Skip to main content
Press Release

LAPORAN PISA 2012: KITA PERLUKAN REFORMASI PENDIDIKAN, BUKAN TRANSFORMASI

By 4 December, 2013February 18th, 2020No Comments

Pada 3 Disember, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah mengeluarkan laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012. Sekali lagi rakyat Malaysia dikejutkan dengan prestasi pelajar Malaysia yang semakin merudum. Pelajar Tingkatan 3 Malaysia setaraf dengan pelajar Darjah 5 dari Singapura dan Korea Selatan!

Menurut laporan tersebut, dalam bidang pembacaan, Pelajar Malaysia telah mendapat 393 mata, turun daripada 414 mata pada tahun 2009. Dalam bidang sains pula, pelajar Malaysia mendapat 420 mata, turun dua mata berbanding 422 dalam tahun 2009. Cuma dalam bidang Matematik prestasi Pelajar Malaysia meningkat, iaitu 421 mata berbanding 404 mata pada tahun 2009, tetapi keputusan ini masih lagi dibawah keputusan purata sedunia.

Juga lebih mengejutkan, Vietnam juga meletakkan negara mereka di tangga yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. Dalam bidang pembacaan, sains dan matematik, negara itu dilaporkan menerima 508, 528, 514 mata masing-masing.

Apabila dibandingkan, berbanding dengan Vietnam, pelajar Malaysia berada lebih kurang 2.5 tahun di belakang pelajar Vietnam dalam bidang Matematik, dan dalam bidang Sains pula pelajar Malaysia berada 2.8 tahun di belakang pelajar Vietnam. Dan berbanding pelajar Singapura, Korea dan China, pelajar Malaysia terkebelakang sebanyak 4 tahun!

Sebelum ini Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah berkata dalam suatu laporan pada Mac 2012 bahawa sistem pendidikan Malaysia lebih baik daripada negara-negara maju. Berdasarkan keputusan ini, saya merasakan Menteri kita juga menjadi mangsa kepada penurunan taraf pembacaan kerana tidak ada negara maju yang berada di bawah Malaysia dalam laporan PISA 2012 ini.

Bayangkan, setelah hampir 60 tahun berada di tampuk pemerintahan, Kerajaan Barisan Nasional telah menurunkan prestasi pelajar, di masa bila negara lain semakin maju dalam memastikan generasi akan datang mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa, kita semakin ketinggalan bukan sahaja di peringkat antarabangsa, bahkan di peringkat serantau.

Sepertimana yang pernah kami nyatakan sebelum ini, kita mestilah berani dan jujur untuk membuat sebuah reformasi radikal kepada sistem pendidikan kita. Transformasi kosmetik tidak akan mampu menyediakan anak-anak kita untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Kita mestilah berani untuk berhenti mencampur-adukkan politik dalam sistem pendidikan. Saya mencadangkan supaya sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen dwi-partisan untuk sistem pendidikan ditubuhkan bagi mengkaji dan mencadangkan penambah-baikkan kepada sistem pendidikan Malaysia. Selain daripada itu, sebuah Majlis Pendidikan Kebangsaan yang akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada kesemua pemegang hak (stakeholders) termasuk Parti Politik, para akademik dan wakil-wakil yang berkenaan perlu ditubuhkan segera bagi menyelesaikan masalah ini dengan segera.

Saya harap kemerosotan pendidikan negara akan diperdebatkan di Perhimpunan Agung UMNO, kerana sebahagian besar daripada pelajar yang terkesan daripada kemerosotan taraf pendidikan ini adalah pelajar Melayu. Sebagai sebuah Parti yang mengaku memperjuangkan maruah Bangsa Melayu, adalah memalukan sekiranya masalah ini tidak dibahaskan.