Skip to main content
Jawapan ParlimenTPPA

25 Sep 2013: Jawapan Bertulis Soalan Parlimen [MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA & INDUSTRI]

By 25 September, 2013February 18th, 2020No Comments

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : Puan Nurul Izzah binti Anwar

[ Lembah Pantai ]

TARIKH : 24 Sep 2013 (Selasa)
SOALAN :
Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA & INDUSTRI menyatakan :-

(a) Bila Kementerian akan mewujudkan jawatankuasa Parlimen khas perjanjian perdagangan sebelum meraktifikasi TPPA, RCEP dan EU-Malaysia FTA; dan

(b) anggaran kos guaman yang dibayar setakat ini dalam mempertahankan cabaran guaman di bawah BIT.

JAWAPAN

Tuan Yang Di Pertua,

Pihak Kerajaan terlebih dahulu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB dan Ahli-Ahli Yang Berhormat di atas cadangan yang dikemukakan untuk mewujudkan jawatankuasa Parlimen bagi perjanjian perdagangan meraktifikasi TPPA, RCEP dan EU-Malaysia FTA atau di mana-mana Perjanjian Perdagangan Bebas. Hasil dari cadangan YB Lembah Pantai tersebut, Kerajaan telah menubuhkan Kaukus Parlimen yang mana ahli-ahlinya adalah:

(i) YB Datuk Wira Haji Ahmad bin Hamzah, Pengerusi (BN – Jasin);
(ii) YB Datuk Makin @ Marcus Mojigoh, (BN – Putatan);
(iii) YB Wilson Ugak Anak Kumbong, (BN – Hulu Rajang);
(iv) YB Dato’ Haji Irmohizam Bin Ibrahim, (BN – Kuala Selangor);
(v) YB Liang Teck Meng, (BN – Simpang Renggam);
(vi) YB Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, (BN – Kota Tinggi);
(vii) YB Nurul Izzah Binti Anwar, (PKR – Lembah Pantai);
(viii) YB YB Dato’ Takiyuddin Bin Hassan, (PAS – Kota Bahru);
(ix) YB Charles Anthony Santiago, (DAP – Klang);
(x) YB Dr. Michael Jeyakumar Devarai, (PSM – Sungai Siput; dan
(xi) YB Wong Chen, (PKR – Kelana Jaya).

Kerajaan bersetuju Kaukus Parlimen yang ditubuhkan untuk membincangkan isu-isu TPP juga meniliti isu-isu di bawah Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) dan Malaysia-EU FTA apabila tiba masanya.

Sehingga kini pihak MITI telah menyampaikan dua taklimat mengenai TPP kepada ahli-ahli kaukus. Di samping itu, beberapa ahli kaukus juga telah menyertai Sesi Stakeholders semasa rundingan TPP pusingan ke-18 dan ke-19.

Tuan Yang Di Pertua,

Untuk makluman, anggaran kos guaman yang dibayar setakat ini dalam mempertahankan cabaran guaman di bawah BIT telah melibatkan kes Investor-State Dispute Settlement (ISDS) yang telah menamakan Kerajaan Malaysia sebagai Responden di bawah prosiding timbang tara antarabangsa International Centre for Settlement of Investment Disputes (ICSID). Dua kes tersebut adalah, Philippe Gruslin v. Kerajaan Malaysia (ICSID No. Kes ARB/99/3) yang dijalankan pada tahun 1999 dan kes Malaysian Historical Salvors Sdn.Bhd (MHS) v. Kerajaan Malaysia (ICSID No. Kes ARB/05/10).

Bagi kes MHS, terdapat dua prosiding timbangtara yang dijalankan, iaitu di peringkat Jurisditional Objection pada tahun 2007, dan Annulment Proceeding untuk kes yang sama pada tahun 2009. Selanjutnya, bagi kes Philippe Gruslin, Kerajaan Malaysia telah dicabar menerusi Malaysia-Belgo Lexumburg BIT (1971), manakala bagi kes MHS, Kerajaan Malaysia dicabar di bawah Malaysia-UK BIT (1998).

Berhubung dengan lingkungan kos guaman yang dibayar oleh Kerajaan setakat ini dalam mempertahankan cabaran guaman di bawah BIT, jumlah keseluruhan bagi kedua-dua kes tersebut adalah dalam lingkungan RM 2.45 juta. Anggaran kos ini mengambil kira keseluruhan kos guaman yang dijumlahkan daripada kes Philippe Gruslin dan dua prosiding untuk kes MHS v. Kerajaan Malaysia.