Skip to main content
Issues Affecting the RakyatParliamentSosio Ekonomi

Kecekapan Tenaga Boleh Jimat Minimum RM57 Bilion dan 3.6GW Elektrik Serta Membawa Pembangunan Mapan: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Wajib Bersegera Laksana Kecekapan Tenaga Berkos RM 987 Juta

By 21 April, 2015February 5th, 2021No Comments

Pada 12 Mac 2015 yang lalu saya  membawa persoalan kecekapan tenaga di Parlimen. Malangnya jawapan dari pihak kementerian hanya menunjukkan komitmen yang minimal dari pihak kerajaan untuk menjadikan kecekapan tenaga sebagai salah satu kaedah yang berkesan dalam menguruskan sumber-sumber tenaga negara secara lestari ; tidak seperti yang selalu diwar-war kan kepada rakyat.Mari kita lihat sejarah usaha kecekapan tenaga oleh KeTTHA. Pada Mac 2011, pihak KeTTHA dalam perbincangan di Hotel Marriot menerangkan dengan perlaksanaan pelan induk kecekapan tenaga, penjimatan untuk tempoh 10 tahun ialah seperti berikut:

  • Kos pembinaan janakuasa baru sebanyak sehingga RM16.6 billion boleh dielakkan
  • Penjimatan kos bahan api  untuk penjanaan tenaga elektrik sebanyak RM22.8 billion untuk gas dan RM1.4 billion untuk arang batu
  • Penjimatan perbelanjaan kerajaan untuk kos subsidi gas sebanyak RM15.87 billion
  • Jumlah penjimatan ialah RM56.67 billion

Pada 25 April 2013, pihak  KeTTHA dalam sebuah seminar telah membentangkan Pelan Induk Kecekapan Tenaga Nasional untuk menjimatkan penggunaan tenaga negara  dalam tempoh  10 tahun:

  • Sasaran ditetapkan ialah untuk mengurangkan penggunaan tenaga negara sebanyak 5.6%;
  •  Jumlah penjimatan kewangan yang boleh dicapai dari segi bil elektrik ialah sebanyak RM14.627 billion ringgit (secara purata RM1.46 billion setahun) berdasar tariff waktu itu.
  • Pelan induk tersebut akan menumpukan kepada tiga sektor utama iaitu industri, bangunan dan kelengkapaan elektrik
  • Hanya sebanyak RM987 juta diperlukan dalam tempoh masa 10 tahun tersebut iaitu sebanyak RM98.7 juta setahun sahaja.

Di Parlimen, pada pada bulan Jun 2013 KeTHHA memberikan kemaskini status pelan tindakan tersebut:

  • Dasar kecekapan tenaga nasional kini dalam peringkat semakan akhir dan akan diluluskan kerajaan selewat-lewatnya suku ketiga 2013
  • Penjimatan yang disasarkan oleh Pelan Tindakan tersebut bernilai RM14.6 billion berdasarkan kadar tariff elektrik semasa
  •  Pelan tindakan ini juga disasar dapat mengurangkan permintaan bekalan elektrik sebanyak 5.6% pada akhir tahun ke-10;
  •  Pengurangan ini dapat menanggguhkan keperluan untuk membina janakuasa baru yang dianggarkan dalam lingkungan 3,600 MW (3.6GW).

Jelas potensi kecekapan tenaga dapat menjimat tenaga serta menjimat kos dengan banyak dan wajib dikaji semula dengan keadaan negara sekarang berdepan dengan krisis kewangan dan kos sara hidup yang terus meruncing. Saya tidak faham mengapa kita perlu mempertimbangkan penjanaan tenaga dari loji-loji janakuasa baru mahupun rancangan pembinaan loji Nuklear.

Negara Thailand telah berjaya mengurangkan permintaan tenaga negara sebanyak lebih daripada 15% dalam tempoh 10 tahun yang lepas manakala negara Jepun telah berjaya mengurangkan permintaan tenaga sebanyak lebih kurang 30% daripada tahun 1970-an dengan melaksanakan dasar kecekapan tenaga dan penggubalan dan pelaksanaan undang-undang kecekapan tenaga  terutamanya untuk para pengguna tenaga intensif seperti di sektor-sektor  industri dan bangunan.

Saya menyeru pihak KeTTHA untuk tidak lagi menangguhkan mahupun memberi pelbagai alasan untuk membawa cadangan perlaksanaan program kecekapan tenaga untuk peringkat nasional kepada kabinet untuk dipertimbangkan sejak tahun 2011. Saya juga mempersoalkan mengapa pada masa yang sama KeTHHA banyak terlibat dalam rancangan-rancangan untuk membina janakuasa-janakuasa elektrik yang baru termasuk dalam memberi justifikasi untuk mempercepatkan pembinaan janankuasa nuklear di Malaysia.

