Skip to main content
Issues Affecting the RakyatPress Release

Penyelarasan Jawatankuasa KEADILAN dan Jelajah #DemiPenoreh Demi Membela Nasib Penoreh Getah

By 15 April, 2016February 5th, 2021No Comments

Penoreh getah adalah kelompok yang paling terkesan dalam senario kejatuhan harga getah pasaran. Realiti sebegini terpaksa diterima penoreh serta pekebun kecil di kala Malaysia menikmati kekayaan sumber pendapatan menerusi industri getah sehingga tersenarai negara ke-6 pengeksport getah sedunia.

Sumbangan sektor getah mencecah RM30.61 bilion pada 2014; dan RM23.6 bilion nilai eksport.

Terkini, harga ditutup serendah RM1.60 secawan per kilo di semenanjung dan RM1.30 secawan per kilo di Sabah dan Sarawak.

Akhirnya, harga getah semasa tidak mampu menampung kos sara hidup penoreh getah terutamanya mereka di kalangan kelompok termiskin; lebih-lebih lagi dengan dasar dan ekonomi negara oleh kepimpinan yang hilang kebertanggungjawaban.

Penoreh getah hanya memperoleh sekitar RM 400 hingga RM 500 sebulan hasil daripada getah yang dijual[1] – pendapatan yang tidak munasabah dan terletak di bawah paras gaji minima negara iaitu RM 1000 bagi Semananjung dan RM 900 bagi negeri Sabah dan Sarawak.

Insentif Pengeluaran Getah (IPG) tidak membantu penoreh getah mendapat sumber pendapatan yang berpatutan. IPG hanya menetapkan 0.40 sen sekilogram bagi mendokong ekonomi semasa penoreh getah dan mengekalkan pengeluaran kualiti SMR-20.

Penoreh getah upahan dilaporkan hanya mendapat RM 30 hingga RM 40 seminggu selepas pendapatan mereka dibahagikan separuh kepada pemilik kebun getah.

Tambahan, ramai penoreh getah yang masih belum menerima insentif tersebut. Sehingga tahun lepas, hanya RM 12 juta dibayar kepada penoreh getah melalui insentif ini  walaupun bajet 2016 memperuntukkan RM 200 juta dan  RM 100 juta pada tahun 2015 untuk IPG.

Persoalannya, di mana baki wang yang tidak dituntut oleh penoreh getah?

Apakah langkah-langkah kerajaan dalam memperbaiki kelemahan mekanisme tuntutan IPG?

Aduan yang diterima KEADILAN menunjukkan skim ini memerlukan masa lebih daripada 30 hari daripada tarikh permohonan dan tempoh 14 hari sementara menunggu wang insentif dikreditkan ke dalam akaun[2].

Kelewatan pembayaran semula insentif ini membebankan hampir 260,000[3] pekebun kecil getah yang memerlukan insentif tersebut untuk menyara kehidupan keluarga.

Harga getah beku di ladang ditetapkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan merumuskan harga purata pelbagai gred getah pada sebelah tengah hari untuk dihebahkan kepada pelbagai syarikat perdagangan getah yang lain.

Penentuan harga getah dengan rumusan harga purata pada waktu tengahari kepada syarikat perdagangan membuktikan kerajaan tidak peka dengan situasi semasa penoreh getah. Rata-rata penoreh getah mempunyai 2 pekerjaan untuk menambah pendapatan dan itu juga bergantung kepada variasi cuaca yang juga memberi impak kepada pengeluaran getah.

LGM menggunakan kaedah sama  menetapkan harga pada penutupan pasaran jam 5 petang yang turut membabitkan 25 syarikat yang dilantik LGM sebagai Ahli Panel Penasihat Harga Mengikut Gred. Pekebun kecil getah hanya dapat pendapatan bersih di bawah RM 2.00 sekilogram akibat menjual getah buku dengan harga yang diperoleh daripada pembeli pertama peringkat ladang hanya satu pertiga dari harga gred SMR 20[4].

Kerajaan harus mengkaji semula lambakan dana yang diperuntukkan kepada program pemberian baja penggalak susu dan kursus cara menoreh yang betul. Hal ini kerana, walaupun baja yang diberikan dan kaedah menoreh digunapakai, penoreh getah masih tidak mampu menikmati hasil getah yang lebih baik dan ini bukti yang jelas menunjukkan  perlu ada program baru yang menjurus kepada peningkatan hasil, bukan hanya menguntungkan pihak kontraktor.

Adapun harga getah dipengaruhi faktor global dan pertukaran wang asing serta terdapat lebihan pembekalan getah  di pasaran.Kementerian dan International Tripartite Rubber Council (ITRC) bersetuju dengan keputusan  menambah penggunaan getah domestik sebanyak 10% termasuk kerjasama JKR sebagai adunan membuat jalan rubber road bagi menstabilkan harga.

KEADILAN menerusi jawatankuasanya yang mempertahan nasib pekebun dan petani kecil menuntut mekanisme jangka masa panjang yang lebih berkesan dalam menangani isu yang melibatkan getah di Malaysia. KEADILAN juga akan mengusulkan agar wujud mekanisma bayaran tetap kepada penoreh getah minima RM1200/sebulan seperti yang dicadangkan oleh Kesatuan Kebangsaan Ladang (NUPW)  supaya dapat menjamin pengeluaran hasil getah yang lebih baik di masa akan datang[5].

Mekanisme ini membantu penoreh getah dengan jaminan pendapatan minimum walaupun dalam keadaan pengeluaran getah yang merudum sebagai sumber pendapatan. Tambahan pula, dalam mengambil kira setiap faktor yang mempengaruhi jumlah pengeluaran getah seperti iklim dan cuaca, penoreh mempunyai minimum pendapatan sebagai jaminan.

KEADILAN juga menyeru agar pihak Lembaga Getah Malaysia bekerjasama dengan pihak agensi seperti RISDA dan Persatuan Pekebun Kecil Getah dalam mengeluarkan satu kaedah penentuan Kandungan Getah Kering (KGK) yang berpihak kepada penoreh getah dan pekebun kecil.

KEADILAN akan membawakan kesemua cadangan ini ke lapangan menerusi Program Jelajah #DemiPenoreh di Padang Terap, Kubang Pasu,Pendang,Jerai, Bukit Selambau,Baling,Padang Serai dan Kulim pada 17 dan 18 April ini.

Kerajaan BN harus faham tiada ertinya gah mengumumkan peningkatan pendapatan negara dari hasil bumi yang kaya raya tetapi mengabaikan mereka yang berada dalam barisan utama membangunkan sektor ini.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihanraya KEADILAN

Zuraida binti Kamaruddin
Ahli Parlimen Ampang
Ketua Wanita KEADILAN

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ahli Parlimen Bukit Katil
Naib Presiden Pengerusi Biro Masyarakat FELDA & Perladangan KEADILAN

Dr Syed Husin Ali
Ahli MPP KEADILAN

Prof Dr. Shaharuddin Bin Badaruddin
Naib Presiden KEADILAN

Dr Azman Ismail
Ahli Parlimen Kuala Kedah
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kedah

[1] http://www.nst.com.my/news/2016/01/120905/who-sheds-tears-our-rubber-tappers
[2]https://www.nurulizzah.com/site/2016/03/segerakan-mekanisme-pembayaran-bulanan-secara-tetap-kepada-penoreh-getah/
[3] http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/utara/kemaskini-data-penoreh-1.295239
[4]http://bm.selangorku.com/52169/kerajaan-pusat-digesa-tetapkan-harga-lantai-getah-elak-pekebun-terjejas/
[5]https://www.nurulizzah.com/site/2016/03/segerakan-mekanisme-pembayaran-bulanan-secara-tetap-kepada-penoreh-getah/
[6] http://www3.lgm.gov.my/mre/HargaHarian.aspx