Skip to main content

Penahanan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas empat orang pegawai kanan, termasuk seorang bekas pegawai FELDA, membuktikan prestasi lembaga tersebut dikuasai oleh budaya yang tidak berintegriti dan telus. Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam isu penyelewengan projek ternakan ikan Sturgeon bernilai RM47.6 juta[1].

Bekas pegawai FELDA yang bergelar ‘Datuk’ telah menyalahgunakan kuasa dengan menandatangani sebuah perjanjian bernilai RM 146.25 juta dengan sebuah syarikat penternakan ikan sturgeon di Korea tanpa pengetahuan lembaga pengarah FELDA[2].

Transaksi perjanjian yang tidak sah ini berlaku dengan penubuhan FELDA Carviative Sdn Bhd (FCSB) pada Januari 2014. Malah, syarikat ini tidak mendapat kelulusan daripada lembaga pengarah FELDA, bahagian perundangan dan kewangan FELDA.

SPRM mengenalpasti bahawa projek ternakan ikan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar Pahang dan pembayaran mula dibuat kepada syarikat Korea berkenaan seminggu selepas FCSB ditubuhkan. Kes jenayah salah guna kuasa ini merupakan salah satu faktor FELDA berada dalam keadaan terburuk semenjak penubuhannya.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 2, tahun 2015 mendedahkan kerugian pihak FELDA dalam projek ikan ini. Malah, cadangan kawasan ternakan ikan ini turut dibantah oleh Jabatan Alam Sekitar akibat kadar projek berisiko tinggi dan bakal memusnahkan ekologi alam sekitar[3].

Penangkapan pegawai ini bukanlah satu permulaan yang baik tatkala Felda bergelut dengan isu ketirisan dana dan pengurusan yang tidak stabil.

Pengerusi baharu FELDA, YB Tan Sri Shahrir Samad seawal pelantikannya sendiri mengakui bahawa institusi awam milik peneroka FELDA berhadapan dengan masalah ketirisan yang agak membimbangkan. Maka, saya turut bimbang akan nasib dan cabaran yang terpaksa diterima oleh peneroka yang juga terpaut rugi dalam kes penyelewengan wang rakyat ini.

Ketirisan ini juga menyaksikan lembaga pengarah memutuskan untuk menjual saham Maybank bagi menutup kerugian FELDA[4]. Sejauh manakah penjualan saham ini mampu menstabilkan dana FELDA yang dilaburkan dalam projek ‘gajah putih’ dan tidak mendatangkan hasil buat peneroka?

Tindakan mudah pengerusi baharu FELDA ini harus diteliti semula dan penjualan saham atau aset bukanlah satu-satunya talian hayat memacu FELDA ke prestasi yang disasarkan. Dalam saya secara peribadi meragui kemajuan FELDA dengan perlantikan Pengerusi Baru, saya memohon mendapat beberapa penjelasan dari YB Tan Sri Shahrir Samad, iaitu;

1.   Mendesak agar sebuah blueprint buat tatapan umum dikeluarkan oleh pihak FELDA dalam penstrukturan semula di bawah Tan Sri Shahrir Samad dalam memacu dasar-warsa Felda. Laporan ini perlu dibentangkan oleh Menteri pada sidang parlimen kelak supaya dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan Felda.

2.    Felda perlu memecat pihak yang mempunyai salah laku bagi memulihkan ketelusan organisasi daripada pihak yang tiada integriti. Saya masih mempersoalkan kedudukan Tan Sri Isa Samad yang masih berada dalam FGV walhal beliau gagal dalam mengurus Felda sehingga melibatkan kerugian pada skala besar. Apakah kesinambungan Felda mengekalkan orang politik berpangkat yang gagal?

3.    Setiap perjanjian, pelaburan dan pembelian aset perlu dikaji semula supaya pelaburan serta pembelian tersebut dapat memberi nilai keuntungan kepada FELDA dan peneroka.

Reformasi FELDA secara struktural perlu dilaksanakan segera dengan menekankan integiriti dan ketelusan sebagai asas perubahan yang baik buat FELDA.  Namun, apa yang pasti, saya masih menitipkan kesangsian ke atas cara lama Perdana Menteri melantik seorang ahli politik ketika FELDA memerlukan seorang pakar dalam merawat krisis ini.

Lantikan YB Tan Sri Shahrir samad hanya menjadi penenang kemarahan peneroka yang mahukan perubahan pada PRU 14. Justeru, jika beliau tidak proaktif dan berdedikasi memimpin Felda, maka saya mendesak YB Tan Sri Shahrir Samad meletakkan jawata

n pengerusi Felda demi kepentingan peneroka dan masa hadapan Felda.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden Dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN