Skip to main content
Issues Affecting the RakyatSosio Ekonomi

Wacana Ekonomi Ummah

By 30 March, 2009February 18th, 2020No Comments

WACANA EKONOMI UMMAH 2009

“KRISIS EKONOMI SEJAGAT: CABARAN DAN HALUAN”

UCAPTAMA OLEH : YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

DISAMPAIKAN OLEH YB NURUL IZZAH ANWAR

DI UNIVERSITI INDUSTRI SELANGOR (UNISEL)

28 Mac 2009

MUKADIMMAH

Saya hargai penghormatan yang diberikan untuk menyampai ucaptama dalam program “Wacana Ekonomi Ummah 2009” bertajuk “Krisis Ekonomi Sejagat: Cabaran & Haluan.” Tahniah kepada penganjur Dewan Perdagangan Islam Malaysia cawangan Selangor bersama Unisel dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Para pakar ekonomi sedang menganalisis dan membedah punca kegawatan ekonomi sejagat yang tercetus akibat dari krisis kewangan dan ekonomi Amerika Syarikat ini. Umumnya mereka merumuskan kegawatan tersebut sebagai berkaitan dengan “greed and aversion to risks”- tamak haloba dan keasyikan tanpa mengambil kira risiko terhadap dana rakyat yang melabur sebagai salah satu punca tidak dapat disangkal lagi.

Ramai perencana serta pengurus ekonomi juga kewangan tersohor seumpama Alan Greenspan tersentak. Beliau mengakui pengalaman dan ilmu selama setengah abad tidak mampu membantu serta mencakupi bagi menyelesaikan serta memahami krisis mutakhir ini.

Beliau merupakan antara pemuka ekonomi yang berbicara dengan yakin di samping mengingatkan dunia bahawa lonjakan pasaran modal dekad 90an sebelumnya didorong oleh keghairahan berlebihan- irrational exuberance-, bukannya bersendikan dari asas kekuatan ekonomi yang kuat.

Pengukur kekuatan syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham umpamanya haruslah prestasi dan keupayaan syarikat. Tetapi prinsip tersebut diketepikan dan dagangan syarikat disandarkan dengan perjudian; maka bursa saham beralih seolah kasino baru.

Krisis Kewangan dan Ekonomi Global yang melanda sekarang harus meyakinkan kita bahawa pembangunan ekonomi tidak dapat dipisahkan dari isu akhlak dan etika. Inilah yang dikemundangkan oleh ulama dan sarjana Islam bahawa paksi pembangunan dan pertumbuhan berkait rapat dengan prinsip asas pembangunan insan seutuhnya ke arah hasanah dan ketakwaan.

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);

Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; –

Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),

Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). Surah Asy Syams ayat 7-10 

Tanpa berpaksikan prinsip tersebut, maka amalan korporat tercemar; lebih lagi manakala bersekongkol dengan penguasa rakus. Amanah rakyat dikhianati. Masih tersemat dalam ingatan, bagaimana keras tempelak Bapak Mohammad Natsir, pemimpin umat serantau, terhadap pemimpin Indonesia ketika itu yang ghairah menjana pertumbuhan dengan mengenepikan prinsip keadilan dan akhlak serta membenarkan penindasan, juga menghalalkan kefasadan sosial,­­ “ membangun sambil merobohkan”, yakni membangun industri dan gedung tetapi dalam masa yang sama merelakan penindasan dan meruntuhkan akhlak.

Arakian tidak janggal lagi jika kita kembali kepada landasan  dan meneruskan wacana ekonomi yang menjana pertumbuhan negara dan pembangunan insan.

Benar, kedudukan ekonomi sejagat mutakhir ini tidak membantu, namun ini tidak menjadi alasan kepada pengurusan ekonomi negara menjadi tidak bermaya serta kaku. Kita tidak boleh menafikan kenyataan antara sebab ekonomi sejagat dan negara Malaysia melemah ialah kerana permasalahan sistemik yang mencakup isu keyakinan, prinsip keadilan serta akhlak.

Justeru pengurusan ekonomi seharusnya mempunyai keupayaan untuk lebih pantas bertindak memulihkan keyakinan dan melibatkan perubahan menyeluruh dan sistemik.

Kelemahan dan kelekaan pengurusan ekonomi negara ini menyebabkan kita terjerumus, dengan apa yang disifatkan oleh John Maynard Keynes dalam The Great Slump of 1930 sebagai:

Hari ini kita menjerumuskan negara ke dalam kekalutan yang dahsyat (colossal muddle), kerana kegagalan mengawal mekanisma yang sebegitu halus, serta tidak mampu kita fahami. Hasilnya, kita berkemungkinan besar kerugian untuk satu jangka masa yang panjang.

BENIH KRISIS KEWANGAN DAN EKONOMI GLOBAL BERBUAH.

Apabila President Bill Clinton meninggalkan White House pada tahun 2000, kerajaan AS mempunyai belanjawan lebihan ‘surplus’ US$280 billion (RM1.02 trillion). Lapan tahun kemudian pada 2008, apabila President George Bush meninggalkan White House kerajaan AS terpaksa menanggong belanjawan ‘defisit’ US$1.6 (RM5.83) trillion dan melumpuhkan bukan sahaja ekonomi AS tetapi seluruh dunia.

