Skip to main content
Issues Affecting the RakyatParliament

Parlimen sidang pertama

By 11 April, 2008February 18th, 2020No Comments

Persidangan Parlimen Sesi Ketiga bagi Penggal Pertama sedang berlangsung di Parlimen Malaysia dari 13 Oktober 2008 sehingga 18 Disember 2008. Saya mengalu-alukan sebarang pertanyaan daripada semua warga Lembah Pantai mengenai isu-isu semasa dan berkaitan dengan kawasan Lembah Pantai. Sebarang pertanyaan atau maklum balas bolehlah dihantar kepada:

Emel: lembahpantaiparliament [at] gmail.com

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Antara soalan-soalan yang telah dijawab pada sesi persidangan ketiga:

2. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pelajaran menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk memperkasakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi. Sejauh mana langkah-langkah ini berkesan.

Timbalan Menteri Pelajaran:

Tuan Yang Di Pertua,

Di samping usaha memenuhi keperluan semasa yang mendesak supaya bahasa Inggeris dikuasai dan dipertingkatkan penggunaannya oleh murid, Kerajaan juga berusaha meningkatkan peranan dan mengembalikan maruah dan wibawa bahasa Malaysia sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan, sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan intelektual.

Dalam hal ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KeKKWA) akan bersama-sama melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan melibatkan kementerian dan agensi lain, serta sokongan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

Bagi memastikan haluan usaha memperkasakan ini lebih mantap, satu jawatankuasa yang dinamai Jawatankuasa Induk Memperkasakan Bahasa Kebangsaan telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelajaran dan Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan. Urusetia jawatankuasa ini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di samping itu juga lima buah jawatankuasa kerja mengikut bidang telah ditubuhkan, iaitu;
1. JK Kerja Dasar Bahasa dan Garis Panduan Pelaksanaan
2. JK Kerja Media Massa
3. JK Kerja Penggalakan / Pemupukan dan Kegiatan
4. JK Kerja Penyelarasan BK dalam perkhidmatan Awam; dan
5. JK Kerja Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sebagai langkah memperkasa dan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan, pada tahun 2008 sahaja, KPM telah melaksanakan:
1. Bulan Bahasa dan Sastera Negara;
2. Persidangan Bahasa Melayu dalam Perspektif Antarabangsa pada November 2008 yang disertai oleh 13 buah universiti dari luar negara;
3. Program Tunas Muda – penulisan karya kreatif sekolah rendah
4. Program Tunas Remaja – penulisan karya kreatif sekolah menengah
5. Bengkel Guru KOMSAS (komponen sastera)
6. Program Penghayatan Sastera untuk pelajar-pelajar sekolah menengah
7. Pementasan drama-drama KOMSAS
8. Pertandingan Berbalas Pantun “Sirih Berlipat Pinang Berkacip” (antara IPG)

KPM juga percaya usaha memartabatkan bahasa Malaysia perlu mendapat sokongan sepenuhnya di peringkat pemimpin-pemimpin termasuklah Ahli-Ahli Parlimen. Dalam usaha tersebut, pada 10 Oktober 2008, KPM melalui Dewan Bahasa dan Pustaka telah menyampaikan sumbangan 240 naskah Kamus Dewan Edisi ke-4 bagi kegunaan rujukan semua Ahli Parlimen.

6. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah kriteria yang diguna kerajaan dalam membuat keputusan menyambung kontrak PUSPAKOM untuk lima belas tahun sedangkan mutu perkhidmatan mereka begitu mengecewakan. Sejauh manakah kerajaan membuat penilaian secara profesional dan telus.

