Skip to main content

lrt-issueSuruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyasarkan 40 peratus penggunaan pengangkutan awam darat di Malaysia menjelang 2030.[1]

Malangnya, pelaksanaan dasar kerajaan BN disulami kontradiksi dan permasalahan operasi secara berterusan.

Pengguna sistem pengangkutan awam dan kenderaan peribadi dihukum sekaligus apabila pada Julai 2016, caj parkir bagi pengguna kenderaan peribadi dinaikkan oleh kerajaan BN menerusi DBKL setelah tambang KTM dinaikkan antara 20 peratus hingga 140 peratus, dan kenaikan bagi tambang LRT RapidKL pula meningkat antara 40 peratus hingga 102 peratus[2].

Tambahan, kenaikan tambang sistem pengangkutan awam berlaku di kala servis yang diberikan bukan sahaja tidak optimum, malah melahirkan kengerian baru kepada pengguna, seperti insiden-insiden berikut:

1. 20 September 2014: 80 penumpang berdepan detik cemas apabila tiga tren stesen LRT yang dinaiki rosak dan tersangkut di landasan, di lokasi berasingan antara stesen Masjid Jamek menghala ke Gombak[3].

2. 9 Oktober 2015: LRT Kelana Jaya di Stesen Abdullah Hukum menuju Gombak terganggu kira-kira setengah sekitar 7.00 pagi berikutan masalah pada sistem pintu LRT[4].

3. 7 September 2016: Gangguan bekalan elektrik di stesen LRT pada waktu puncak orang awam ke tempat kerja menyebabkan ramai pengguna terkandas di stesen masing-masing[5].

Kemuncaknya adalah pada pagi 9 September 2016 apabila pengguna LRT meluahkan rasa kekecewaan atas perkhidmatan LRT yang gagal berfungsi mengakibatkan penumpang aliran Gombak-Putra Heights terpaksa berjalan di tengah-tengah landasan keretapi ke stesen berdekatan apabila gerabak berhenti di tengah-tengah landasan[6].

Insiden 9 September 2016 menzahirkan sikap tidak bertanggungjawab pihak pengurusan LRT dan Prasarana yang memaksa penumpang berjalan di tengah landasan keretapi yang amat berbahaya.

Jika diamati video yang dikeluarkan oleh KiniTv, jelas memperlihatkan bahawa sebuah gerabak masih beroperasi ketika para pejalan kaki masih berada di tengah-tengah landasan.

Enam bulan lalu, dua orang kakitangan MRT Singapura maut ketika ditugaskan untuk memeriksa penggera tenaga elektrik di landasan keretapi[7]. Kemalangan tersebut berlaku kerana bekalan kuasa tidak dimatikan sebelum kedua-dua kakitangan tiba di lokasi penggera, seperti yang diwajibkan mengikuti SOP SMRT.

Ketika itu juga, terdapat sebuah gerabak yang beroperasi bertentangan dengan arah kedua-dua mangsa tersebut. Jika kakitangan syarikat SMRT pun memerlukan bekalan kuasa di trek kereta api dimatikan apabila berada di tengah-tengah laluan pejalan kaki di landasan kereta api, apatah lagi orang awam biasa?

Kali ini, Malaysia bernasib baik kerana semua penumpang yang terkandas di aliran Kelana Jaya telah bergerak ke stesen yang terdekat dengan selamat. Pun begitu, Rapid Rail Sdn. Bhd tidak boleh memandang remeh isu ini.

Bekalan kuasa sistem LRT telah terputus sebanyak tiga kali dalam masa seminggu. Apa yang diperlukan adalah protokol keselamatan yang boleh dipercayai dan bukanlah bergantung kepada nasib semata-mata.[8]

Kita sewajibnya mendesak keprihatinan serta pertanggungjawaban Prasarana dan RapidKl dalam menjaga keselamatan pengguna – lebih-lebih lagi apabila masalah ini berpunca daripada kelemahan pihak LRT sendiri. Voltan yang tinggi di landasan keretapi dalam keadaan hujan dan permukaan laluan yang licin tentunya meletakkan risiko yang tinggi terhadap nyawa pengguna.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bermegah terus dengan penambahbaikkan perkhidmatan awam LRT[9].

Rakyat bawah yang celik dan sudah lama menggunakan perkhidmatan ini masih melihat tiada perubahan ketara yang dapat dinikmati dengan projek yang menelan perbelanjaan berbilion Ringgit Malaysia.

