Skip to main content
EducationIssues Affecting the RakyatUndang-Undang

Kasih Sayang, Kekunci Pemulihan Penagih Dadah

By 23 September, 2014February 5th, 2021No Comments

Dari semasa ke semasa, saya terdengar juga keluhan masyarakat Kampung Kerinchi tentang penggunaan daun ketum di dalam masakan kenduri kendara – kononnya menjadikan lauk lebih lazat, dan menarik dijamah.

Akibat dan kesan – khayal dan sebagainya tidak diambil kira.

Mahu tidak mahu, kita mestilah mengakui bahawa penggunaan daun ini sekiranya dibiarkan akan menjadi pemangkin kepada penggunaan dadah yang lebih berat; termasuk ganja, kokain, heroin dan sebagainya. Terkini, Kementerian Dalam Negeri akan mewartakan penyalahgunaan daun ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada awal tahun 80-an, kita telah mengenalpasti gejala ketagihan dadah selaku ancaman yang meningkat pesat. Hakikat ini telah mengakibatkan pengenalan undang-undang yang begitu ketat; iaitu hukuman mati mandatori bagi mereka yang disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah.

Walau perdebatan perihal keberkesanan hukuman mandatori ini hangat diadakan di pelbagai peringkat, umum masih tercari-cari tanda noktah gejala dadah sehingga ke hari ini.

Alangkah sedihnya, pada bulan Mac lalu kita dikejutkan dengan kematian enam belia berumur di antara 19 ke 28 di Future Music Festival akibat penggunaan dadah sintetik methamphetamine; kemudiannya pada awal bulan Mei, seramai 15 pemandu bas ekspress yang didapati positif dadah; semua ini merupakan sebahagian bukti bahawa gejala dadah masih berterusan dengan pengakhiran yang mengerikan.

Banyak kisah-kisah yang amat menyedihkan telah kita dengari tentang penderitaan penagih yang tidak dapat keluar daripada ketagihan, yang seterusnya merosakkan kehidupan mereka dan keluarga. Lebih menakutkan apabila suatu ketika dahulu, penagih dadah menjadi mangsa utama jangkitan HIV, yang menular melalui perkongsian jarum yang tercemar dengan virus tersebut.

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah merekodkan sebanyak lebih kurang 300,000 orang penagih dadah di Malaysia.

Angka ini mungkin menyembunyikan angka sebenar, dengan sesetengah kajian menyatakan dengan setiap kes yang dilaporkan, ada tiga atau empat kes yang tidak dilaporkan.

Realiti sebegini memberikan jumlah keseluruhan penagih dadah di Malaysia diantara 900,000 hingga ke 1.2 juta orang, iaitu lebih kurang di antara 3.2 hingga 4.2 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia!

Menurut Fifa Rahman, Pengurus Polisi Majlis AIDS Malaysia, 28 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) bagi menangani najis dadah telah gagal merawat sebahagian besar daripada para penagih; dengan kadar kembali semula pada antara 70 ke 80 peratus. Ternyata perbelanjaan sebegini amat tidak berbaloi dengan kos yang telah dikeluarkan oleh kerajaan bagi operasi pusat-pusat ini.

Pun begitu, kini Agensi Anti Dadah Kebangsaan telah menukarkan Pusat Rawatan Dan Penjagaan (C&C), yang menggantikan rawatan secara paksa dengan rawatan secara sukarela melalui kaedah-kaedah yang berlainan. Berbeza dengan rawatan PUSPEN atau Pusat Serenti, menurut AADK sendiri C&C menggunakan “pendekatan yang beraspirasikan konsep terbuka, prihatin, mesra, teraputik, program yang lebih berstruktur, sistematik, multiprogram serta mampu memenuhi keperluan kepulihan klien secara komprehensif.”

Fifa turut menulis, daripada 28,663 penagih yang telah menerima rawatan di C&C ini di antara 2010 dan April 2013; 75.9 peratus tidak ditangkap semula atas apa-apa kesalahan jenayah; 72.1 peratus berjaya mendapatkan kediaman sendiri; 77.6 peratus melaporkan mempunyai hubungan keluarga yang lebih baik dan 54.3 peratus menyambung semula pengajian mereka.

Kejayaan ini adalah hasil daripada penggunaan Terapi Methadone Maintenance (MMT), yang menurut sebuah kajian selama 15 tahun membuktikan bahawa kaedah-kaedah seperti ini lebih mampu membuahkan hasil berbanding dengan kaedah-kaedah seperti yang digunakan oleh PUSPEN sebelum ini.

Justeru, saya menyeru kerajaan agar menggunapakai kaedah C&C di kesemua 28 PUSPEN di seluruh Malaysia.

Perlu diakui bahawa kaedah pemulihan menggunakan kekerasan tidak lagi relevan ataupun efektif dalam merawat penagih-penagih dadah ini. Malaysia cuma mempunyai sebanyak 12 Pusat C&C.

Ternyata, lebih banyak pusat ini diperlukan, terutamanya dalam menyedari betapa runcingnya masalah dadah dalam negara kita.

Kita sedar, penagih-penagih dadah lebih memerlukan penjagaan penuh kasih sayang, terutamanya apabila masalah dadah yang dihadapi oleh mereka didorong oleh kesukaran hidup yang berpunca daripada kekurangan-kekurangan yang ada samada ada dari segi kekeluargaan, kewangan ataupun mereka-mereka yang menjadi mangsa keadaan.

Seruan saya kepada kerajaan pusat adalah untuk melahirkan iltizam politik menerusi penukaran kesemua PUSPEN kepada pusat-pusat C&C ini – dengan serta merta. Reformasi sebegini mampu menyelesaikan kemelut mereka yang sudah ketagih, sebelum kita merangka langkah menyelesaikan masalah pencegahan.

Yang kita pinta adalah pelaksanaan program yang berkesan – dalam usaha mengembalikan kehidupan yang lebih bermakna buat mereka yang mungkin telah terjebak pada awalnya.

Laksanakan penyelesaian yang terpantas lagi efektif untuk menghentikan gejala dadah ini dari terus membunuh mereka yang kita sayangi.