Skip to main content
Press Release

Perjuangan Tetap Diteruskan​

By 16 March, 2016February 5th, 2021No Comments

PADA 4 Mac yang lalu, saya dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh intelektual Islam yang dekat dengan keluarga kami.

Allahyarham Sheikh Dr. Taha merupakan salah seorang pengasas International Institute of Islamic Thought (IIIT) bersama tokoh-tokoh seperti Sheikh Dr Jamal Barzinji, Sheikh Abdul Hamid Sulaiman, Almarhum Sheikh Dr Ismail Faruqi serta ayahanda saya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Allahyarham Sheikh Dr. Taha terkenal dengan penulisan beliau iaitu La Ikraha Fiddin (Tidak ada Paksaan Dalam Agama) dan Adabul Ikhtilaf (Adab dalam Berlainan Pendapat). Hujah yang Allahyarham tampilkan merupakan penjelasan yang bersifat universal dan kontemporari serta mengekalkan uslub nas yang selari dengan syariat Islam.

Umum mengetahui saya pernah dihimpit dengan dakwaan menyebarkan ideologi agama yang tidak berlandaskan akidah. Antara inti pati umum buku La Ikraha Fiddin beliau adalah “ayat-ayat al-Quran jelas menunjukkan bahawa kebebasan berkeyakinan merupakan bentuk kebebasan paling penting yang harus dijamin dan dijaga. Menurut Shaykh Taha lagi, al-Quran telah menetapkan bahawa manusia tidak boleh dipaksa untuk memeluk suatu keyakinan tertentu atau mengubah keyakinan yang telah dia yakini kerana keyakinan merupakan urusan peribadi antara manusia dengan Tuhan.”

Inilah antara hujah yang saya jelaskan apabila dipanggil oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan penjelasan tersebut diterima tidak dikategorikan sebagai menyebar fahaman yang bercanggah dengan akidah umat Islam. Syukur masyarakat kini mampu untuk mengangkat nilai hujah dan interpretasi tulen berbanding sentimen kotor politik yang cuba dimainkan sesetengah pihak.

Allahyarham Sheikh merupakan seorang yang sangat rapat secara peribadi dengan keluarga saya. Masih segar dalam ingatan saya ketika lawatan beliau ke Malaysia, keluarga kami membawa beliau ke Pulau Tioman untuk sesi riadah alam.

Ketika saya dalam bidang pengajian Sarjana di School for Advanced International Studies, Johns Hopkins University, kami sering berkunjung ke Herndon untuk menziarahi Allahyarham Sheikh dan Allahyarhamah Dr Mona, isteri Sheikh yang jua tokoh intelektual fasih berbahasa Perancis.

Bahkan ketika dalam fasa membuat keputusan untuk meletakkan nama anak-anak saya, kami mengadakan panggilan merentasi sempadan untuk mendapatkan nasihat Allahyarham Sheikh sebelum memutuskan nama Safiyah dan Harith.

Masyarakat Islam kini mengalami zaman yang sukar kerana terlalu banyak dakwaan dangkal yang mengheret nama Islam yang sebenarnya agama Rahmatan Lil ‘Alamin selaku pengganas dan menganjurkan keganasan. Namun, dengan wujudnya institusi seperti IIIT kita berupaya membidas dakwaan tersebut, dan mampu mewujudkan satu paradigma bahawasanya Islam yang sebenar menganjurkan Hak Asasi Manusia Sejagat serta keperluan membahas hujah dan penilaian umum mengikut keperluan semasa.

Apatah lagi di Malaysia, kita dimomokkan dengan dilema Melayu, Muslim serta beberapa naratif kononnya maruah bangsa ini tertakluk kepada status parti pemerintah. Saya petik salah satu kandungan dalam buku Allahyarham Sheikh iaitu Adabul Ikhtilaf (Adab dalam berbeza pendapat) yang jelas menunjukkan bahawa umat Islam terutama di Malaysia boleh menggunakan platform demokrasi sebagai metod untuk menyikapi perbedaan pendapat dan menjalinkan konsolidasi kekuatan mengetengahkan kekuatan persamaan berbanding perbezaan yang wujud.

Walaupun Anwar telah dizalimi, diaibkan, dipenjarakan sebagai tahanan politik untuk kali keempat di Malaysia, dari zaman kemahasiswaan sehinggalah bersifat aktif dalam politik, sokongan dan dukungan daripada ulama yang berautoriti memberi semangat dan pemangkin agar kami kekal meneruskan perjuangan.

Saya petik antara kandungan Allahyarham Sheikh Taha yang mengkhususkan kepada Anwar “Secara peribadi selaku seorang Muslim, harapan dan seruan saya kepada Kerajaan Malaysia, agar bertakwa kepada ALLAH dalam mengurus negara dan rakyat. Khususnya orang Melayu/Islam, berakhlaklah dengan nilai akhlak Islam yang murni, dengan tidak melebihkan politik daripada akhlak. Saya menyeru pihak terbabit secara jujur, bertakwalah kamu kepada ALLAH, takutkan akan Dia Yang Maha Bertindak Balas ke atas hamba-hamba-Nya di akhirat, ingatlah ketegasan ALLAH dalam al-Quran: Sesungguhnya hari tersebut (kiamat) tidak akan memberi manfaat harta dan anak-pinak, melainkan mereka yang datang menemui ALLAH dengan hati yang selamat (dari sebarang penyakit hati yang merbahaya).”

Justeru, saya menyeru tokoh ilmuwan dan intelek agar bangkit dalam masa dan ketika umat Malaysia dahagakan kebenaran sebenar serta mengetepikan ideologi politik. Rakyat kini dahagakan jawapan dan solusi yang hadir daripada pihak berautoriti serta memerlukan solidariti usaha dalam membanteras rasuah, kesenjangan ekonomi, krisis kepercayaan dan isu sara hidup rakyat.

** Artikel ini pertama disiarkan di Sinar Harian