Skip to main content
HousingIssues Affecting the RakyatLembah Pantai

Nurul Izzah Usaha Dapatkan Rumah Bagi Penduduk Kg Manggis

By 26 May, 2010February 5th, 2021No Comments

Suara Keadilan

Oleh Frederick Luccas

KUALA LUMPUR 10 Mei – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata beliau akan berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyelesaikan masalah rumah kediaman penduduk setinggan di Kampung Manggis, Taman Sentosa di Jalan Klang Lama.

“Saya amat sedih melihat keadaan kampung ini dan saya akan membantu dengan segala usaha yang boleh untuk membantu keluarga di sini bagi mendapatkan sebuah rumah untuk setiap keluarga,” kata Nurul Izzah semasa mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk kampung itu semalam.

Keadaan kawasan setinggan adalah amat daif tanpa bekalan air yang mencukupi, sistem saliran yang tersumbat dan bertakung dan kehadiran sebuah kilang tin aerosol yang mencemarkan seluruh kawasan tersebut.

Penduduk Kg Manggis telah menerima notis mahkamah untuk mengosongkan tanah yang diduduki selama 50 tahun lalu.


Tanah seluas 1 hektar itu didiami kira-kira 100 keluarga dan kini dimilik oleh tiga individu yang dibahagiakan kepada Fasa A, B dan C mengikut sempadan pemilikan.

Seorang peguam yang dilantik oleh penduduk berkata, kes ini berpihak kepada pemilik tanah dan penduduk terpaksa akur dengan kehendak mahkamah.

“Kita hanya boleh meminta atas budi bicara mahkamah untuk memberi lebih masa kepada keluarga di sini berpindah”, kata peguam tersebut.

Seorang penduduk, Leong Foon Seong yang telah di kawasan tersebut sejak 10 tahun lalu berkata beliau serta keluarganya tidak mempunyai tempat untuk di tuju jika disuruh keluar.

Nurul Izzah berkata beliau akan berusaha untuk mendapatkan rumah bagi penduduk terbabit  di bawah Program Perumahan Rakyat.

Menurut beliau, projek PPR telah dibekukan buat sementara waktu bagi menyelesaikan penjualan rumah tetapi Menteri  atas budi bicaranya telah meluluskan rumah untuk penduduk setinggan di Kampung Kerinci sebelum ini.

“Kita akan meminta perumahan tambahan untuk penduduk di sini memandangkan Menteri dapat memberikan atas budi bicaranya. Saya harap Menteri tidak akan bersikap berat sebelah dan mempertimbangkan nasib penduduk Kg Manggis ini” kata Nurul lagi.

Beliau meminta penduduk terbabit bekerjasama dalam bancian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan menyediakan dokumen berkenaan supaya permohonan rumah boleh disegerakan.