Timbalan Menteri Pengangkutan [Datuk Seri Panglima Lajim Ukin]:

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan pada 14 Februari 2007 telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh konsesi PUSPAKOM selama 15 tahun lagi bermula dari tahun 2009. Perlanjutan ini adalah berasaskan kepada kriteria seperti berikut:

(i) sejak PUSPAKOM dilantik pada 1 September 1994, Kerajaan telah menolak beberapa kali permohonan PUSPAKOM untuk menaikkan kadar pemeriksaan kenderaan perdagangan iaitu pada tahun 1999, 2002 dan 2005 walaupun PUSPAKOM mempunyai hak di bawah perjanjian konsesi untuk menaikkan kadar tersebut selepas lima tahun beroperasi dan setiap 3 tahun berikutnya. Ini telah menyebabkan PUSPAKOM mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM22 juta;

(ii) bagi membolehkan PUSPAKOM mendapat balik kadar pulangan pelaburan (ROI) atas pelaburan sebanyak RM255 juta untuk membangunkan pusat-pusat pemeriksaan di seluruh negara. PUSPAKOM telah membangunkan 60 cawangan pemeriksaan termasuk di kawasan pedalaman (commercially not viable areas) berbanding 31 cawangan dalam syarat perjanjian konsesi. Pertambahan pusat ini adalah atas permintaan masyarakat terutamanya daripada pengusaha perkhidmatan pengangkutan dan tempoh 15 tahun sedia ada adalah singkat bagi PUSPAKOM untuk mendapatkan balik pulangan pelaburan mereka;

(iii) kegawatan ekonomi yang melanda sejak pertengahan tahun 1997 telah menyebabkan pengurangan bilangan kenderaan yang diperiksa di PUSPAKOM. Ini telah mengakibatkan jumlah pendapatan sebenar yang diterima oleh PUSPAKOM di antara tahun 1997 dan 2005 mengalami kekurangan sebanyak 30% hingga 45%; dan

(iv) kualiti pemeriksaan akan dikompromikan sekiranya wujud persaingan kerana syarikat-syarikat pemeriksaan yang lain dan akan cuba mempengaruhi pelanggan dengan memberikan kadar yang lebih murah dengan mengabaikan ciri-ciri keselamatan dan standard operating procedure (SOP) yang telah ditetapkan. Di samping itu, jumlah kenderaan perdagangan adalah kecil iaitu 8% daripada jumlah keseluruhan kenderaan berdaftar sebanyak 17 juta dan tidak akan memberikan daya persaingan yang positif sekiranya aktiviti pemeriksaan kenderaan dikongsi oleh lebih daripada satu pengusaha.

Tuan Yang di-Pertua,

Bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan PUSPAKOM, Kerajaan akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap semua aduan termasuk aduan-aduan berhubung perkhidmatan dan salah guna kuasa oleh kakitangan PUSPAKOM. Bagi tujuan ini, Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk meningkatkan kawal selia terhadap PUSPAKOM sekurang-kurangnya sekali setiap bulan bagi setiap pusat pemeriksaan PUSPAKOM.

Di samping itu, JPJ bersama BPR dan akan mengadakan Ops PUSPAKOM bagi memastikan pemeriksaan kenderaan perdagangan mematuhi piawaian mengikut audit teknikal yang ditetapkan.

Selain itu, Kementerian ini juga telah meminta PUSPAKOM mengambil langkah-langkah proaktif bagi meningkatkan prestasi perkhidmatannya dan pihak PUSPAKOM telah mengambil tindakan seperti berikut;

(i) membangunkan sistem e-Aduan bagi membolehkan semua aduan yang diterima oleh agensi Kerajaan berhubung perkhidmatan PUSPAKOM disalurkan terus untuk tindakan serta merta oleh syarikat berkenaan;

(ii) membangunkan cawangan-cawangan pemeriksaan yang baru seperti di Segamat, Temerloh dan Bintulu bagi memudahkan dan mempercepatkan pemeriksaan. Selain itu, dua lagi cawangan baru akan dibuka di Sungai
Besar dan Pasir Gudang bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan;

(iii) menyediakan unit pemeriksaan bergerak bagi pemeriksaan di premis-premis pelanggan;

(iv) melanjutkan waktu pemeriksaan di cawangan-cawangan yang sesak dan cawangan berkenaan diarahkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi hingga 7.00 malam termasuk hari Sabtu; dan

(v) menambahkan lebih kurang 100 orang lagi pemeriksa kenderaan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan memendekkan masa perkhidmatan.

