Skip to main content
KENYATAAN MEDIA

“KARNIVAL KESIHATAN PERMATANG PAUH 2019” :  BERSAMA INSTITUT JANTUNG NEGARA (IJN)

Seberang Jaya, 17 Mac 2019 – Karnival Kesihatan Permatang Pauh 2019 dengan tema “Gaya Sihat, Hidup Selamat” telah dianjurkan oleh YB. Nurul Izzah Anwar di bawah Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Permatang Pauh dengan kerjasama dari Institut Jantung Negara (IJN) dan beberapa agensi kesihatan yang lain. Karnival Kesihatan yang julung julung kali diadakan ini, melibatkan dua kawasan di sekitar Permatang Pauh, Dewan Serbaguna Taman Guar Perahu dan Mydin Bukit Mertajam.

Karnival Kesihatan ini menggalakkan akses kepada pemeriksaan kesihatan yang berkualiti, seramai hampir 1000 warga Permatang Pauh berjaya mendapatkan saringan kesihatan secara percuma, seperti pemeriksaan tekanan darah, paras gula dan kolestrol, Indeks Jisim Badan, pemeriksaan mata dan pergigian serta pemeriksaan asas kesihatan mental.

Program Karnival Kesihatan yang dijalankan selama (2) hari ini turut menjalinkan kerjasama di antara Hospital Bukit Mertajam, Hospital Seberang Jaya, Hospital Sultanah Bahyah, Klinik Pergigian Daerah, serta agensi yang terlibat memberikan kesedaran tentang penyakit merbahaya seperti Yayasan Kanser Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Malaysia, Community Aids Service Penang, Befriends Penang dan E-Idaman.

Pada majlis penutup Karnival ini juga, Federal Oats Mills Sdn Bhd telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000.00 bagi membantu Tabung Bantuan Pesakit Jantung, Yayasan IJN. Menerusi Projek Sinar-HARAPAN – MyHeart yang telah dilancarkan pada Julai 2018 oleh YB Nurul Izzah Anwar, Yayasan IJN bersama Yayasan MyPrihatin telah menawarkan bantuan kewangan kepada pesakit-pesakit miskin di Pulau Pinang yang memerlukan bantuan untuk menjalani rawatan dan pembedahan jantung di IJN Kuala Lumpur.

Nurul Izzah Anwar,

Ahli Parlimen Permatang Pauh

17 Mac 2019