Skip to main content
Press Release

JAWATANKUASA PEMANDU PANTAU SIAPA SEBENARNYA?

By 17 March, 2014February 18th, 2020No Comments

UNTUK KELUARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan telah terpaksa menyelamatkan banyak syarikat yang gagal menyediakan khidmat pengangkutan awam yang baik dan efisyen; dari projek STAR LRT, PUTRA LRT (RM 6 bilion bagi kedua-duanya) dan KL Monorail (RM 0.8 bilion) antara lain.

Terkini, projek MRT telah dimulakan dengan penubuhan sebuah special purpose vehicle (SPV) -dengan usahama kerajaan. Hal ini bermakna kerajaan menjamin bon-bon yang telah dikeluarkan untuk membiayai projek ini, berdasarkan proposal asal yang ditawar MMC-Gamuda.

Dengan pertambahan kos bagi jajaran MRT yang pertama -Kajang- Sungai Buloh, sekitar RM23 bilion (2014) meningkat daripada RM18 bilion (2011); rakyat dibelenggu lagi dengan kejadian-kejadian kerosakan utiliti dalam proses pembinaan jajaran bawah tanah MRT; yang dijangkakan akan menelan sebanyak RM172 juta buat kerja-kerja pembaik-pulihan, yang tentunya akan meningkatkan kos keseluruhan pembinaan MRT.

Pada 15 Februari 2014, sebuah paip telah pecah disebabkan kerja-kerja pembinaan MRT di kawasan berhampiran dengan Mutiara Damansara.

Kejadian tersebut telah menyebabkan bekalan air di beberapa kawasan terganggu termasuk; Seksyen 11, 12, 13, 14, 19, 20, 21, SS1, SS2. SS3, SS4, SS5, SS6, SS7, Zon Dagangan Bebas SS8, SS9, SS9A, Sungai Penchala, Kampung Kayu Ara, Universiti Malaya dan Setiapuspa.

Saya membawa isu ini kepada perhatian Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang memberi alasan bahawa kejadian itu disebabkan oleh sebuah “sheet pile” yang terkesan akibat akitiviti-aktiviti pembinaan laluan MRT.

Mengikut perancangan asal, projek MRT ini akan mempunyai 12 laluan bawah tanah, dan 7 laluan atas tanah.

Laluan-laluan bawah tanah ini hanya boleh dibina berdasarkan peta utiliti bawah tanah yang sewajibnya dibekalkan oleh syarikat-syarikat utiliti dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Malangnya, dalam proses pembinaan jajaran MRT, yang kini siap 40 peratus, telah direkodkan sebanyak 97 kes kerosakan utility, termasuk 51 yang melibatkan SYABAS dan 27 kes melibatkan Tenaga Nasional Berhad.

Projek MRT dipantau oleh sebuah Jawatankuasa Pemandu; yang diketuai oleh Perdana Menteri; dibantu oleh sebuah Jawatankuasa Eksekutif; dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara. Jawatankuasa Eksekutif ini bertanggungjawab menyelesaikan isu-isu bersama SPAN dan syarikat-syarikat utiliti di Malaysia.

Dengan kekerapan kejadian kerosakan utiliti, apakah yang sebenarnya dipantau oleh Jawatankuasa ini?

Kenapakah Jawatankuasa Pemandu pula tidak dapat mengambil tindakan untuk menyelesaikan kemelut antara syarikat-syarikat dan agensi-agensi yang terlibat. Jelasnya, adanya halangan komunikasi yang berlaku antara-antara agensi, pihak pemaju dan kerajaan. Dan adakah Jawatankuasa akan meletakkan bebanan bayaran khusus kepada MRT Corp Sdn Bhd atas kelalaian sendiri?

Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan perkara yang sama berulang. Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Eksekutif serta Jawatankuasa Teknikal yang melibatkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat perlu segera menjalankan tanggungjawab dengan lebih teliti agar projek ini dapat diselesaikan segera dengan lancar, dengan gangguan minima kepada rakyat jelata. Kegagalan kerajaan untuk merancang, adalah merancang untuk gagal. Janganlah tambahkan bebanan rakyat dengan yang sudah dibebankan dengan kesesakan akibat perjalanan projek MRT dengan kegagalan perancangan yang baik.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN KEADILAN