Soalan-soalan yang diserahkan pada Ogos 2008

Pertanyaan Jawab Lisan

1. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi menyatakan:-

a) Apakah sumber rujukan Kerajaan dalam membuat keputusan membina 12 Empangan di Sarawak untuk tambahan kapasiti kepada Empangan Bakun (2,400MW) yang merupakan penambahan 600% kepada jumlah kapasiti tenaga 7,000MW menjelang 2020.

b) Apakah maklum balas kerajaan terhadap kenyataan Pengerusi Centre for Development and Environment Malaysia yang menyarankan ketidakperluan pembinaan Empangan Hidroeletrik Mega ?

2. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] meminta Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi menyatakan:-

a) Berapakah jumlah keluasan tanah NCR (native customary rights) yang terkesan akibat perancangan pembinaan 12 empangan hidro di Sarawak.

b) Adakah rancangan 12 empangan ini termasuk dalam Dasar Tenaga Nasional.

3. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] meminta Menteri Pengangkutan menyatakan:-

Apakah kriteria yang diguna kerajaan dalam membuat keputusan menyambung kontrak PUSPAKOM untuk lima belas tahun sedangkan mutu perkhidmatan mereka begitu mengecewakan. Sejauh manakah kerajaan membuat penilaian secara profesional dan telus.

4. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] meminta Menteri Kewangan menjelaskan bahawa sudahkah kerajaan menilai kesan-kesan terhadap pasaran saham tempatan akibat pengenalan cukai ‘windfall’ ke atas IPP memandangkan syarikat-syarikat IPP mewakili 20 peratus daripada keseluruhan pasaran saham Malaysia?

5. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] meminta Menteri Pertanian dan Asas Tani menyatakan:

a) Apakah hasil kajian MIER (Malaysian Institute of Economic Research) ke atas BERNAS memandangkan kerugian operasi BERNAS sejak April 2008

b) Adakah kerajaan akan meletakkan BERNAS di bawah kawalan kerajaan akibat dari kemerosotan tersebut?

6. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi menjelaskan bahawa Kementerian telah mengumumkan untuk mengurangkan kapasiti simpanan eletrik (reserve capacity) dari 41 peratus kepada 25 peratus menjelang 2014, tetapi Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal ehwal Pengguna mengatakan sebaliknya. Apakah perancangan kerajaan sebenarnya?

7. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta Perdana Menteri menyatakan:-

a) Apakah rasional melibatkan syarikat asing Three River Gorges Project Corporation of China dalam projek empangan Marun yang berjumlah RM3 billion

b) Berapakah nisbah perkongsian keuntungan antara kerajaan dan syarikat tersebut.

8. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan:

a) Apakah kesan-kesan terhadap alam sekitar di Taman Negara Mulu berikutan pembinaan Empangan Tutoh yang akan mengambil sebahagian dari kawasan Taman Negara tesebut.

b) Bagaimana ia menjejaskan status taman tersebut sebagai salah satu tapak Unesco World Heritage Site?

9. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan:

a) Menyatakan di kawasan manakah sepuluh projek swasta yang dilaporkan masih terbengkalai di Kuala Lumpur mengikut pecahan parlimen.

b) Apakah tindakan susulan hasil perbincangan dua jawatankuasa pemandu dan kerja bagi menangani masalah projek terbengkalai yang diwujudkan oleh Kementerian?

10. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Kebudayaan Seni dan Warisan menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk memperkasakan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa rasmi. Sejauh mana langkah-langkah ini berkesan?

