Skip to main content
Issues Affecting the RakyatLembah PantaiParliament

Jawapan soalan lisan(tidak termasuk dalam Hansard)-Isu pencabulan seksual wanita Penan

By 6 December, 2009February 18th, 2020No Comments

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [LEMBAH PANTAI] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan:
a) Kenapa hingga kini tiada tindakan diambil ke atas pekerja-pekerja syarikat-syarikat balak yang terlibat mencabul wanita dan kanak-kanak kaum Penan di Sarawak seperti yang dilaporkan sejak 2008; dan
b) Langkah-langkah yang diambil bagi menjamin keselamatan pengangkutan seharian anak-anak Penan ke sekolah.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

(a) Kementerian Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan Bagi Menyiasat Dakwaan Penderaan Seksual Terhadap Wanita Kaum Penan di Sarawak pada 8 Oktober 2008 untuk menyiasat dakwaan penderaan seksual ke atas wanita Penan oleh pekerja-pekerja syarikat balak.Laporan jawatankuasa ini telah dikemukakan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selaku Ahli Jawatankuasa Bertindak tersebut dan juga berasaskan penemuan Jawatankuasa Bertindak berkenaan bahawa berlakunya penderaan seksual.Siasatan ke atas dakwaan ini adalah di bawah bidang kuasa PDRM dan PDRM telahpun menubuhkan Pasukan Penyiasat Khas bagi tujuan tersebut.Sehubungan itu, semua pihak sewajarnya memberi kepercayaan penuh kepada pihak polis untuk menjalankan tugas mereka.

(b) Laporan hasil lawatan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan bagi Menyiasat Dakwaan Penderaan Seksual Terhadap Wanita Kaum Penan telah dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Mei 2009. Adalah dipersetujui supaya pelaksanaan langkah-langkah menangani isu penderaan seksual dilaksanakan melalui peningkatan kesedaran kaum Penan mengenai isu keganasan terhadap wanita dan pendidikan seksual, meningkatan rondaan, menganjurkan program pembangunan minda dan menangani masalah pengangkutan.

Bagi menjamin keselamatan pengangkutan seharian anak-anak Penan ke sekolah, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan Malaysia untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi membiayai kos penyediaan kemudahan kenderaan pacuan empat roda (Four wheel Drive) sebagai pengangkutan murid di kawasan Baram.Penyediaan kenderaan ini juga akan dikongsi oleh beberapa buah sekolah yang berdekatan sebagai pengangkutan murid balik ke kampung semasa cuti sekolah.