Skip to main content
EducationMediaPenerbitanPolitik

Keunggulan Universiti Malaysia: Kualiti Akademik, Bukannya Kualiti Pak Turut Yang Harus Jadi Ukuran

By 28 January, 2015February 5th, 2021No Comments

Hak berpolitik merupakan salah satu daripada hak-hak peribadi setiap rakyat yang dijamin di bawah perlembagaan Malaysia. Sokongan terhadap parti-parti tertentu tidak seharusnya menjadi kayu ukur terhadap kebolehan seseorang itu untuk berkhidmat kepada negara. Yang wajar dijadikan kayu pengukur ialah mutu perkhidmatan yang diberikan (merit), bukannya kecenderungan ataupun kesetiaan politik.

Justeru, kita dikejutkan dengan laporan media alternatif berkait Professor Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya yang telah tidak disambung perkhidmatannya, didakwa kerana tidak menyokong sesebuah parti politik.

Jika ia benar, ini bukti zahir wujud campurtangan politik dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia.

Perlu diingat, perbezaan pendapat merupakan sesuatu yang sihat malah wajar diraikan; seperti dinukil Prof Syeikh Yusuf Al-Qardhawi, dan adalah aspek penting dalam pembangunan sesebuah negara demi menuju negara yang berasaskan pengetahuan. Zaman di mana kerajaan tidak boleh dipersoal dan sentiasa benar sudah lama berlalu.

Sheikh Yusuf Al-Qaradawi mengingatkan bahawa perbezaan pendapat bukanlah sesuatu yang buruk, malah perbezaan itulah yang mendokong dan menyokong antara satu sama lain.

Perkembangan idea-idea yang bernas tidak boleh disandarkan kepada sesebuah pihak sahaja. Kata-kata pujangga: “You have your way. I have my way. As for the right way, the correct way, and the only way, it does not exist.”

Kata-kata ini menggambarkan bahawa kita tidak boleh sama sekali mengenepikan idea-idea yang mungkin berlainan daripada idea-idea kita sendiri, tanpa mengambil kira merit atau kesesuaian idea tersebut, terutamanya dalam pentadbiran sesebuah negara. Sikap terbuka ini membuka ruang bagi kita menerokai dimensi-dimensi baru, yang kita tidak mungkin terfikir tanpa bantuan daripada orang lain. Bayangkan sekiranya sehingga hari kita bersikap tertutup, dan tidak menerima telahan dari sarjana seperti Aristotle atau pun Khalifah Abū Jaʿfar Abdullāh al-Maʾmūn ibn Harūn, mungkin barangkali kita masih lagi berfikir bahawa dunia ini bukan sebuah sfera. Sudah tentu banyak inovasi moden yang kita nikmati pada hari ini tidak wujud.

Perbezaan pendapat ini juga membuka ruang untuk kita menilai kekuatan atau kelemahan yang ada pada idea-idea kita sendiri. Pak-pak turut yang cuma tahu untuk mengangguk akan setiap tindak-tanduk pemimpin mereka akan gagal untuk memberikan gambaran sebenar akan kesesuaian sesebuah idea tersebut untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Sebagai contoh, Malaysia sedang mengalami masalah yang mana pasaran minyak sedunia semakin menurun, yang memberikan kesan yang mendalam terhadap ekonomi daln nilai matawang Ringgit. Seharusnya, kerajaan memberikan peluang kepada pihak-pihak yang berkepentingan, terutamanya kepada badan legislatif terunggul iaitu Parlimen untuk membincangkan pemotongan terhadap belanjawan negara. Kita bimbang sekiranya pemotongan belanjawan ini akan melibatkan pemotongan terhadap perkhidmatan-perkhidmatan seperti pendidikan dan kesihatan, dalam pada masa belanjawan terhadap Jabatan Perdana Menteri langsung tidak diusik.

Kita mesti ingat, kawan yang sebenar ialah kawan yang mengingatkan serta menegur kesilapan yang kita lakukan, bukannya yang hanya mengangguk, menunggu kemusnahan yang bakal berlaku.

Justeru, demi masa depan negara yang lebih baik, kita mestilah meraikan perbezaan pendapat. Campurtangan politik demi kepentingan politik pemerintah perlu dihentikan dengan segera. Dalam kes Professor Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, aspek kecenderungan politik tidak boleh dijadikan alasan samada dikekalkan perkhidmatan beliau dalam universiti.

Menurut laman web Universiti Malaya, Prof Dr Hamdi telah menumpukan kehidupan professional beliau dalam menggalakkan lagi bidang penyelidikan dan telah menjadi mentor kepada seramai 112 pelajar pascasiswazah dalam bidang mesin dan biomaterial. Kejayaan beliau yang terbesar ialah beliau menubuhkan Centre of Advanced Manufacturing and Material Processing (AMMP Centre) pada tahun 2003, yang telah berjaya membuat penyelidikan dari peringkat asas hingga ke peringkat pra-komersial, yang bernilai RM14 juta sehingga kini.

Laman tersebut juga menyatakan bahawa Prof Dr Hamdi juga telah berjaya menjadikan Fakulti Kejuruteraan sebagai salah satu fakulti yang paling berjaya di Universiti Malaya, sewaktu bertugas sebagai Ketua Jabatan Kejuruteraan dari tahun 2009 hingga 2011.

Jelas, sumbangan Prof Dr Hamdi ini amat bernilai kepada negara, dan seterusnya kepada rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang politik, bangsa ataupun agama.

KEADILAN akan terus memantau situasi ini dan memastikan kesemua rakyat terlindung daripada dizalimi akibat kecenderungan politik yang berbeza dengan parti-parti pemerintah.