Skip to main content
Issues Affecting the RakyatPenerbitanPolitikReligionSosio Ekonomi

Negara Al-Amin ​- Bukan Sekadar Utopia!​

By 18 July, 2014February 5th, 2021No Comments

Dalam segala krisis dan kemelut yang kita hadapi dalam negara;​ dari persoalan ​kualiti ​pendidikan, kemiskinan, pembelaan golongan ​terpinggir​, pemberdayaan masyarakat , toleransi antara kaum dan sebagainya, kita tidak dapat tidak mengimpikan suatu tatanan masyarakat dan negara dimana keadilan dan kesaksamaan menjadi prinsip dan batu asas matlamat pemerintahan.

Sebagai umat Islam, kita pastinya mengenali Rasullullah ​SAW ​selaku​ seorang tokoh yang digelar Al-Amin kerana sikap baginda yang jujur,amanah, bijaksana​; ​dan peranan ​ Baginda​ sebagai seorang rasul, bapa,suami negarawan, panglima perang dan usahawan​ -​ ​semuanya sebagai​ tokoh yang wajar ​dicontohi kepribadiannya. Baginda malah pernah bersabda :

“إِذَا ضُيِّعَتِ اْلآمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ . قَالَ اَبُوْ هُرَيْرَةَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا ؟ قَالَ إِذَا اُسْنِدَ اْلأَمْرُ إِلىَ غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ (Apabila Amanah sudah disia-siakan maka tunggulah hari kiamat, Berkata Abu Hurairah Bagaimana menyia-nyiakan amanah itu ? Beliau menjawab “Apabila suatu pekerjaan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kiamat (saat kehancuran)” (hadis riwayat Bukhari)

Ketika Baginda berusia 35 tahun, di tengah-tengah konflik, antara pimpinan kabilah-kabilah di dalam meletakkan hajar aswad ke tempatnya semula, Rasullullah dengan mudahnya membentangkan serbannnya , dan meletakkan batu tersebut di tengah-tengah dan diangkat oleh kesemua pimpinan kabilah tersebut dengan memegang setiap penjuru. Kebijaksanan keputusan Nabi itu diterima oleh mereka dengan sebutan “kami terima keputusan Al-Amin”.

Begitulah sifat Al-Amin seorang rasul yang bijaksana dalam menyelesaikan konflik di dalam masyarakat ​bertonggak kepada kejujurannya dan keadilannya yang disegani ​lagi​ dihormati.

​Maka, di sini saya sarankan agar konsep Al-Amin digunapakai sebagai etika​ pentadbiran yang menggunapakai konsep yang saya nama kan sebagai negara Al-Amin ​.​

Negara Al-Amin ini adalah sebuah negara idaman bukan sahaja jujur dan telus pemerintahannya, malah suatu negara yang dipercayai kejujurannya dalam memberi keselamatan dan kesejahteraan kepada rakyatnya​;​ lebih-lebih lagi kepada golongan ​terpinggir​ dan rakyat miskin dengan mengambil semangat Al-Quran , Surah Quraisy, ayat 4 yang bermaksud

“Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan”

Negara Al-Amin bertujuan menjadi penjaga yang memelihara kebajikan rakyat terbanyak, bijaksana dalam mengelolakan polisi negara yang menguntungkan rakyat, sentiasa telus dan terbuka dalam perancangannya, memerangi korupsi sebagai amalan, dan juga mengangkat keadilan sebagai matlamat tertinggi.

Negara Al-Amin bukanlah sebuah negara hukum yang hanya tahu mengeluarkan segala macam perundangan dan hukuman yang didokong oleh fatwa-fatwa agama untuk menghukum rakyat marginal, termiskin dan terpinggir​ dan membiarkan elit-elit dan aparat pemerintah yang korup berleluasa​;​bahkan ianya sebuah negara yang membentuk mekanisme yang neutral dan saksama yang buta status,pangkat dan kuasa untuk memberikan keadilan yang setimpal bukan sahaja kepada mangsa malah juga pemangsa sebagai tujuan mendidik.

 

Ia juga suatu konsep yang menekankan pemberdayaan sosial, pengiktirafan hak-hak asasi manusia sebagai warganegara, mengendalikan perbezaan dan kepelbagaian dalam kerangka sosial kontrak yang dipersetujui bersama, membuang kecenderungan ekslusivi​ti​ kepada metod dan pendekatan yang lebih inklusif dan terbuka kepada kritikan, menjauhi penafsiran terhadap teks-teks suci secara literal yang bersifat ekstrem akan tetapi menggali keadilan sejagat dan kesetaraan, dan menjunjung kebajikan yang progresif dalam memahami keperluan , gaya hidup dan tindak-tanduk masyarakatnya dalam menempa arus pemodenan dan globalisasi.

 

Konsep Al-Amin ini jika diguna pakai sebagai etika yang melatari kehidupan masyarakat yang bermula dari individu, keluarga , masyarakat dan seterusnya negara, akan merubah keseluruhan struktur sosial kearah yang lebih baik di mana sikapi individualistik dan narsissistik yang hanya mementingkan perut masing-masing disamping kemewahan yang dinikmati ​digantikan dengan dasar kebersamaan dan kepedulian sebagai fungsi hidup bermasyarakat​ di bawah payung negara yang adil .

​Kita jangan melihat konsep al amin ini sekadar pernyataan umum Islam ini ataupun Islam itu – sedarilah bahawa Ireland merupakan negara yang paling​ dekat dengan nilai-nilai Islam berbanding dengan Malaysia yang berada di tangga ke 38, menurut pendapat Hossein Askari, Professor Perniagaan Antarabangsa dan Hal Ehwal Antarabangsa dari Universiti George Washington. Walau bukanlah boleh dijadikan kesimpulan secara keseluruhannya namun membawa kita kepada perspektif apakah sebenarnya amalan yang islamik?

Justeru, di dalam bidang apa pun, baik dari sudut perniagaan, pentadbiran , mahupun undang-undang apa pun dibuat dalam kerangka yang menitikberatkan kesedaran umum terhadap kebaikan dan nilai kesejagatan yang harmoni dan tiada ruang yang dimanipulasi, dieksploitasi atas kepentingan pihak-pihak tertentu untuk menindas yang lemah. Semangat Al-Amin Rasullullah ini juga disebut oleh Allah dalam surah Al-Anbiya` ayat 107, :

 

“Dan tidak Kami utuskanmu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam “

 

Begitulah juga bagaimana Negara Al-Amin ini dapat menjadi rahmat bagi rakyatnya supaya tiada suatu ketakutan pun yang dirasai baik dari sudut haknya yang direnggut dan dirampas, kehidupannya yang miskin sehingga tiada makanan dan tiada peruntukan untuk memberi pendidikan kepada anak-anaknya, mahupun survival golongan minoriti yang dicabut kebebasan mereka untuk mengamalkan budaya dan amalan masing-masing.

 

Semoga konsep Negara Al-Amin ini menjadi matlamat kita yang holistik menyentuh dari sikap pemerintahan, mekanisme perundangan dan matlamat sosial sehingga pembentukan sikap individu-individu di dalam masyarakat dalam merubah kearah kehidupan bernegara yang lebih baik dan saksama.