Skip to main content
KENYATAAN MEDIA

KARNIVAL RAKYAT PERMATANG PAUH 2019

Seberang Jaya, 6 April 2019 – Bertempat di Politeknik Seberang Perai, telah diadakan Karnival Rakyat Permatang Pauh 2019 selama dua (2) hari berturut-turut, iaitu pada 6 & 7 April. Karnival yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Permatang Pauh ini melibatkan kerjasama bersama Hotlink dan Pejabat Daerah & Tanah Seberang Perai Tengah.

Karnival yang diadakan berkonsepkan melebarluas khidmat dan informasi kepada rakyat ini, diselitkan dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan seperti aktiviti kanak-kanak yang melibatkan STEM dan robotik, pertandingan e-Sport yang melibatkan pemilihan Sukan SEA bagi mewakili Pulau Pinang, serta kelas menghasilkan manik dan demo mewarnakan Batik.

Agensi-agensi kerajaan yang terlibat juga diberikan peluang mempromosi maklumat terkini dan perkhidmatan sedia ada bagi membantu mereka yang memerlukan. Pameran agensi yang melibatkan lebih empat puluh (40) agensi ini termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tenaga Nasional Berhad, Kraftangan Malaysia, Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, PERDA, FAMA, Universiti Teknologi MARA, IKBN, Kolej Komuniti, telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengunjung yang hadir.

Tambahan pula, pengusaha industri kecil sederhana khususnya dari Permatang Pauh turut juga diraikan melalui Karnival ini apabila mereka dijemput bagi membuka gerai untuk mempromosikan perniagaan mereka, dari industri yang pelbagai. Karnival ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, YB. Nurul Izzah Anwar, bersama selebriti jemputan, Janna Nick dan wakil dari Hotlink, En. Farizul dan Leonard Chin. Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat daripada warga tempatan, adalah Batik Run, Pertandingan Bintang Nyanyian Patriotik, Pertandingan Street Soccer, pertunjukan oleh KTM Motor Stunt dan pameran Malaysian Club Prix.

Nurul Izzah Anwar,

Ahli Parlimen Permatang Pauh

6 April 2019