Skip to main content
MediaPress ReleaseStatements

SPR Perlu Membenarkan Semua Parti Politik, bukan sahaja Agensi UMNO Mendaftar Pengundi Baru atau Melaksana Pendaftaran Pengundi Secara Automatik dengan Serta Merta

By 19 January, 2015February 5th, 2021No Comments

UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA

SPR Perlu Membenarkan Semua Parti Politik, bukan sahaja Agensi UMNO Mendaftar Pengundi Baru atau Melaksana Pendaftaran Pengundi Secara Automatik dengan Serta Merta

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini mengumumkan keputusan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sejak 2013 untuk membenarkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) selain daripada Jasa dan Kemas kuasa untuk mendaftar pengundi.

Kuasa yang diberikan kepada JKKKP, Jasa dan Kemas boleh disamakan selaku memberi kuasa kepada UMNO untuk mendaftar pengundi terpilih; seperti disebut oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal:

“…400,000 anggota Umno masih lagi belum didaftarkan sebagai pengundi dan usaha akan diperkasakan bagi mendaftar mereka. “

Pengumuman yang dibuat oleh Naib Presiden UMNO tersebut, beserta kuasa yang disalur kepada agensi bertindak UMNO, di bangunan UMNO Selangor, bersebelahan Pengerusi UMNO Selangor jelas mempamerkan kelebihan ruang mendaftar pengundi yang diberi kepada UMNO sementara dinafikan buat parti-parti politik lain di Malaysia.

Bukankah tindakan ini seolah-olah hanya memberikan kuasa kepada UMNO dengan bertopengkan agensi kerajaan seperti JKKKP?

Laman sesawang SPR menjanjikan tugas-tugas suruhanjaya tersebut akan dijalankan dengan “Cekap & Telus.” Artikel 114 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “… Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengambil perhatian tentang peri mustahaknya suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.” Hal ini memerlukan SPR menjalankan tugas-tugas mereka dengan terbuka, telus dan adil. Sudah tentu dengan memberikan hak esklusif kepada agensi kerajaan seperti JKKKP akan membangkitkan rasa gelisah orang ramai tentang integriti dan sikap adil SPR.

Alasan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, untuk tidak melaksanakan pendaftaran pengundi automatik tidak dapat diterima kerana pendaftaran secara automatik ini dapat mengelakkan mana-mana pihak memanipulasikan daftar pemilih untuk memihak kepada sesetengah parti sahaja. Beliau sebelum ini mengatakan jika pendaftaran automatik itu dilakukan ia akan menyebabkan pertambahan jumlah pengundi secara mendadak di beberapa kawasan.

Bukankah antara tugas utama SPR ialah untuk melakukan verifikasi kepada maklumat-maklumat dalam daftar pemilih adalah tepat? Justeru Tan Sri Abdul Aziz perlu samada melantik Penolong Pendaftar Pemilih (ARO) dari kalangan semua pihak-pihak berkepentingan termasuk parti-parti politik; ataupun membuat pendaftaran pemilih secara automatik bukannya terus memberi seribu-satu alasan.

Persoalan-persoalan ini perlu dijawab oleh SPR untuk memastikan integriti badan tersebut terjamin, dan berlaku adil untuk menyuburkan lagi proses demokrasi di Malaysia.

NURUL IZZAH ANWAR
NAIB PRESIDEN KEADILAN
PENGARAH JAWATANKUASA PILIHANRAYA PUSAT KEADILAN