Skip to main content

Saya mengesali keputusan meneruskan hukuman mati ke atas kedua-dua suspek pembunuh Krishna Rahman. Atas sebab pengampunan oleh keluarga mangsa, saudara Rames dan Suthar Batumalai yang disabitkan kesalahan membunuh tidak patut dikenakan hukuman mati, terutamanya dari segi Islam.

Saudara Rames dan Suthar Batumalai kekal konsisten mengaku tidak bersalah dalam kes ini walaupun Mahkamah Tinggi menetapkan hukuman mati keatas kedua-dua mereka akan dijalankan pada tahun 2010. Keluarga Batumalai telah menghantar pengampunan kepada Jemaah Pengampunan Negeri Sembilan untuk menggantikan hukuman mati ke atas Rames dan Suthar kepada penjara seumur hidup. Namun, walaupun jemaah pengampunan masih tidak memberi sebarang keputusan dalam kes ini, saudara Rames dan Suthar masih dijalankan hukuman mati. Hukuman mati di Malaysia biasanya dijalankan pada pagi Jumaat, namun pelaksanaan hukuman mati terhadap bukan satu, tetapi dua orang insan pada pagi Rabu ini menunjukkan sifat terburu-buru pelaksanaan hukuman ini.

Pada 2 Mac 2017, keluarga mangsa telah membuat pengakuan dengan memaafkan kedua-dua pesalah dan merayu agar hukuman mati digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup ke atas kedua-dua pesalah.

Justeru, perkara ini berpatutan dengan nilai dan semangat yang dianjurkan oleh Islam demi menegakkan keadilan dan memberi hikmah kepada pesalah.

Dari sudut roh dan semangat, Islam meletakkan asas bahawa memaafkan didahulukan berbanding menghukum. Hal ini merujuk kepada firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 178, ”Pembunuh yang dimaafkan, maka hendaklah dia mengikut cara yang baik”

Namun, dalam fiqh Islam menambah bahawa setelah memaafkan bagi kesalahan membunuh dari ahli keluarga mangsa, hendaklah disertakan bayaran diyat (denda); iaitu pembunuh yang dimaafkan membayarkan sejumlah wang tertentu kepada ahli keluarga mangsa bunuh.

Prinsip ini berasaskan kepada tujuan (maqasid syariah), iaitu; disamping prinsip penjagaan nyawa, hilangkan dendam dalam hati keluarga mangsa juga merupakan perkara penting disebalik tuntutan ini. Justeru, dengan keluarga mangsa memaafkan, menyebabkan separuh dendamnya hilang. Lalu diberikan kepadanya sejumlah wang atas nama diyat untuk menghilangkan dendam yang berbaki.

Mengenangkan tujuan syariah ini, sudah pasti isu yang melibatkan pemaafan dari isteri Krishnan Raman bernama Gaury A/P Sveedaran terhadap dua orang pembunuh suaminya, iaitu Rames dan Suthar Batumalai sudah hampir bertepatan dengan kehendak syariah islam. Namun, kekurangannya adalah, tidak ada pemberian diyat (atau : denda) sejumlah wang yang diberikan kepada Gaury.
Namun begitu, pemaafan terhadap penjenayah tidak memberi maksud ia dilepaskan dari sebarang hukuman, kerana dibimbangi ia dipandang remeh oleh penjenayah. Justeru, penjenayah tersebut dikenakan hukuman yang mampu menghentikan dari diulangi kesalahan yang sama, seperti hukuman penjara seumur hidup atau sebarang hukuman yang dilihat wajar oleh kerajaan.

Keputusan untuk mengenakan hukuman mati terhadap saudara Rames dan Suthar Batumalai adalah dikesali. Saya berharap agar kesilapan berkenaan nyawa manusia sebegini tidak akan diulangi lagi

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN