Skip to main content
Jawapan Parlimen

30 Sep 2013: Jawapan Bertulis Soalan Parlimen [MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI]

By 30 September, 2013February 18th, 2020No Comments

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : Puan Nurul Izzah binti Anwar

[ Lembah Pantai ]

TARIKH : 26 Sep 2013 (Khamis)
SOALAN : No. 178
Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan:-

(a) bila Kerajaan akan memberikan kuasa pendakwaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); dan

(b) status siasatan SPRM ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya yang berkait dengan penyalahgunaan dakwat kekal.

JAWAPAN
OLEH YB SENATOR DATUK PAUL LOW SENG KUAN
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang Di Pertua,

a) Kerajaan tidak bercadang untuk memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memulakan pendakwaan kes rasuah secara penuh tanpa perlu merujuk Peguam Negara kerana dalam penyiasatan dan pendakwaan sesuatu kes, perlu ada ‘check and balance’.

Sekiranya SPRM yang merupakan suatu agensi penyiasatan diberikan kuasa untuk membuat keputusan untuk mendakwa kes yang disiasatnya, maka tidak wujud satu unsur pemikiran yang bebas (independence of mind) dalam mempertimbangkan fakta dan keterangan sesuatu kes secara objektif. Fungsi Ketua Pesuruhjaya dan pegawai SPRM untuk menjalankan penyiasatan jelas diperuntukkan dalam seksyen 7 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

Sehubungan dengan itu, bagi mengekalkan prinsip ‘check and balance’ dalam pelaksanaan sistem keadilan jenayah di negara ini, Kerajaan tiada sebarang cadangan untuk meminda Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dengan tujuan untuk memindahkan budi bicara mendakwa kes-kes rasuah dari Peguam Negara kepada SPRM.

Untuk pengetahuan Yang Berhormat juga, di mana-mana negara pun, kuasa untuk membuat pertuduhan dan pendakwaan adalah terletak hak kepada Peguam Negara atau pun Pendakwa Raya yang bebas dan tidak dipengaruhi oleh agensi penyiasatan.

Selanjutnya, asas pertimbangan dalam membuat satu keputusan untuk memulakan pendakwaan adalah sama ada terdapat keterangan mencukupi untuk mendapatkan sabitan bagi setiap pertuduhan yang dibuat terhadap orang kena tuduh. Keterangan yang ada hendaklah keterangan yang relevan, boleh diterima dan ‘credible’ bagi menentukan sabitan diperoleh dan juga memastikan keadilan kepada semua pihak. Asas pertimbangan ini diguna pakai bagi setiap kes jenayah termasuk kes rasuah tanpa mengira siapa atau apakah kedudukan pelaku jenayah tersebut.

b) Untuk maklumat Yang Berhormat juga, SPRM kini masih lagi menjalankan siasatan ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu penggunaan dakwat kekal semasa Pilihanraya Umum (PRU) ke 13.