafikan keperluan penilaian berterusan dan peningkatan infrastruktur fizikal, institusi, dan sosial, ini tidak boleh mengakibatkan kemusnahan alam sekitar yang kekal seperti yang diakui oleh perunding Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) SRS sendiri. Visi dan impian kerajaan untuk meninggalkan warisan tidak boleh mengorbankan keperluan rakyat; bukan sahaja periuk nasi nelayan yang terjejas secara langsung, tetapi juga semua penduduk Pulau Pinang yang akan menanggung pengurangan bekalan makanan laut segar dan harga yang bakal melambung tinggi.

Pandemik ini telah mendedahkan tahap ketidaksamaan sistemik yang mendalam – dan menjadi peringatan tentang keperluan menggunapakai model pembangunan yang melindungi kepentingan sosioekonomi masyarakat berbanding dengan entiti yang mengaut keuntungan.

Penting juga untuk ditanya, adakah projek infrastruktur ini memberi nilai yang bermakna bagi negeri dan rakyatnya? Kita perlu merakyatkan usaha peningkatan kemahiran (upskilling), untuk membolehkan masyarakat tempatan bersaing secara berkesan dalam mendapatkan pekerjaan berkemahiran tinggi; lebih-lebih lagi dengan kehilangan peluang pendidikan disebabkan pandemik, terutamanya bagi anak-anak dari isi rumah berpendapatan rendah.

Risiko menunggu selama 30 tahun lagi, sebelum menuai manfaat yang diharapkan daripada projek mega ini, sementara diselubungi ketidaktentuan ekonomi akibat krisis parah pandemik adalah jalan yang terlalu berisiko. Usaha serta merta bagi meringankan beban sosioekonomi rakyat menuntut seluruh perhatian kita bersama.

  1. Soalan yang masih belum dijawab – mengapa KNPP memutuskan untuk meneruskan projek ini walaupun Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) mengesahkan bahawa PSR akan mengakibatkan kehilangan alam sekitar secara kekal?

Dalam laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk projek PSR, jelas dinyatakan bahawa:
“Kemusnahan kekal dan impak sampingan akan berlaku ke atas ekosistem dataran lumpur (mudflat), tempat penangkapan ikan (fishing ground), pendaratan penyu, dan sebahagian terumbu karang di Pulau Rimau yang merupakan ekosistem penting kepada sumber perikanan. Kemusnahan kekal ini akan memberi impak negatif yang signifikan kepada sumber perikanan, nelayan dan jaminan sumber bekalan makanan negara.”

Fasa 1 Pulau A sahaja memerlukan anggaran 11 juta meter padu pasir: jumlah ini mungkin lebih mudah dibayangkan jika disamakan dengan 4,400 kolam bersaiz Olimpik. Perlombongan pasir berskala besar bagi tujuan penambakan tanah ini akan menjejaskan sumber perikanan serta sumber pendapatan nelayan dan petani akuakultur di Pulau Pinang dan Perak.

Walaupun kami setuju dengan tujuan KNPP yang telah dinyatakan, (iaitu, untuk membangunkan kota pintar, menyediakan pekerjaan, mengembangkan modal insan, memperluas Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas (BLFTZ), meredakan tekanan pembangunan di Georgetown, dan mewujudkan permulaan dan peluang baharu untuk nelayan), kita perlu ingat bahawa penambakan adalah aktiviti yang berkos tinggi – dari segi kewangan dan sosioekonomi.

Daripada menambak tanah seluas 4,500 ekar dari laut, terdapat banyak tanah di daratan Pulau Pinang yang dapat diusahakan. Lebih banyak usaha harus ditumpukan pada pembangunan skala kecil pro masyarakat (sebagaimana anjuran Think City) tanah besar Pulau Pinang untuk mengatasi pembangunan yang tidak seimbang; hal ini harus menjadi trajektori utama pembangunan Pulau Pinang, selari dengan visi Penang2030.

  1. Kesan negatif kepada kehidupan dan mata pencarian nelayan

Projek pembangunan ini bukan sahaja akan menjejaskan kehidupan masyarakat nelayan dan meningkatkan kadar kemiskinan, tetapi juga mengancam keselamatan nelayan. Penambakan pantai akan memaksa nelayan mengambil perjalanan yang lebih jauh untuk mendapatkan hasil tangkapan. Kos diesel yang ditanggung turut lebih tinggi, begitu juga dengan masa yang diperlukan untuk menangkap ikan dan tangkapan laut yang lain. Tambahan pula, nelayan menghadapi risiko fizikal yang lebih tinggi, serta risiko kerosakan pada kapal dan jaring mereka.

Walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang (KNPP) menawarkan pakej dan program ex-gratia yang bertujuan untuk memberikan faedah jangka panjang kepada 1,615 nelayan yang terjejas, projek ini bakal mengancam mata pencarian hampir 5,000 nelayan; akibat impak penambakan yang melangkaui Teluk Kumbar dan perairan Pulau Pinang.
Walaupun adanya pampasan untuk nelayan yang terjejas; kuantum pampasan dan langkah-langkah mitigasi tidak mencukupi dan tidak akan menangani kos kerugian mata pencarian yang ditanggung oleh nelayan atau mengatasi pertimbangan keselamatan.

Justifikasi di atas sehaluan dengan memorandum komuniti nelayan yang diterima oleh Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat di Pulau Pinang, yang menyatakan bahawa sambutan positif terhadap projek PSR hanya diperoleh daripada nelayan sambilan dan nelayan yang telah bersara. Keputusan yang diambil oleh Kerajaan Negeri harus berpusat pada pembangunan lestari tanpa mengabaikan atau menafikan suara nelayan sepenuh masa – yang tetap teguh dalam pendirian mereka untuk menentang projek ini.

Oleh demikian, saya tidak mempunyai pilihan selain daripada menyuarakan bantahan ini secara terbuka dengan harapan projek penambakan ditamatkan dan digantikan dengan rancangan pembangunan dan pembaharuan ekonomi yang benar-benar lestari – sejajar dengan keperluan untuk membangun kembali dengan lebih baik, walau berskala kecil tetapi pro rakyat; serta lebih hijau dalam pemulihan global pasca pandemik.

Akibat menyuarakan bantahan ini, mungkin ada mereka yang akan menuduh saya berprinsip anti pembangunan infrastruktur/pembangunan modal insan. Izinkan saya memberi jaminan bahawa saya sedia menyokong pembangunan yang benar-benar menghasilkan impak sosio-ekonomi yang seimbang dan lestari dengan impak minimum terhadap alam sekitar dan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat.

Saya menyeru agar Kementerian Alam Sekitar dan Air membatalkan kelulusan awal yang diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar; dan memperkuat segala usaha untuk berkolaborasi dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menguruskan pemulihan sosioekonomi rakyat, lebih-lebih lagi ketika kita mengharungi impak serta risiko pasca-wabak yang tidak menentu.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Permatang Pauh