Skip to main content

YB Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin,

Menteri Kementerian Dalam Negeri,

Yb,

PENYEBARAN HAK INDIVIDU MELALUI APLIKASI SOSIAL

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2.   Berikutan berita penyebaran hak individu dikalangan wanita melalui aplikasi Telegram dikenali sebagai kumpulan V2K yang melibatkan 40 000 ahli. Saya juga sedia maklum bahawa pihak polis telah menjalankan siasatan di bawah Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Jenayah. 

3.   Pun begitu, hal ini tidak lagi  asing apabila terdapat beberapa lagi kes berkaitan sebaran media berunsur pornografi di beberapa aplikasi. Tambahan daripada itu, setelah sebaran hak serta maklumat peribadi tanpa kebenaran, mangsa lazimnya menerima gangguan seksual secara berterusan dan ini secara tidak langsung telah mendedahkan mangsa kepada sebarang kemungkinan jenayah. 

4.    Oleh kerana penundaan pembentangan akta Gangguan Seksual sejak Februari lalu dan peningkatan jumlah jenayah seksual, saya mohon tindakan tegas daripada Kementerian dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan wanita di negara ini. Tindakan pihak berkuasa dengan menutup kumpulan V2K serta mendakwa ahli kumpulan tersebut mungkin menjadi suatu tindakan yang tepat namun ianya tidak akan memberi jalan penyelasaian bagi jangka masa panjang.

5.    Dalam melalui fasa pandemik, masyarakat umumnya banyak menghabiskan masa di atas talian dan begitu juga dengan isu jenayah seksual atas talian yang telah meningkat di serata dunia. Isu ini tidak wajar terhenti di dengan penutupan kumpulan dan tindakan ke atas pesalah.  

6.     Keseriusan hal ini tidak dapat dinafikan apabila Korea Selatan turut mengalami isu yang sama di mana wanita dan kanan-kanak telah menjadi objek kepada jenayah seksual. Selain daripada mendakwa pesalah serta ahli kumpulan aplikasi terbabit, kerajaan Korea Selatan turut mengumumkan kerjasama antara agensi bagi membasmi jenayah seksual atas talian hingga ke akar umbi dan juga hukuman yang lebih berat dikenakan.

Saya mohon perhatian Kementerian demi keselamatan wanita dan kanak-kanak di Malaysia. Segala pertimbangan dan kerjasama amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Salam hormat. 


Yang berkhidmat ,

NURUL IZZAH ANWAR

Ahli Parlimen Permatang Pauh