Kegagalan Prasarana dalam menguruskan masalah ini amat mencemaskan kerana jumlah pengguna perkhidmatan LRT semakin bertambah.

Kajian daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menunjukkan penggunaan pengangkutan awam pada 2013 meningkat 1.2 peratus kepada 20.8 peratus berbanding 19.6 peratus pada 2012. Jumlah perjalanan pada waktu puncak sebelah pagi juga meningkat 9 peratus kepada 5.7 juta perjalanan, dengan 827,000 pengguna setiap hari[10].

Kini, perkhidmatan LRT dan monorail mengangkut hampir 900,000 orang penumpang setiap hari dengan menggunakan hampir 80 tren[11].

Oleh sebab itu, masalah teknikal LRT mengakibatkan sebahagian besar warga kota yang tentunya mengejar masa untuk mencari rezeki. Rakyat Malaysia, khususnya warga kota berhak untuk merasai pengangkutan awam yang lebih baik. Perkhidmatan percuma dan diskaun yang ditawarkan oleh pihak Prasarana tidak memadai sekiranya masalah yang sama masih berlarutan dan menyusahkan pengguna.

Di Singapura, berikutan kematian kedua-dua kakitangan SMRT, SMRT telah menubuhkan Panel Kajian Kemalangan yang terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Risiko SMRT dan pakar bebas dari Keppel Corporation, Transport for London, dan bekas ahli kakitangan Hong Kong Mass Transit Railway Corporation. Panel tersebut telah menyiasat
kronologi peristiwa sebelum kemalangan, sebab-sebab kemalangan berlaku dan juga mengemukakan cadangan untuk mengelakkan kemalangan dari berulang. Pada akhirnya, laporan Panel ini telah juga dikemukakan kepada Kementerian Tenaga Manusia, Pasukan Polis Singapura dan Land Transport Authority (LTA) untuk membantu siasatan mereka.[12]

Sebelum masalah elektrik LRT berlanjutan, Pihak Prasarana dan Kementerian Pengangkutan Malaysia harus mengemukakan laporan penuh tentang punca permasalahan gangguan bekalan elektrik LRT[13]. Laporan ini wajib dibawa ke parlimen untuk dibahas oleh kepada ahli parlimen, menerusi pewujudan sebuah Jawatankuasa Parlimen berkait integrasi sistem pengangkutan awam terutamanya dari kawasan Kuala Lumpur dan Selangor yang amat terkesan.

Jaringan sistem sedia ada beserta projek MRT wajib dipantau menerusi Jawatankuasa Parlimen ini yang juga menuntut pertanggungjawaban daripada SPAD kepada badan legislatif tertinggi negara. Kita wajib berusaha mengelakkan kemelut permasalahan operasi serta kenaikan kos daripada dibebankan kepada pengguna.

Projek berbilion ringgit yang bakal diserahkan kepada Rapid Rail Sdn Bhd atau mana-mana entiti korporat wajib bersyarat – kepada sistem pengangkutan awam darat yang efisyen dan bermanfaat untuk pengguna.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN
________________________________
[1]http://www.thestar.com.my/business/business-news/2015/05/12/40-pct-public-transport-modal-share-achieveable-says-spad/
[2] https://www.malaysiakini.com/news/322140
[3]http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/lrt-tersangkut-lebih-2-jam-1.318368
[4]http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/laluan-lrt-kelana-jaya-terganggu-1.438696
[5]http://www.nst.com.my/news/2016/09/171330/lrt-power-trip-strands-hundreds-video?m=1
[6] https://www.malaysiakini.com/news/355189
[7]http://www.straitstimes.com/singapore/transport/2-smrt-staff-killed-in-accident-were-singaporeans-aged-24-and-26-and-undergoing
[8] http://www.bbc.com/news/uk-10640569
-lrt-trains-holds-commuters-116158
[9] https://www.najibrazak.com/bm/digital-media/photo-gallery/mrt-lrt-rapid/
[10]http://www.themalaymailonline.com/what-you-think/article/ridiculously-high-fares-upset-puchong-lrt-user
[11]http://www.astroawani.com/berita-malaysia/peningkatan-kadar-penggunaan-pengangkutan-awam-beri-semangat-kepada-spad-27816
[12]http://www.straitstimes.com/singapore/transport/smrt-concludes-investigation-into-accident-that-led-to-death-of-two-staff
[13]http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/pendapat/article/kadar-parkir-dbkl-zalimi-anak-muda-fahmi-fadzil#sthash.0cWQ4Njj.dpuf