Skip to main content
Issues Affecting the RakyatMediaParliamentPolitikPress ReleaseUndang-Undang

Jawapan soalan lisan (tidak termasuk dalam Hansard)-isu Akta Keselamatan Dalam Negeri

By 8 December, 2009February 18th, 2020No Comments

Soalan

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [LEMBAH PANTAI] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah justifikasi penerusan tahanan rakyat-rakyat Malaysia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memandangkan 5 tahanan Jemaah Islamiyah (JI) yang dikatakan berbahaya dibebaskan akhirnya pada 14 September 2009 tanpa sebarang alasan diberikan.

Jawapan
Tuan Yang Dipertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960 adalah undang-undang pencegahan yang berbentuk pemulihan (rehabilitative) dan bukannya berbentuk hukuman(punitive). Kerajaan akan membebaskan mana-mana orang tahanan yang telah menjalani proses pemulihan serta telah mencapai tahap yang ditetapkan.
Semasa menjalani tempoh tahanan, orang tahanan akan mengikuti program pemulihan yang dijalankan oleh agensi-agensi berkaitan dan mereka akan dinilai tahap pemulihan yang telah dicapai. Sehubungan dengan itu, penerusan atau perlanjutan sesuatu Perintah Tahanan itu akan diputuskan dengan mengambil kira syor daripada pelbagai pihak seperti Lembaga Penasihat dan Kementerian sama ada seseorang itu telah insaf, atau mencapai tahap pemulihan yang ditetapkan atau ditaksirkan telah tidak lagi mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, mamandangkan AKDN 1960 adalah undang-undang berbentuk ‘rehabilitative’, kerajaan tidak berhasrat untuk mendakwa orang-orang tahanan di mahkamah terbuka atau menutup tempat tahanan perlindungan Taiping, Perak.