Skip to main content

KENYATAAN MEDIA

PERASMIAN PUSAT LATIHAN PERMATANG PAUH WOMEN’S PROJECT (PPWP)

DENGAN KERJASAMA BERSAMA YAYASAN MYPRIHATIN DAN PRUBSN

Permatang Pauh, 16 Mac 2019 – Permatang Pauh Women’s Project (PPWP) adalah di antara salah satu inisiatif yang diusahakan oleh YB. Nurul Izzah Anwar bagi membangunkan dan memperkasakan wanita khususnya dari Permatang Pauh. Projek PPWP yang pada awalnya melibatkan hampir dua puluh (20) wanita bagi fasa pertama, telah dijalankan semenjak Julai 2018. Peserta wanita yang terlibat di dalam projek ini telah diberikan kursus jahitan selama enam (6) bulan sebelum menghasilkan produk jahitan berasaskan batik Malaysia.

Susulan daripada itu, Yayasan Myprihatin, Prudential BSN Takaful Berhad dan jenama fesyen Heliza Guzelhive, telah berbesar hati menjalinkan kerjasama bersama PPWP di bawah  Program Jana Ekonomi Prihatin (Projek Prihatin), bertujuan untuk membantu golongan wanita dan ibu tunggal yang kurang berkemampuan menjana pendapatan tambahan menerusi latihan dan kemahiran yang bersesuaian.

Pelancaran Projek Prihatin ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh YB. Nurul Izzah Anwar, Adun Penanti YB. Dr. Norlela Haji Ariffin, Presiden PRUBSN Prihatin Encik Wan Saifulrizal Wan Ismail, Pengasas Yayasan Myprihatin, Encik Muhd Al-Bazli Bakar, beserta pengasas Heliza Guzelhive, Cik Nur Heliza Helmi.

Projek yang melibatkan seramai 20 orang peserta ini akan dijalankan selama setahun di Pusat Latihan PPWP yang telah dirasmikan pada hari yang sama di Bangunan Yayasan Aman, Permatang Pauh, Pulau Pinang. Para peserta bukan sahaja akan melalui latihan dan kemahiran teknikal, malahan akan diberi latihan keusahawanan seperti pemasaran produk secara atas talian oleh Shopee, penyediaan akaun kewangan serta kaedah pemasaran produk.

Nurul Izzah Anwar,

Ahli Parlimen Permatang Pauh

26 Mac 2019