Skip to main content

Masalah bebanan ekonomi yang membebankan hidup rakyat akibat rasuah yang tidak berkesudahan, pembaziran yang merugikan masa depan dan potongan subsidi serta pengenalan cukai GST semuanya akan terus membebankan rakyat akibat sistem pilihanraya yang tidak adil dan dimanipulasi parti pemerintah.

Di Parlimen Lembah Pantai, penambahan hampir 7 ribu pengundi daripada daerah mengundi Tasik Perdana, rata-ratanya undi pos dari IbuPejabat Polis Bukit Aman dijadikan cek kosong yang menyokong kerajaan. Makanya, rakyat Lembah Pantai pula dinafikan hak untuk menolak kerajaan yang terpalit dengan jenayah rasuah.

Pendedahan ini dilakukan oleh cabang KEADILAN Lembah Pantai ketika menghadiri siasatan awam bantahan fasa kedua persempadanan semula kawasan pilihan raya peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 17 April 2017. Ternyata, kemasukan daerah mengundi Tasik Perdana yang mempunyai pengundi pos dari ibupejabat Polis Bukit Aman oleh SPR, amat tidak munasabah.

SPR masih mempraktikkan proses persempadanan pilihan raya yang bertentangan dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, termasuklah rekomendasi Jawatankuasa Parlimen berkait reformasi pilihanraya.

Walaupun siasatan awam bantahan persempadanan semula telah masuk fasa kedua, SPR masih gagal melunaskan komitmen dalam mewujudkan sistem pilihan raya yang bersih lagi adil.

Sehingga hari ini, nama-nama dua orang pakar topografi dan demografi yang menjadi sumber rujukan SPR untuk melakukan persempadanan semula seperti yang dinyatakan dalam Perkara 115 perlembagaan persekutuan gagal dikemukakan oleh badan pilihanraya tersebut.

Sedangkan, pihak Parti Keadilan Rakyat dibantu oleh Dr. Wong Chin Huat (Penang Institute) serta Dato Professor Redzuan Othman (Institut Darul Ehsan) yang menjalankan kajian topografi dan demografi dalam mendedahkan ketempangan di dalam proses persempadanan semula.

Jelas, semua ini membayangkan keterdesakan kerajaan BN memenangi pilihan raya tanpa mengambil kira proses yang adil dan sah. Sikap terburu-buru SPR terbukti juga dalam siaran notis syor-syor persempadanan semula tahun pada 8 April 2017 tanpa memasukan proses persempadanan negeri Selangor.

Perkara ini bertentangan dengan Perkara 114 perlembagaan persekutuan yang mengambil kira sebagai satu unit Tanah Melayu dan Sabah dalam siaran notis, bukan berasingan mengikut negeri.

SPR juga terus menafikan hak pembantah untuk diwakili peguam yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang membenarkan representasi peguam dalam setiap sisatan awam.

Dalam mengatasi ketempangan proses pilihan raya, berbekalkan semangat “Berani kerana benar”, pihak SPR diseru memanggil SUHAKAM sebagai pemerhati dalam siasatan awam persempadanan semula pilihan raya. Ia selaras dengan peranan SUHAKAM seksyen 4 (3) dan (5) dalam menasihati badan berkanun seperti SPR dalam aspek hak asasi manusia.

Peranan SUHAKAM sebagai panel pemerhati dalam dapat memberi jaminan hak pengundi dibawah Perkara 119 perlembagaan persekutuan terbela dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya. Ia juga dapat menjadi badan semak dan imbang kepada SPR.

Pihak SPR juga perlu mematuhi standard Artikal 21 (3) Universal Declaration of Human Rights yang memberikan kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan berdasarkan proses pilihan raya yang adil, bersih dan saksama.

Sebagai anggota Komanwel, sistem pilihan raya Malaysia juga harus berpandukan taraf demokrasi setaraf dengan negara komenwel yang maju. Kegagalan SPR menunjukkan komitmen menambah baik sistem pilihan raya meletakkan demokrasi Malaysia dalam keadaan bahaya.

KEADILAN juga bakal mengemukakan memorandum kepada Badan Komanwel untuk memastikan SPR Malaysia memenuhi tuntutan piawaian antarabangsa di dalam pelaksanaan proses pilihanraya yang bersih dan adil. Pilihanraya yang adil adalah mekanisme terbaik dalam menghentikan rasuah dan salahguna terus dilakukan oleh kerajaan yang berkuasa.

Hormatilah undi rakyat!
#BersamaSelamatkanMalaysia
#DemiRakyat

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN