Skip to main content

Pengumuman lapan ahli Jawatankuasa Pemilihan Khas (JPK) telah dilaksanakan pada hari terakhir persidangan parlimen lepas – dikenali antara entiti yang melengkapkan fungsi demokrasi berparlimen.

Pun begitu, kami terkilan apabila Jawatankuasa Pilihan Khas yang menyentuh khusus berkaitan Kesaksamaan Gender dan Pembangunan Keluarga, tidak tersenarai. Sedangkan jawatankuasa ini dilihat sebagai salah sebuah jawatankuasa barisan hadapan.

Golongan seperti warga emas, yang lazimnya menjadi isu perbincangan JPK ini merupakan golongan yang paling berisiko lebih-lebih lagi dalam zaman penularan COVID19.

Laporan terbaru yang diterbitkan oleh UNICEF dan UNFPA, “Families on the Edge”, satu kajian yang telah melibatkan 500 keluarga termasuk 20% daripadanya ketua isi rumah wanita yang menetap di PPR, Kuala Lumpur, bagi meninjau kesan COVID19. Laporan telah membuktikan bahawa golongan wanita dan kanak-kanak adalah golongan yang paling terjejas sepanjang pandemik; puratanya, pada Jun 2020, pendapatan wanita yang mengetuai isi rumah jatuh kepada RM 675; dan 50% berpendapat bahawa keadaan kewangan mereka akan bertambah buruk, sementara 42% kanak-kanak dalam isi keluarga tidak mempunyai peralatan e-pembelajaran.

Maka timbul persoalan mengenai kecekapan bantuan daripada kerajaan apabila 40% daripada responden di mana 45% wanita sebagai ketua keluarga tidak menganggap Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebagai bantuan yang tepat dalam memenuhi keperluan mereka.

Menyorot kembali pemerintahan sebelum ini yang mewujudkan Jawatankuasa Pemilihan Khas bagi Kesamarataan Gender dan Pembangunan Keluarga – ketika itu dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Merbok. Jawatankuasa tersebut, yang acapkali mengulas dan mengetengahkan keperluan wanita dan kanak-kanak; boleh meneruskan perbincangan menyeluruh mengenai laporan UNICEF dan UNFPA.

Jawatankuasa Pilihan Khas Kesaksamaan Gender Dan Pembangunan Keluarga sebelum ini melibatkan wakil daripada KEADILAN, DAP, UMNO, dan PAS. Tugas utama, beserta iltizam mandat yang diberikan dan input para pemegang taruh telah melahirkan versi terkini Rang Undang-Undang Gangguan Seksual dan Kesaksamaan Gender.

Namun, segala usaha murni jawatankuasa tersebut terbantut dengan perubahan pemerintahan pada Mac 2020 lalu. Seperti disebut awalnya, jawatankuasa ini tidak tersenarai dalam pengumuman terkini.

Walaupun kita sedia maklum bahawa pemerintah bertindak menyarankan penubuhan sebarang Jawatankuasa Pilihan Khas; yang pasti adalah akhirnya, Speaker yang memuktamadkan pewujudannya di dalam Dewan Rakyat.

Oleh itu, kami menggesa Tuan Yang di-Pertua agar memperkasa semula Jawatankuasa Pilihan Kesaksamaan Gender dan Pembangunan Keluarga dalam memastikan dasar dan perundangan diteliti dengan secukupnya agar tiada yang terkecuali dalam mendapat keadilan.

Oleh: Nurul Izzah Anwar, MP Permatang Pauh | Nurin Aina, MP Merbok