Data-data dan laporan dari TNB, Electricity Supply Outlook menunjukkan bahawa permintaan sekarang dan juga unjuran sehingga tahun 2030 bahawa pengguna elektrik terbesar iaitu 80% datang dari sektor perindustrian dan bangunan komersial dan hanya 20% dari perumahan.

Jelas dan nyata, subsidi sektor tenaga bukan kepada pengguna awam tetapi yang paling banyak menikmatinya adalah sektor industri dan komersil dalam perniagaan.

Mengapakah pelan induk kecekapan tenaga yang telah dikaji dengan diteliti, dibincangkan sejak tahun 2009 masih tiada pelan tindakan yang jelas?

Jika tiada tindakan untuk menangani isu kecekapan tenaga beberapa masalah akan bakal melanda negara dalam masa terdekat seperti berikut:

  • Sumber-sumber gas yang sekarang akan habis lebih cepat dan akan membuatkan Negara terpaksa mencari sumber-sumber  tenaga lain dalam kadar masa yang lebih cepat untuk keperluan Negara
  • Kebergantungan kepada sumber arang batu yang 100% diimport akan makin  bertambah dan Negara perlu membayar harga yang lebih untuk subsidi setiap kali harga arang batu meningkat
  • Terdesak untuk menggunakan sumber seperti nuklear yang kebanyakan kita tahu amat besar risiko keselamatannya, lebih mahal kos pembinaannya dan tidak diketahui kos dan kaedah pelupusan sisa-sisa beradioaktifnya walaupun kerajaan kerap kali melaungkan ianya lebih murah daripada segi kos penjanannya sahaja.

Negara-negara jiran kita seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Brunei telah pun bergerak pantas dan sudahpun menikmati faedah-faedah ekonomi daripada program-program kecekapan tenaga nasional mereka dan agak menghairankan bila kerajaan Malaysia hanya mendengar dan bertindak kepada desakan dan sokongan pihak-pihak yang berkepentingan dalam industri penjanaan tenaga elektrik dan pelobi-pelobi janakuasa nuklear sahaja. Ini jelas telah menengenepikan pilihan-pilihan lain yang ada seperti mengeksploitasi sepenuhnya potensi-potensi penjimatan tenaga dengan program kecekapan tenaga nasional dan sumber-sumber tenaga boleh baharu seperti suria, biojisim, biogas dan hidro mini.

Telah banyak wang ringgit dan usaha yang telah dibelanjakan sejak tahun 2009 hingga tahun 2011 dalam melantik perunding-perunding pakar melibatkan lebih kurang 60 stakeholders yang mewakili wakil-wakil industri, badan-professional, badan bukan kerajaan, agensi dan kementerian kerajaan tetapi semua input dan cadangan penting yang perlu ada dalam sebarang pelan kecekapan tenaga nasional telah diketepikan begitu sahaja oleh KeTTHA.

Apakah sebenarnya agenda yang tersembunyi oleh kerajaan dan KeTTHA? Jika dibiarkan, pasti ramai akan menuduh dasar kecekapan tenaga sengaja diketepikan untuk terus mengaut keuntungan dengan kadar tariff elektrik yang tinggi, terus diketepikan untuk membuka laluan meluluskan pembinaan janakuasa loji-loji eletrik, sengaja diketepikan untuk membuka pintu pembinaan loji Nuklear, sengaja diketepikan untuk mebenarkan GST? Sengaja diketepikan untuk apa?

Jika penjimatan dapat diraih melalui kecekapan tenaga negara malah boleh mempunyai pendapatan lebih dan GST dengan mudah dapat dibatalkan. Kerajaan dapat menjimatkan RM 57 billion serta tidak perlu meneruskan rancangan loji Nuklear berkos RM21.3 billion. Kos yang perlu dikeluarkan kerajaan pula hanya RM987 juta yang dibelanjakan selama 10 tahun iaitu RM98.7 juta setahun sahaja!

Saya akan terus menerus membawa isu Kecekapan Tenaga ke Parlimen dan akan mengambil input daripada stakeholder-stakeholder industri untuk terus mendesak isu ini yang jelas dapat menjimatkan banyak wang ringgit untuk negara serta akan meneliti untuk mencadangkan Akta Kecekapan Tenaga kepada Parlimen.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN & PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN