Skip to main content
Jawapan Parlimen

30 Sep 2013: Jawapan Bertulis Soalan Parlimen [MENTERI KESIHATAN]

By 30 September, 2013February 18th, 2020No Comments

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : Puan Nurul Izzah binti Anwar

[ Lembah Pantai ]

TARIKH : 25 Sep 2013 (Rabu)
SOALAN : No. 82
Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan berapakah jumlah terkini Klinik 1Malaysia yang mempunyai Pegawai Perubatan (medical officer). Nyatakan juga senarai Klinik 1Malaysia yang tiada Pegawai Perubatan serta alasan ketiadaan mereka.

JAWAPAN
OLEH YB DATUK SERI S. SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

Tuan Yang Di Pertua,

Dari Januari 2010 sehingga 9 September 2013, 237 buah Klinik 1Malaysia sedang beroperasi di seluruh negara. Tujuan asal penubuhan Klinik 1Malaysia adalah untuk menyediakan rawatan dan prosedur ringan bagi memudahkan pesakit mendapat akses cepat yang boleh dikendalikan oleh Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat dan Pembantu Perawatan dan Kesihatan.

Walau bagaimanapun, untuk memenuhi keperluan rakyat di kawasan-kawasan tertentu, skop perkhidmatan di Klinik 1Malaysia telah ditambahbaik dengan menyediakan perkhidmatan Pegawai Perubatan. Sehingga kini, terdapat 22 buah Klinik 1Malaysia yang menyediakan perkhidmatan ini, di mana penempatan Pegawai Perubatan diutamakan di Klinik 1Malaysia yang mempunyai kedatangan yang tinggi iaitu melebihi 100 pesakit sehari. Klinik 1Malaysia yang selebihnya iaitu 215 buah, masih dikendalikan oleh Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat dan Pembantu Perawatan dan Kesihatan.