Skip to main content
Issues Affecting the RakyatPress ReleaseStatements

Sistem MYEG Dan NERS: Rundingan Terus Tanpa Justifikasi Kukuh Wajib Ditolak

By 9 April, 2015February 5th, 2021No Comments

KENYATAAN MEDIA
UNTUK SEBARAN SEGERA
9 APRIL 2015

Saranan Timbalan Menteri Dalam Negeri bahawa Putrajaya dalam usaha mengkaji menubuhkan sebuah agensi di bawah Unit Pemodenan dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk menguruskan pembaharuan permit pekerja asing dan memecahkan monopoli yang dipegang oleh MyEG Services Bhd perlu diberikan perhatian terperinci.

Namun begitu, kerajaan wajib menghormati prosidur perolehan negara di mana justifikasi untuk rundingan terus (direct negotiation) harus diikuti sepenuhnya. Adalah satu misteri bagaimanakah pembidaan Sistem Penguatkuasaan dan Pendaftaran Warga Asing (NERS) kepada Akrab Makmur Sdn. Bhd telah dilaksanakan. Pembidaan secara rundingan terus hanya dibenarkan untuk perkhidmatan ketenteraan, barangan-barangan proprietary dan perkara yang menggugat keselamatan negara.

Adakah hanya satu syarikat di dunia ini yang mampu menyediakan sistem NERS? Amalan ini juga menunjukkan kerajaan lebih gemarkan pemberian projek kepada syarikat kroni dan menggalakkan monopoli.

Sistem Penguatkuasaan dan Pendaftaran Warga Asing (NERS) diwujudkan bertujuan memantau kemasukan setiap warga asing di semua 96 pintu masuk utama negara. Melalui pintu tersebut, pihak berkuasa mampu menangani pelbagai isu membabitkan warga asing termasuk pemalsuan dokumen, tinggal lebih masa, salah guna visa serta pemerdagangan manusia.

Kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian konsesi bersama NERS selama 12 tahun di mana sistem ini bertanggungjawab dalam sistem pengurusan pendaftaran warga asing.

Pembayaran caj yang dilakukan adalah subsidi daripada kerajaan Malaysia sebanyak RM50 bagi setiap pas lawatan (kerja sementara). Sehingga tahun 2012, jumlah visa yang telah diluluskan adalah melebihi 2 juta pas. Jadi, kira-kira RM 100 Juta telah dikeluarkan sebagai subsidi bagi menyokong sistem ini.

Persoalan yang timbul adalah bagaimanakah proses pemilihan syarikat yang dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan sistem ini. Adakah projek yang diberikan melalui rundingan ataupun tender terbuka?

Tambahan pula, siapa yang mempunyai autoriti ataupun pengalaman yang bersifat teknikal dalam menguruskan operasi dalam industri IT dan Telekomunikasi di dalam senarai lembaga pengarah syarikat?.

Tempoh perjanjian konsensus untuk sistem ini kepada sebuah syarikat adalah selama 12 tahun. Apakah agensi yang menyelia ini mempunyai pelan sokongan jika tidak memenuhi KPI yang digariskan? Serta adakah wujud sebarang agensi yang akan memantau operasi sistem NERS ini?

Saya menggesa kerajaan untuk memberikan justifikasi kepada rundingan terus ini dan membuktikan bahawa kerajaan mengikuti prosidur perolehan negara dengan sepenuhnya, mahukan pertandingan sihat dalam perniagaan dan tidak menyokong monopoli dan bersifat kronisme.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah JPRP KEADILAN