Skip to main content
Penerbitan

Reformasi Pendidikan perlu dijalankan segera

By 5 December, 2013February 18th, 2020No Comments

Free Malaysia Today
Alfian ZM Tahir
December 4, 2013

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar hari ini meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi pelajar Malaysia yang mengalami kemerosotan mendadak seperti yang dilaporkan oleh Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012.

Ahli parlimen Lembah Pantai itu turut merujuk laporan berkenaan yang jelas menunjukkan perbezaan ketara antara pelajar tingkatan 3 di Malaysia yang dikatakan setaraf dengan pelajar tahun 5 dari Singapura dan Korea Selatan.

“Pada 3 Disember 2013, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah mengeluarkan laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012,”katanya.

“Para pelajar Malaysia telah mendapat 393 mata, turun daripada 414 mata pada tahun 2009 dalam ujian membaca. Bagi mata pelajaran Sains, pelajar Malaysia meraih 420 mata, turun dua mata berbanding 422 dalam tahun 2009,”

“Peningkatan dapat dilihat dalam mata pelajaran Matematik, iaitu 421 mata berbanding 404 mata pada tahun 2009, namun demikian, keputusan ini masih lagi di bawah paras purata keputusan sedunia,” ujar beliau didalam satu kenyataan media.

Nurul Izzah kemudian membandingkan negara Vietnam yang menduduki tangga yang jauh lebih baik berbanding Malaysia.

“Dari segi pembacaan, Sains dan Matematik, Vietnam dilaporkan meraih 508, 528 & 514 mata masing-masing,”

“Pelajar Malaysia berada lebih kurang 2.5 tahun di belakang pelajar Vietnam dalam mata pelajaran Matematik, dan dalam mata pelajaran Sains pula, pelajar Malaysia berada 2.8 tahun di belakang pelajar Vietnam,”

Dalam pada itu Nurul Izzah turut menempelak kerajaan Barisan Nasional yang dilihat gagal untuk membawa peningkatan terhadap prestasi pelajar di Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Beliau juga meragui kenyataan awal yang dibuat Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata bahawa tahap pendidikan di Malaysia lebih baik berbanding negara negara maju.

“Pada Mac 2012, Menteri Pendidikan, Muhyiddin Yassin berkata sistem pendidikan Malaysia lebih baik berbanding negara-negara maju.

“Saya berpendapat bahawa menteri kita juga menjadi mangsa kepada penurunan taraf pembacaan kerana tidak ada negara maju yang berada di bawah Malaysia dalam laporan PISA 2012 ini,”

“Bayangkan, setelah hampir 60 tahun berada di tampuk pemerintahan, Kerajaan Barisan Nasional telah menurunkan prestasi pelajar, di masa bila negara lain semakin maju,”

“Kita mestilah berani dan jujur untuk membuat sebuah reformasi radikal kepada sistem pendidikan kita. Transformasi kosmetik tidak akan mampu menyediakan anak-anak kita untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Kita mestilah berani untuk berhenti mencampur-adukkan politik dalam sistem pendidikan,” tambah beliau.

Nurul Izzah kemudian mencadangkan supaya ditubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen dwi-partisan untuk mengkaji penambah-baikkan sistem pelajaran di Malaysia.

Selain daripada itu, beliau menegaskan agar sebuah Majlis Pendidikan Kebangsaan yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada Parti Politik dan para akademik ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah ini dengan segera.

“Saya harap kemerosotan pendidikan negara akan diperdebatkan di Perhimpunan Agung UMNO, kerana sebahagian besar daripada pelajar yang terkesan daripada kemerosotan taraf pendidikan ini adalah pelajar Melayu,”

“Sebagai sebuah Parti yang mengaku memperjuangkan maruah Bangsa Melayu, adalah memalukan sekiranya masalah ini tidak dibahaskan,” tegas beliau.

Dipetik dari:
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/12/04/reformasi-pendidikan-perlu-dijalankan-segera/