Skip to main content

Pada hari Ahad (4 ogos 2018) yang lepas, YB Tuan Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan YB Nurul Izzah, Ahli Parlimen Permatang Pauh telah merasmikan pembukaan “RU:MA RE:KA”, sebuah ruang pameran dan jualan barangan rangkaian jenama batik dari Malaysia. RU:MA RE:KA – Retail Exhibition Concept mempamerkan rangkaian pelbagai barangan dan hasil seni jenama batik dari Malaysia seperti Rumah Gahara, Fern Batik, The Batik Boutique, Permatang Pauh Women’s Project, Tanoti, Penan Women Project, Songket Republik dan Karyaneka.

Ruang pameran dengan kerjasama Festival George Town, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB. Nurul Izzah Anwar, Permatang Pauh Women’s Project dan Think City yang menjadi tarikan ini dilihat kreatif dalam bereksperimentasi dengan rekaan motif dan teknik batik apabila elemen tradisi bersatu dengan elemen kontemporari menerusi konsep ‘Batik & Beyond’ dan ‘Woven by Women’ digunapakai. Sebagai kesinambungan daripada pameran ini, pihak-pihak yang terlibat bersepakat untuk meneruskan usaha jangka panjang dalam beberapa siri perbincangan dan bengkel sudah dirangka untuk masa hadapan.

 

 

Hasil dana yang berjaya dikumpul melalui usahasama ini akan disumbangkan kepada pembangunan artisan wanita di Permatang Pauh. YB Nurul Izzah dalam ucapannya menyatakan harapan supaya projek usahasama ini akan terus berkembang maju supaya dapat membantu dalam perkembangan sektor skil dan ekonomi rakyat Permatang Pauh sendiri.