Skip to main content
MediaPress Release

Belanjawan Jujur lagi Berani Diperlukan

By 24 September, 2013February 18th, 2020No Comments

KENYATAAN MEDIA
UNTUK SEBARAN SEGERA
24 SEPTEMBER 2013

Screen Shot 2013-09-24 at 9.08.08 PM

Keadaan kewangan negara berada di dalam keadaan yang lemah lagi rapuh dengan penurunan ‘rating’ antarabangsa oleh agensi penilaian kredit antarabangsa Fitch diganding dengan unjuran penunjuk negatif perkembangan ekonomi sedunia memestikan kerajaan mengusulkan sebuah Belanjawan yang Jujur lagi Berani (an Honest and Brave Budget).

Ini adalah belanjawan defisit ke-16 dengan sejak tahun 1998 dan jika diperbandingkan dengan tahun-tahun sebelum 1998, pengurusan kewangan negara cukup sihat dengan belanjawan surplus yang membanggakan.

Pakatan Rakyat memandang dengan penuh prihatin pembentangan Usul Perbekalan Tambahan ke atas perbelanjaan operasi bernilai RM15.014 billion yang terdiri daripada:
· RM14.13 billion untuk “perbelanjaan bekalan” ; dan
· RM888.46 juta untuk “perbelanjaan tanggungan.”

Andaikan jika tiada perubahan ke atas ramalan pendapatan, perbelanjaan pembangunan, pemulihan pinjaman dan KDNK (dalam harga terkini), nisbah belanjawan-ke-KDNK untuk 2013 akan melonjak kepada 5.5%. Nisbah defisit-ke-KDNK 5.5% ini menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional akan gagal mencapai sasaran defisit 4% nya sendiri seperti yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2013 pada 28 September 2012. Harus diingatkan Kerajaan pimpinan Barisan Nasional juga telah gagal mencapai sasaran defisit 4.5% dalam tahun 2012.

Dalam laporan The Star 17 Ogos 2013, pakar ekonomi Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam, pengerusi Asli Centre for Public Policy Studies berkata, “Pengurangan lebih pesat ke atas defisit fiskal dan hutang negara perlu menjadi keutamaan… sekiranya kita tidak melakukan ini, berkemungkinan ekonomi negara akan terus jatuh mendadak.”

Perbelanjaan tambahan untuk 2013 ini berkemungkinan akan menyebabkan nisbah hutang awam-ke-KDNK akan melebihi sempadan 55% (naik dari 45% pada Julai 2009 dan dari 40% pada April 2008) di hujung 2013 selepas melangkaui 53.3% pada hujung 2012 – antara rekod yang tertinggi di Asia Tenggara.

Sekiranya kita mengambil kira pinjaman yang dijamin kerajaan yang dianggarkan bernilai RM147 billion, juga dikenali sebagai ‘liabiliti luar jangka’ – pendedahan pinjaman berkemungkinan bakal mencecah 70% daripada KDNK hujung tahun ini. Ini mempunyai suatu risiko yang tinggi, yang akan menekan akaun kerajaan persekutuan sekiranya gagal dibayar. Kos menyelamat atau ‘bailout’ yang tinggi akan terus meranapkan kewangan negara.

Rakyat memerlukan ‘Belanjawan Jujur dan Berani’ yang akan membina daya saing, melebarkan sumber pendapatan negara dan menstrukturkan ekonomi agar meninggalkan amalan ekonomi kronisma, pembaziran dan pengherotan pasaran dengan kadar segera.

Nurul Izzah Anwar (KEADILAN, Ahli Parlimen Lembah Pantai)
Dr Md Hatta Md Ramli (PAS, Ahli Parlimen Kuala Krai)
Steven Sim Chee Keong (DAP, Ahli Parlimen Bukit Mertajam)