Skip to main content
Issues Affecting the RakyatParliament

Jawapan soalan lisan (tidak termasuk dalam Hansard)- nasib guru agama

By 25 December, 2009February 18th, 2020No Comments

Soalan

Puan Nurul Izzah Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan bagaimana sistem yang sedia ada di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dapat memastikan masa depan kerjaya dan nasib guru-guru baru terbela (contoh; pengesahan jawatan, penetapan gaji minimum, kemudahan serta insentif, cuti bersalin dll.)

Jawapan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Tuan Yang di-Pertua,
Terdapat dua (2) kategori guru di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), iaitu guru di Sekolah Rendah Agama (SRA) dan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). Bagi guru-guru SRA yang memiliki ikhtisas iaitu Diploma Perguruan Malaysia (DPM) mereka telah dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) gred DGA 29. Jawatan ini adalah jawatan tetap dan berpencen.
Bagi guru-guru SRA yang masih belum ,memiliki kelayakan ikhtisas, mereka sedang mengikuti program Diploma Perguruan Malaysia di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) atau Diploma Pendidikan (Pengajian Islam / Bahasa Arab) di pusat pengajian tinggi swasta yang diiktiraf dan diperakukan oleh MQA (Malaysian Qualification Agency) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pada masa yang sama, mereka juga telah dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA 29, lantikan secara kontrak bermula 1 Oktober 2009. Pegawai lantikan secara kontrak ini juga menerima ganjaran dan insentif yang sama sebagaimana kakitangan yang tetap.
Bagi guru-guru KAFA pula, mereka dalah guru-guru elaun yang dibayar secara bulanan dan jawatan mereka adalah tertakluk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ini adalah kerana program KAFA adalah program yang dilaksanakan di seluruh negara di bawah pengurusan JAKIM dan negeri-negeri adalah pelaksana program tersebut.