Skip to main content
KesihatanSosio Ekonomi

Nurul Izzah Desak Ketelusan Dalam Pengambilalihan Pharmaniaga

By 19 June, 2010February 5th, 2021No Comments

Suara-Keadilan

Frederick Luccas

SHAH ALAM 15 Jun – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendesak kerajaan Umno-Barisan Nasional bersikap terbuka dan telus berhubung proses pengambilalihan pembekal ubat-ubatan, Pharmaniaga Bhd oleh Boustead Holdings Bhd dengan harga RM534 juta kerana kedua-dua syarikat itu didakwa mempunyai rekod pengurusan serta perkhidmatan yang mencurigakan.

Pharmaniaga Bhd yang merupakan syarikat pembekal ubat-ubatan kepada semua hospital, klinik dan pusat perubatan kerajaan mendapat konsesi penswastaan Gudang Ubat Kerajaan (GMS) yang diberikan kepada syarikat yang berkaitan Umno, United Engineers (M) Bhd pada tahun 1994.

Pada Mac lalu, lesen Pharmaniaga ditarik balik oleh kerajaan kerana kegagalan audit disalah sebuah kilangnya yang terletak di Bangi.

Syarikat itu juga turut dikesan mengedarkan ubat-ubatan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Boustead pula, tambah Nurul Izzah mempunyai reputasi yang tercalar akibat beberapa isu berhubung skandal pembeliaan kapal selam Scorpene oleh anak syarikatnya, Perimekar Sdn Bhd, dan juga kontroversi renovasi Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).


Dalam perkembangan terbaru, Boustead telah bertindak menyaman Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana tidak dibenarkan membina hotel setinggi 12 tingkat di tapak warisan dunia.

Kata Nurul Izzah lagi, proses pengambilalihan tersebut melibatkan kos yang begitu tinggi dan kemungkinan besar dana awam akan digunakan oleh Umno-BN memandangkan Boustead sebagai syarikat berkaitan kerajaan.

“Sungguhpun kos memperolehi ubatan serta rawatan kesihatan di hospital kerajaan masih rendah, rakyat harus sedar bahawa kos yang rendah ini tidak ada maknanya jika mutu perkhidmatan diragui rendah serta tidak menepati piawaian serta tidak tertakluk kepada pemantauan pihak berkuasa.

“Saya khuatir proses pengambilalihan ini hanya akan menjejaskan lagi mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” Nurul Izzah memberitahu Suara Keadilan.

Tambah beliau, hospital kerajaan kini sedang mengalami krisis kekurangan bekalan ubat-ubatan akibat potongan belanjawan tahun lalu.

“Saya menyeru kerajaan Umno-BN sekiranya serius melaksanakan dasar model ekonomi baru yang bertanggungjawab agar memastikan sebarang usaha pengambilalihan ataupun pembaikpulihan syarikat yang memberikan khidmat kepada rakyat dibuat secara telus dan terbuka.

“Saya amat bimbang sekiranya tindakan sebegini yang pada permukaannya kelihatan seolah-olah positif dan selaras dengan kehendak pasaran pelaburan dan ekonomi negara, rupa-rupanya satu taktik kotor untuk menyelamatkan kepentingan dan keuntungan syarikat serta individu tertentu hingga menjejaskan kesejahteraan sosial rakyat,” tegas Nurul Izzah.