Skip to main content
EducationSosio Ekonomi

Kerajaan Masih Nekad Mengawal Universiti Sementara Memotong Subsidi IPTA Menerusi Manipulasi Autonomi – Adakah Pengecualian UKM Bukti Campur Tangan Politik & Pilih Kasih?

By 27 October, 2015February 18th, 2020No Comments

Pada 2012, Mantan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Khaled Nordin telah menjanjikan autonomi penuh menjelang 2015 kepada 5 universiti penyelidikan – yang bermula dengan audit terhadap pengurusan kewangan, pengurusan institusi, pengurusan akademik dan pengurusan sumber manusia. UKM dan USM merekodkan lebih 80 peratus bagi kesemua indikator – yang menyimpulkan kesediaan kedua dua universiti untuk menerima autonomi penuh.

Dalam kenyataan yang sama, Datuk Khaled Nordin menjanjikan bahawa : autonomi penuh tidak bermaksud universiti punyai kebebasan dalam mengenakan peningkatan yuran mahupun penswastaan semata-mata.

Tambah beliau lagi, “kerajaan tidak akan melepaskan tanggungjawab menyediakan pendidikan yang mampu milik dan yang berkualiti buat rakyat. Universiti yang punyai autonomi masih akan diberi peruntukan pengurusan oleh kerajaaan untuk mengurangkan kos pendidikan, dan walau pihak universiti dijangka akan menaikkan yuran, kemasukan pelajar haruslah berteraskan kualiti bukan kapasiti membayar.”

Audit Rintis Kementerian Pendidikan Tinggi ketika itu dilaksana oleh sebuah pasukan yang dipimpin oleh Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Pasukan yang sama telah menghasilkan instrumen pelaksanaan audit khasnya Kod Pengurusan Baik Universiti dan Indeks Pengurusan Baik Universiti.

Bajet yang diperuntukkan untuk IPTA pada tahun 2013 adalah sebanyak RM7,275,972,600; meningkat ke RM8,466,340,300 pada tahun 2014; kemudiannya RM8,753,564,300 pada tahun 2015; dan sekarang menurun ke RM7,311,337,500 dalam Bajet 2016[2].

Malangnya, yang berlaku adalah kenaikan yuran universiti sebelum pun rejim cukai GST dilaksanakan. Sebagai contoh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yuran kemasukan pelajar meningkat sebanyak 13% daripada RM310 (2014) kepada RM410 (2015). Yuran Kolej juga meningkat sebanyak 13% dari RM432.50 (2014) kepada RM 552.50 (2015). Keadaan menjadi lebih sukar buat para mahasiswa apabila kebanyakan barangan di dalam Universiti naik jua pasca GST.

Akhirnya, terma autonomi dimanipulasi kerajaan apabila peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi dipotong sebanyak 13% daripada RM15.78 bilion pada 2015 kepada RM13.37 bilion terkini.
Universiti Malaya paling banyak menerima potongan dalam pembiayaan iaitu, RM175 juta atau 27.3 peratus. Sementara Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Malaysia Terengganu, peruntukan masing-masing dipotong 23 peratus. Bajet bagi 11 IPTA lain pula dikurangkan antara 10 dan 20 peratus, manakala empat lagi IPTA peruntukan dikurangkan sehingga 10 peratus berbanding peruntukan sebelum ini.

Pun begitu, terdapat satu anomali apabila UKM satu-satunya IPTA yang peruntukannya tidak dipotong malah dinaikkan sebanyak 5%. Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga seiringan dalam anomali ini apabila semua kementerian lain dipotong dananya.

Mengapa? Hanya Perdana Menteri yang mampu menjawab persoalan ini. Yang pastinya, pada tahun 2012 Naib Canselor UKM telah mempengerusikan Jawatankuasa Audit Rintis Kementerian Pengajian Tinggi. Jawatankuasa ini adalah bertujuan untuk menilai kesediaan autonomi semua IPTA di Malaysia.

Jika justifikasi peruntukan IPTA dipotong adalah kerana autonomi kewangan IPTA, adakah pengerusi Jawatankuasa ini mengatakan UKM sahaja satu-satunya IPTA yang belum bersedia untuk autonomi? Jelas terdapat konflik kepentingan di sini sama seperti JPM dan kementerian-kementerian yang lain.

Autonomi yang dituntut adalah dalam lima bidang autonomi, iaitu pengurusan kewangan, pengurusan institusi, pengurusan akademik dan pengurusan sumber manusia. Autonomi yang dituntut adalah dalam mengurus kewangannya dalam maksud perbelanjaan IPTA bukan dalam maksud mencari sumber kewangannya sendiri. Autonomi yang wajib diberi kerajaan untuk memastikan IPTA Malaysia membangun dengan jayanya ialah autonomi akademik, pengurusan institusi dan sumber manusia. Naib-Naib Canselor di IPTA adalah ahli akademik bukannya pakar-pakar ekonomi ditugaskan untuk mencari dana buat IPTA.

IPTA sekarang masih diikat dengan peraturan-peraturan yang pastinya mengikat minda mereka dengan telunjuk pemerintah. Hakikat ini terbukti apabila mahasiswa/i di ambil tindakan digantung dari pembelajaran hanya kerana menganjurkan forum GST.

Kerajaan wajib menghentikan manipulasi autonomi IPTA dan mengembalikan keutamaan dana negara untuk membina pendidikan berkualiti khususnya dalam bidang tertiari; dan melaksana autonomi minda, akademik dan pengurusan dalam erti kata sebenarnya buat IPTA kita. Keutamaan kita buat pendidikan anak-anak, bukan untuk mengisi tabung JPM yang bertambah 507% daripada RM4 bilion pada 2006 kepada RM20.3 bilion menjelang Bajet 2016.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN