Skip to main content

SURAT TERBUKA UNTUK RADIOHEAD

 

Buat Radiohead,

Sekalung tahniah atas kejayaan ‘A Moon Shaped Pool’ dan ‘OKNOTOK’ sepanjang dua tahun lalu, di samping jelajah yang menerima respon membanggakan di seluruh dunia.

Malaysia mempunyai gerombolan peminat setia Radiohead yang telah mengikuti perkembangan kugiran anda sejak 20 tahun lalu, berpegang pada setiap irama yang dihasilkan dan menikmati unsur kreatif yang sukar ditandingi.

Alunan muzik Radiohead memberikan platform untuk warga Malaysia mengasingkan diri daripada sengketa politik yang mengambil tempat dalam tempoh dua dekad sudah.

Pengaruh anda terpampang di setiap pelusuk Malaysia, dan kugiran tempatan cuba mengikuti gaya nyanyian Thom Yorke atau petikan gitar virtuoso Jonny Greenwood. Daripada ‘Pablo Honey’ ke ‘In Rainbows’, peminat sabar menanti ketibaan Radiohead di tanah air kami.

Untuk tempoh lebih 60 tahun, Malaysia diperintah kerajaan yang kurang mengangkat ekspresi kreatif dan perbezaan pendapat, sering kali memaksa penghibur antarabangsa untuk membatalkan persembahan kerana tidak menepati syarat yang mereka tetapkan atau disebabkan pandangan politik yang berlainan.

Namun tahun ini, rakyat Malaysia akhirnya berjaya menumbangkan pemerintahan tersebut demi meraikan politik progresif. Atas dasar inilah, kami menjemput Radiohead untuk hadir mengadakan persembahan di Kuala Lumpur.

Kami mencadangkan penglibatan anda dalam sebuah konsert amal untuk membantu perjuangan warga Gaza dan Palestin. Buat majoriti penduduk Malaysia, isu Palestin amat dekat di hati kami. Ia merupakan paparan episod ketidakadilan terhadap saudara seagama sejak sekian lama, tetapi semakin mendapat perhatian dan bantuan kemanusiaan. Kami masih mengingati kontroversi yang melanda konsert anda di Tel Aviv, Julai lepas.

Walaupun keputusan Radiohead untuk mengadakan persembahan di Israel dilihat sebagai tanda sokongan terhadap tindakan Israel, kami juga yakin, Radiohead sensitif terhadap pencabulan hak asasi manusia yang sedang berlaku ke atas warga Palestin.

Izinkan saya untuk menerangkan kepayahan yang dilalui oleh masyarakat Palestin. Sehingga kini, 5 juta warga Palestin mengalami kesukaran untuk mengatasi kekurangan makanan melampau, ketiadaan bekalan elektrik serta akses kepada keperluan asas yang lain. Rasa selamat seolah-olah tidak wujud, memandangkan ancaman serangan Israel berleluasa.

Saya ingin berkongsi kekesalan berhubung perubahan dasar kerajaan Amerika Syarikat yang telah menarik balik sejumlah dana yang besar untuk Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), lalu mengakibatkan 300,000 anak-anak Palestin kehilangan peluang meneruskan pembelajaran.

Sebarang bentuk langkah yang boleh kita usahakan, meskipun kecil, pastinya amat bermakna demi mengimbangkan situasi dalam konflik ini, ke arah keamanan berpanjangan.

Suka saya ingatkan, tawaran buat anda hadir ke Malaysia adalah untuk mengimbau jangkauan muzik sebagai sesuatu yang universal, dan tentunya mempromosi keamanan sebagai alat menyatukan masyarakat global.

Besar harapan kami agar cadangan ini diberi pertimbangan sewajarnya – bukan sahaja untuk tujuan yang mulia, tetapi atas dasar meraikan tahun penuh pembaharuan di Malaysia.

 

Ikhlas,
NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN, MALAYSIA
NAIB PRESIDEN, KEADILAN (MALAYSIA)