Skip to main content
Education

Maulid, bukan Maulud Nabi

By 22 March, 2009February 18th, 2020No Comments

koutoubiaAlhamdulillah, sempat saya menghadiri program gilang gemilang sambutan Maulidur Rasul di PPR Sri Pantai semalam. Walaupun pada mulanya sukar juga membahagi masa antara program setempat dengan program peringkat kerajaan negeri Selangor -kedua-duanya berlangsung pada masa yang sama –saya ambil keputusan untuk sama-sama menyambut Maulid Nabi di PPR Sri Pantai. 

Program tersebut merupakan anjuran Surau Al Makmur, Rukun Tetangga setempat dan juga Persatuan Penduduk PPR Sri Pantai yang baru ditubuhkan bulan lalu. Kira-kira 200 orang hadir bersama, termasuklah Ustaz Affandy mewakili JAWI dan Ustaz Roslan yang didatangkan khas dari Bentong (selaku penceramah jemputan). Ustaz Roslan menanyakan soalan cepu emas yang berbunyi:

“Adakah maulud ataupun maulid nabi yang tepat?” Saya terjawab salah -dahlah kuat pulak tu.

Begitulah pentingnya istilah bahasa yang kita gunakan. Kita belajar setiap masa, dan InsyaAllah apa yang baik itu sentiasa dikhabarkan oleh Allah SWT jikalau kita rajin mencari dan bersedia menerimanya.

Setelah berbincang dengan Ustaz Anwar (Middle Eastern Graduate Center), saya berkongsi kata-kata tersebut dengan para hadirin:

“Kita bersama pada malam ini untuk memperingati hari kelahiran junjungan besar kita, nabi Muhammad SAW. Kelahiran amirul mukminin yang beserta perkara-perkara irhasod (berunsur keajaiban).

Contohnya, tumbuhan-tumbuhan sekitar pada waktu itu, kekeringan, terus bertukar menjadi segar-bugar sinonim dengan ayat Al Quran yang berbunyi:

“Tidak aku utuskan engkau, wahai Muhmmad melainkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam”  Rahmatan lil alamin

Alam ini, hadiran hadirat sekalian merupakan mesej jelas bahawa bukan sahaja Rasulullah merupakan rahmat untuk kaum Muslimin, tetapi seluruh umat manusia, termasuklah binatang, tumbuh-tumbuhan sehinggakan serangga sekalipun. Begitulah tinggi darjat nabi kesayangan kita. Kerana itu , kita memperingati hari kelahiran beliau sebagai salah satu cara menyatakan kasih saying kita kepada beliau –sebagaimana Rasulullah SAW mengasihi kita.

Tetapi tidak cukup dengan hanya memperingati hari jadi beliau. Kita perlu mencontohi peribadi, perjuangan, ketegasan serta istiqamah dalam mengharungi cabaran yang telah Rasulullah SAW tonjolkan sebelum beliau kembali ke Rahmatullah. 

Walaupun di tengah-tengah kemelut dunia atau akhir zaman sebegini, kita perlu yakin dan percaya bahawa hidup dalam kebaikan itu akan membawa kepada kejayaan yang diberkati oleh Allah SWT. Bayangkan sekuntum bunga ros liar yang tumbuh di tengah-tengah hutan belantara –ianya mekar, mewangi walau di sana. Ada maksud jelas kenapa Allah Taala membiarkan kemekarannya –kita juga harus mekar dan tegar di tengah-tengah kemelut zaman.

Nabi Muhammad SAW telah berjaya membawa obor perjuangan mempertahankan hukum Islam walaupun menghadapi masyarakat jahiliyah yang sesat dan zalim. Diseksa, ditekan, digunakan pelbagai cara demi menekan dan mematikan semangat beliau.

Hadirin-hadirat sekalian,

Bayangkan, nabi yang paling hampir di sisi Allah SWT, paling dikasihi oleh Allah Taala juga diuji sebegini rupa. Ini pula kita. ”

Tidak lupa juga mesej terakhir yang menyebut perlunya kita memerangi rasuah dan terus amanah dalam memegang pelbagai jenis tugasan!

Saya kira saya agak terkesan dengan program maulid nabi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak di Lembah Pantai. Terima kasih dan setulus penghargaan diucapkan kerana pengisian yang diterima tepat pada masanya.