Skip to main content
ParliamentPilihanrayaUndang-Undang

SPR Wajib Menunda Proses Persempadanan Sehingga Semakan Undang-Undang Di Mahkamah Selesai

By 13 January, 2015February 5th, 2021No Comments

Pada 27 November 2014, Jawatankuasa Persempadanan Semula Pakatan Rakyat telah menegaskan bahawa sebarang penambahan kerusi yang bersifat tidak adil dan saksama akan ditolak oleh Pakatan Rakyat. Jawatankuasa ini juga telah menegaskan keperluan penubuhan satu jawatankuasa bebas untuk mengendalikan persempadanan semula kawasan pilihan raya seperti yang diamalkan di United Kingdom kerana integriti dan kebebasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sangat diragui. Berlandaskan latar inilah yang mewajibkan SPR melaksana proses persempadanan Negeri Sarawak yang bermula pada 5 Januari 2015 dengan profesional dan adil.

Malangnya, proses tersebut lebih menimbulkan kesulitan dan persoalan lanjut:

Pertama, mengapakah persempadanan semula negeri Sarawak yang bermula pada 5 Januari 2015 merupakan proses penambahan kerusi pertama di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dilaksana tanpa penambahan kerusi Parlimen?

Kedua, mengapakah SPR bertindak melanggar undang-undang berkait hal ehwal sempadan kawasan pilihanraya di dalam proses persempadanan yang menambah kerusi DUN, yang menyatakan:

[Seksyen 7, Akta Pilihan Raya, 1958 (Akta 19), di bawah Prinsip-prinsip Membelah Bagi]

Sempadan Bahagian Pilihan Raya

Urusan belah bahagi daerah-daerah mengundi adalah ditumpukan dan terhad dalam satu-satu Bahagian Pilihan Raya Negeri sahaja. Oleh itu, urusan belah bahagi daerah-daerah mengundi adalah TIDAK BOLEH SAMA SEKALI melampaui sempadan Bahagian Pilihan Raya Negeri apatah lagi parlimen termasuklah urusan untuk tujuan mencatumkan 2 daerah mengundi yang kecil atau sebahagiannya yang terletak di sempadan 2 Bahagian Pilihan Raya yang berlainan.

Tindakan SPR mengubah mana-mana Daerah Mengundi daripada satu kawasan parlimen ke satu parlimen yang lain adalah bercanggah dengan seksyen ini. Walaupun sempadan kawasan Parlimen tidak dirubah dalam persempadanan semula negeri Sarawak kali ini, terdapat kes-kes dimana sesetengah daerah mengundi dipindahkan daripada sebuah kawasan Parlimen, kepada sebuah kawasan Parlimen yang lain, yang dilihat seperti berikut:

 

DAERAH MENGUNDI

TAHUN 2005

Tahun 2015

Perpindahan

Parlimen

1 RPR Batu Kawah N11 Batu Lintang P195 Bandar Kuching N14 Batu Kawah P196 Stampin P195 ke P196
2 Sungai Apin N22 Sebuyau P201 Batang Lupar N25 Simunjan P200 Batang Sadong P201 ke P200
3 Tanjong Beluku N22 Sebuyau P201 Batang Lupar N25 Simunjan P200 Batang Sadong P201 ke P200
4 Slangking N22 Sebuyau P201 Batang Lupar N25 Simunjan P200 Batang Sadong P201 ke P200
5 Selalang N35 Belawai (ditukar ke Kuala Rajang) P206 Tanjong Manis N40 Kabong P205 Saratok P206 ke P205

Jadual 1: Antara Perpindahan Daerah Mengundi yang membabitkan pertukaran Parlimen antara proses persempadanan tahun 2005 dengan proses terkini (2015)

Ketiga: Penukaran paparan maklumat dalam persempadanan kali ini – di mana senarai lokaliti tidak disertakan di dalam notis SPR, berbeza dengan proses sebelumnya pada tahun 2005, mengundang dakwaan bahawa ada maklumat yang cuba disembunyikan dari pengetahuan umum.

Sebagai contoh, pada pilihanraya 2013, daerah mengundi Nanas-Pisang di N11 Batu Lintang mempunyai seramai 2974 orang pengundi. Pada persempadanan semula oleh SPR kali ini, daerah mengundi ini dipindahkan ke N14 Batu Kawah, tetapi kawasan DUN persebut hanya menerima seramai 2021 orang pengundi. Paparan sebegini menyulitkan pengesanan 953 orang pengundi lebihan.

Justeru, tindakan-tindakan yang tidak profesional ini menimbulkan syak wasangka terhadap kebebasan dan ketelusan SPR dalam proses persempadanan semula ini.

Saya menyeru rakyat, termasuk semua pihak berkepentingan yang terdiri daripada parti-parti politik dan masyarakat madani lainnya (NGO) supaya:

  1.  Mendokong semakan perundangan mahkamah terhadap proses persempadanan yang sedang berlangsung di Negeri Sarawak, yang dipelopori oleh YB Baru Bian. Jelas bahawa negeri-negeri lain dalam Malaysia akan menerima padah proses persempadanan yang tempang apabila reformasi pilihanraya seperti yang termaktub di dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tidak dilaksanakan.
  2.  SPR menunda dengan serta-merta proses persempadanan semula sehingga penambahbaikan terlaksana – bermula dengan menyelesaikan kelemahan-kelemahan yang dibangkit sehingga kini.

SPR perlu bertugas demi rakyat, bukannya menjadi komponen kepada parti politik pemerintah, sekaligus mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat Malaysia.

NURUL IZZAH ANWAR
NAIB PRESIDEN KEADILAN 
PENGARAH JAWATANKUASA PILIHANRAYA PUSAT KEADILAN