Skip to main content

1. Impak buruk pandemik COVID 19 telah menyebabkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua di beberapa buah negeri dan juga mengisytiharkan darurat seluruh negara. 

2. Meskipun pengisytiharan darurat menimbulkan kontroversi di kalangan orang awam, komitmen untuk bersatu padu melawan Covid-19 adalah jelas. Tidak dapat dinafikan bahawa situasi pandemik berada di tahap yang kritikal dan mewajibkan langkah pembendungan yang padu. 

3. Penularan wabak yang tidak terkawal di penjara dan tempat tahanan bukan sahaja mengancam banduan, tetapi turut mendedahkan risiko kepada pegawai penjara, keluarga mereka dan penduduk yang tinggal berhampiran. Sementara itu, berbilion-bilion ringgit telah dibelanjakan untuk menampung kos pembendungan dan pengurangan penularan wabak dalam kalangan masyarakat Malaysia. Perkara ini telah melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan negara yang sudah sampai pada tahap kritikal. 

4. Kini, badan eksekutif mempunyai kuasa penuh mengemudi tadbir negara selepas pengisytihran darurat dilaksanakan. Aspek ketelusan dan akauntibiliti terhadap tadbir urus kerajaan tidak boleh dippingirkan. 

5. Jika pihak berwajib serius untuk mengatasi penularan virus, kami menyeru agar kerajaan bertindak segera dalam isu kesesakan penjara dan tempat tahanan sebagai langkah awal untuk menangani penambahan kes kluster penjara, selaras dengan visi dan agenda pembaharuan Jabatan Penjara. Pembebasan segera banduan yang berkelayakan dan berkelakuan baik merupakan langkah penting untuk menangani penambahan kes dalam kluster penjara dan kluster komuniti yang berkenaan. 

6. Ketua Pengarah Penjara telah menyatakan masalah kesesakan penjara sejak Oktober 2020[1] dan mencadangakan banduan yang menjalani hukuman kurang daripada setahun dibebaskan segera. Berdasarkan ini, hampir 11,018 orang banduan dalam kategori kesalahan ringan, layak untuk dibebaskan awal. Tindakan ini akan mengurangkan kesesakan penjara secara ketara. Namun sehingga hari ini, jumlah sebenar banduan yang telah dibebaskan (jika ada) masih tidak dapat dikenal pasti. 

7. Setiap usaha untuk mengurangkan kesesakan penjara perlu dilakukan bersama dengan sokongan peruntukan yang secukupnya dan usaha integrasi semula banduan dalam masyarakat. Sistem sokongan berkaitan dengan urusan perumahan (rumah sementara), makanan, pekerjaan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan perlu disediakan. 

8. Pihak Eksekutif yang kini mempunyai kuasa mengawal dan bertanggungjawab sepenuhnya digesa untuk menyegerakan penyelarasan antara kementerian dan agensi kerajaan berkaitan, pakar kesihatan awam, dan wakil masyarakat sivil untuk menjalinkan kerjasama dan memberi sokongan kepada Jabatan Penjara dalam melaksanakan Pembebasan Banduan Secara Berlesan (PBSL) dengan melaksanakan program integrasi semula banduan dan masyarakat berdasarkan fakta (evidence-based). 

9. Malaysia ketinggalan jauh berbanding 50 buah negara lain dalam melaksanakan pembebasan awal dan integrasi semula banduan bersama masyarakat bagi mengurangkan kesesakan penjara ketika pandemik Covid-19. [2] 

10. Tidak ada lagi alasan untuk melengahkan tindakan segera ini.

Kenyataan media ini disokong ahli KRPPM: 

1. YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Pengerang – UMNO) 

2. YB Dato’ Sri Hajah Rohani Binti Abdul Karim (Batang Lupar – PBB)

3. YB Senator Dato’ Sri Vell Paari (Senator – MIC) 

4. YB Nurul Izzah (Permatang Pauh – Keadilan) 

5. YB Dato’ Mohd Azis Jamman (Sepanggar – Warisan) 

6. YB Senator Liew Chin Tong (Senator – DAP)

7. Professor Dato’ Dr. Adeeba Kamarulzaman (CERiA, Universiti Malaya) 

8. Puan Sangeet Kaur Deo (Peguambela dan Peguamcara, Karpal Singh & Co) 

[1] New Straits Times , October 7, 2020 

https://www.nst.com.my/news/nation/2020/10/630268/prisons-department-em ploying-drastic-measures-curb-virus-spread-among 

[2] Harm Reduction International, 

https://www.hri.global/covid-19-prison-diversion-measures