Pertanyaan Jawab Bertulis

11. Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat menyatakan laporan tentang kes-kes yang melibatkan eksploitasi kanak-kanak daripada segi ekonomi dan agama dari tahun 2004 hingga 2008. Apakah langkah kerajaan untuk membendung ekploitasi kanak-kanak di Malaysia.

12. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pelajaran menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam usaha untuk menyediakan sistem pendidikan percuma di semua peringkat. Sejauh manakah hasrat ini sudah dilaksanakan.

13. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat memberi laporan terperinci tentang kadar penceraian dari tahun 2004 hingga 2008. Sejauhmana faktor kesempitan kewangan menyumbang kepada keruntuhan rumah tangga?

14. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakansenaraikan bangunan berstrata mengikut kategori di bawah tanggungjawab pemaju, badan pengurusan bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) di dalam kawasan parlimen Lembah Pantai seperti yang termaktub dalam bidang tugas Pesuruhjaya Bangunan (Commissioner of Building).

15. Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pertahanan menyatakan benarkah Angkatan Tentera Malaysia telah menubuhkan Unit Rusuhan dan Terorisma lebih daripada setahun yang lalu? Bila dan apakah rasional penubuhan unit ini?

Soalan-soalan yang diserahkan pada Jun 2008

Pertanyaan Jawab Lisan

1. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menjelaskan:

a) Berapa jumlah pelarian yang telah mendapat pengiktirafan dari UNHCR yang masih ditahan di dalam kem-kem tahanan dan berapakah jumlah biaya setiap orang?

b) Apakah alasan kerajaan untuk tidak mengiktiraf pelarian-pelarian yang memegang dokumen pengenalan yang dikeluarkan oleh UNHCR bagi mengurangkan kos pembiayaan di kem tahanan?

2. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan:

a) mengapa begitu ketara perbezaan antara deraf Pelan Tempatan yang baru dikeluarkan dengan PSKL 2020 dari segi pengzonan densiti, penukaran zon kawasan lapang hijau dan jenis kegunaan tanah.

b) apakah kriteria-kriteria dan garis panduan yang digunakan oleh DBKL dalam membuat deraf pelan tersebut?

3. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menjelaskan:

a) apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam menangani masalah pertukaran iklim (climate change) dan penggunaan tenaga yang tidak efisyen?
b) Apakah kandungan polisi 5-fuel yang dikatakan sebagai langkah menghadapi masalah penggunaan tenaga pada masa hadapan?

4. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Kewangan menjelaskan:

a) Apakah industri-industri yang dikenakan ‘windfall tax’ sehingga Disember 2007?

b) Tidakkah kerajaan berhasrat mengembangkan cukai tersebut ke industri-industri lain yang mendapat durian runtuh akibat kenaikan harga minyak sedunia?

5. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pengangkutan menyatakan:

Berapa set unit gerabak berangkai elektrik ” Electric Multiple Unit’ yang beroperasi oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Adakah jumlah ini memenuhi keperluan jadual perjalanan keretapi penumpang sekarang?

6. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pengangkutan memberikan:-

Nama syarikat yang diberi kontrak secara runding terus untuk membaikpulih 50 set Electric Multiple Units (EMUs) kepunyaan KTM. Jelaskan mengapa tugas membaikpulih 15 daripada set 50 EMU di bawah kontrak 3 tahun masih tidak siap dan berapakah kos yang dibayar setakat ini.

7. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan:-

Mengapa Kerajaan berasa tidak perlunya mengadakan pilihanraya Tempatan memandangkan keberkesanannya dalam menjadikan PBT lebih efisien dan bertanggungjawab kepada rakyat dan pembayar cukai sudah terbukti di serata dunia.

8. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan:-

Memandangkan Kuala Lumpur menghadapi masalah banjir, kesesakan dan pencemaran yang parah, jelaskan bagaimana Kuala Lumpur dikehendaki menampung 600,000 lebih penduduk seperti yang diharapkan oleh Pelan Draf Kuala Lumpur sementara infrastruktur yang sedia ada belum lagi memenuhi keperluan penduduk semasa.

9. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Kesihatan menjelaskan:

Bilakah projek hospital kanak-kanak Persatuan Perubatan Universiti Malaya yang telah diluluskan pada tahun 2000 akan siap?

10. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Kesihatan menjelaskan:-

Apakah tindakan Kementerian Kesihatan terhadap isu kebersihan makanan di sekolah-sekolah dan kem-kem khidmat negara yang telah menyebabkan keracunan makanan. Mengapakah tidak terdapat sebuah badan persekutuan yang dikhaskan untuk mengawasi standard pemakanan di setiap premis di negara kita seperti Food Standards Agency di UK dan Food and Drug Administration di Amerika Syarikat.

Pertanyaan Jawab Bertulis

11. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan:-

Daripada peruntukan 2008, nyatakan dengan terperinci bagaimana peruntukan bajet untuk setiap jenis bantuan yang dijalankan KPWKM. Senaraikan setiap perbadanan/pertubuhan yang menerima agihan, jumlah orang yang menerima bantuan untuk setiap jenis bantuan dan jumlah yang diterima.

12. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah:-

a) Anggota polis yang ditugaskan di Lembah Pantai dan jumlah ditugaskan dengan mencegah & menyelesaikan jenayah;

b) Kekerapan rondaan yang dibuat di Lembah Pantai mengikut kawasan;

c) Kes-kes jenayahyang dilaporkan di Lembah Pantai bagi 5 tahun yang lepas dan jumlah yang diselesaikan

13. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan:-

a) Siapakah pakar perunding yang terlibat dengan Pelan Deraf KL;

b) Jumlah yang telah dibayar kepada mereka (jelaskan perbelanjaan dengan terperinci);

c) Jumlah keseluruhan yang dibelanjakan untuk Pelan Deraf KL. Jelaskan dengan terperinci setiap perbelanjaan.

14. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan nyatakan dengan terperinci:-

Bagaimana peruntukan bajet DBKL bagi tujuan pengurusan telah dibelanjakan pada tahun 2006 and 2007. Senaraikan setiap perbelanjaan yang dibuat dengan spesifik; jenis perbelanjaan, sebab and pihak/syarikat yang telah menerima bayaran tersebut.

15. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:-

Jumlah yang telah dibelanjakan untuk projek-projek mencegah jenayah di Lembah Pantai pada 5 tahun yang lepas.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Soalan-soalan yang diserahkan pada April 2008

Pertanyaan Jawab Lisan

1. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menyatakan:-

a) Apakah garis panduan dan kriteria yang digunakan kerajaan ketika menetapkan RM691 sebulan bagi pendapatan isi rumah sebagai garis kemiskinan di Semenanjung Malaysia?

b) Adakah paras garis kemiskinan yang digunapakai tersebut akan disemak semula memandangkan peningkatan kos sara hidup yang tinggi?

2. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Kewangan menyatakan:-

a) Berapa jumlah penduduk yang hidup di bawah paras garis kemiskinan di Kuala Lumpur.

b) Berapakah jumlah penduduk di kawasan Lembah Pantai yang hidup di bawah garis kemiskinan mengikut pecahan umur, jantina dan kaum.

3. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan:-

a) Berapakah jumlah bajet yang diluluskan kepada DBKL bagi tahun 2006 dan 2007 dan daripada jumlah tersebut berapakah yang dibelanjakan untuk tujuan pengurusan.

b) Apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk mengurangkan perbelanjaan dalam pengurusan memandangkan tumpuan harus diberikan kepada kebajikan rakyat dan pelaburan.

4. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:-

a) Bilangan remaja berumur antara 18-25 di kawasan Lembah Pantai yang ditangkap di bawah Akta Dadah Merbahaya pada tahun 2007 mengikut pecahan jantina dan kaum.

b) Dari jumlah di atas berapa ramai yang masih berada di pusat pemulihan dan pendekatan bantuan yang telah diambil terhadap remaja dan keluarga mereka.

5. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan:-

a) Berapakah jumlah keluarga setinggan yang masih wujud di Lembah Pantai dan langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan jumlah tersebut.

b) Apakah kriteria dan garis panduan yang digunakan oleh DBKL dalam menentukan kelayakan permohonan membeli atau menyewa rumah yang dikendalikan DBKL.

6. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan:-

Jaminan Kementerian dalam memastikan Pelan Tempatan (LOCAL PLAN) yang dikeluarkan oleh DBKL konsisten dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur terutamanya dalam kategori dan pengkhususan kegunaan tanah.

7. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menyatakan:-

a) Apakah langkah-langkah yang akan diambil bagi memulihkan imej Majlis-Majlis Perbandaran dan Bandaraya Tempatan dari segi mutu kerja, kecekapan, ketelusan dan bersih dari rasuah.

b) Bilakah Kerajaan akan melaksanakan Pilihanraya Majlis Perbandaran/Bandaraya Tempatan untuk menjadikan Majlis-majlis ini bertanggungjawab kepada rakyat dan pembayar cukai.

8. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan:-

a) Bilakah kerajaan akan mengemukakan deraf kertas cadangan bagi meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sebagaimana yang diumumkan Menteri Pengajian Tinggi.

b) Adakah kerajaan berhasrat memanggil golongan yang mempunyai kesan langsung dalam hal tersebut misalnya wakil persatuan mahasiswa, para akademik, Badan Peguam dan Jawatankuasa Bebas untuk turut memberi input. Jika tidak, mengapa?

9. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pendidikan menyatakan:-

a) Sejauh mana keberkesanan program bantuan makanan yang diberikan di sekolah-sekolah luar bandar membantu pelajar-pelajar mendapat pemakanan seimbang.

b) Apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam menangani masalah keracunan makanan yang kerap berlaku di sekolah-sekolah serta penguatkuasaannya menepati Prinsip Am Kebersihan Makanan.

10. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan:-

a) Adakah kementerian akan meneruskan program pemberian RM300 sebulan kepada kanak-kanak cacat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagaimana yang disarankan Menteri terdahulu.

b) Apakah program-program yang disediakan serta langkah-langkah pemantauan bagi memastikan kanak-kanak ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Pertanyaan Jawab Bertulis

11. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan:-

a) Senaraikan Pemaju dan Projek yang mempunyai Kajian Impak Alam Sekitar yang telah diluluskan di Kuala Lumpur dari tahun 2004 hingga 2007.

b) Apakah panduan yang diambil kerajaan dalam menilai keberkesanan laporan Kajian Impak Alam Sekitar tersebut?

12. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan secara terperinci:-

Bagaimana bajet Pembangunan DBKL lima tahun kebelakangan ini dibelanjakan mengikut kawasan Parlimen dan p rojek-projek yang dilaksanakan.

13. Pn. Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan:-

Apakah perancangan dan projek-projek yang telah diatur oleh kementerian dalam Skim Bantuan dan Kebajikan Masyarakat setelah mendapat peruntukan berjumlah RM219 juta pada pembentangan Bajet 2008 yang lalu. Sejauh mana projek tersebut mengenai kumpulan sasaran dan keberkesanannya. 

14. Puan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan:-

a) Berapakah jumlah pelajar yg dikenakan tindakan di bawah akta AUKU drpd 1998 hingga 2008?

b) Sila nyatakan mengikut jantina,umur dan kaum.

15. Puan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:-

a) Jumlah tahanan juvana yang ditahan di dalam penjara sejak tahun 2000 hingga 2007 mengikut pecahan jantina, kaum dan jenis-jenis kesalahan.

b) Apakan program-program yang disediakan kerajaan untuk memantau kebajikan mereka terutama dalam pendidikan sebagai persediaan menghadapi dunia luar setelah dibebaskan.