Pembiayaian kos peperangan ke atas Iraq dan Afghanistan yang begitu tinggi, pengaliran keluar dana dan pelaburan oleh beberapa buah Negara dan institusi pelaburan sebagai protes kepada perang dari pasaran kewangan AS dan Britain, tanggongan keatas kenaikan harga petrol dan bahan-bahan lain yang melambong tinggi akibat perang, dan beberapa faktor lain menyebabkan dana dalam sistem kewangan AS dan Britain merosot dengan ketara. Kemerosotan ini melemahkan keupayaan bank menyedia kredit untuk pelaburan dan perbelanjaan pengguna sebagai penjana utama pertumbuhan ekonomi, maka bermulalah apa yang dipanggil  “Krisis Kredit”

Joseph Stiglitz pemenang hadiah nobel ekonomi dan Linda Bilmes pakar belanjawan dan kewangan awam dari University Harvard dalam buku mereka “The Three Trillion Dollar War”  2008, menganggarkan kos peperangan yang keatas Iraq dan Afghanistan berjumlah antara US$2.6 hingga US$4.5 trillion bersamaan (RM9.47 – RM16.4 trillion). Ini tidak termasuk kos yang ditanggong oleh negara-negara lain seperti Britain, Germany, Australia dan sebagainya.

Krisis kredit menyebabkan kemudahan gadaijanji atau  “mortgage” tersedia jatuh merundum. Ini memberi kesan kepada kemerosotan permintaan membeli rumah dan hartanah di AS. Bila permintaan membeli merosot, harga rumah dan hartanah sedia ada yang sudah terlalu tinggi mula merundum menyebabkan kerugian bukan sahaja kepada pemilik tetapi juga institusi kewangan yang membiayainya.

Menurut anggaran terakhir IMF, kemungkinan kerugian dari pinjaman dan jaminan kredit berasal dari Amerika Syarikat sudah mencecah US$2.2 (RM8) trillion, meningkat dari US$1.4 (RM5.1) trillion dalam bulan Oktober 2008. Kerugian yang dialami syarikat-syarikat dan institusi kewangan AS sudah mencecah US3.6 trillion (RM13.4 trillion). Separuh daripadanya ditanggong oleh bank  dan syarikat broker AS dan selebihnya oleh Institusi kewangan seluruh dunia terutama Britain dan Eropah. Ini menyebabkan banyak bank dan institusi kewangan lumpuh dan bankrap dan terpaksa di “bail-out” oleh kerajaan masing-masing.

Kelumpuhan dan kerugian bank dan institusi kewangan  memburukkan lagi  keupayaan  membiayai injin penjana pertumbuhan ekonomi iaitu pelaburan dan perbelanjaan pengguna yang sudah pun lumpuh. Maka krisis kewangan ini menular pula kepada industri-industri lain yang bergantung kepada perbelanjaan pengguna seperti otomobil, barangan elektrik dan elektronik, peralatan dan pengisisan computer peribadi, peralatan telekomunikasi, pelancongan dan sebagainya. Selain kesukaran mendapat kredit dan kemerosotan permintaan, pelabur mula hilang keyakinan kepada ekonomi menyebabkan pelaburan baru merundum. Pengguna juga hilang keyakinan dan mula berjimat untuk masa depan daripada berbelanja menyebabkan  permintaan terus merundum.

Akibatnya pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat, Britain dan Eropah menguncup dan permintaan dalam perdagangan antarabangsa merosot. Akhirnya Negara-negara lain di dunia mula mengalami kesan yang sama termasuk Malaysia.

Menurut Bank Pembangunan ASIA (ADB), krisis global secara beransur-ansur menghakis US$50 (RM185.4) trillion nilai asset kewangan tahun 2008, termasuk kerugian US$9.6 (RM35.6) trillion di Negara-negara Asia. Di Latin Amerika, kerugian dianggarkan US$2.1 (RM7.8) trillion.

Kita sebenarnya berhadapan bukan sahaja krisis kewangan tetapi juga  krisis hilang keyakinan dan keruntuhan permintaan dalam ekonomi global yang kesannya lebih parah dari “Great Depression” 1930. 

KUASA KEWANGAN DAN EKONOMI DUNIA BERALIH?

Kedudukan kuasa kewangan dunia mula berubah. Negara China, Jepun dan Rusia muncul sebagai pemegang rezab asing terbesar dunia dan kerajaan AS merupakan pemiutang terbesar dunia. Mutakhir Perdana Menteri Cina menyarankan agar matawang Dollar AS diganti dengan matawang pelbagai (basket currencies) dalam urusan perdagangan antarabangsa.

Sudah ada kepercayaan bahawa semua pakej menyelamat kewangan yang diumumkan setakat ini di AS, UK dan Eropah tidak mampu membantu sistem kewangan dari keruntuhan. Kawalan tersendiri atau tangan ghaib (self regulating or invisible hand) sistem kewangan sedia ada tidak lagi berfungsi  kerana sikap tamak dan rakus mengaut keuntungan tanpa mengira tanggongjawab dan kos sosial. 

Kemungkinan besar sistem kewangan baru akan muncul atau tercipta tetapi masih kabur bentuk dan jenisnya dan bagaimana ia akan selari dengan sistem sekarang. Saya tidak mahu terlalu optimistik tetapi sistem kewangan dan ekonomi Islam mungkin akan menonjol sebagai alternatifnya.

Ini dapat dilihat dari penerimaan sistem perbankan Islam beroperasi selari dengan sistem perbankan konvesyenal secara berleluasa di Eropah. Bank-bank utama Britain seperti HSBC dan Standard Chartered menyedia kaunter perbankan Islam. Malah badan perakaunan terbesar dunia, ‘Chartered Institute of Management Accountants’ mengeluar Sijil Kewangan Islam (Certificate in Islamic Finance) kepada pelajar yang ingin mempelajari sistem kewangan Islam.

Begitu juga Kerajaan Perancis secara rasmi telah membiayai penyelidikan pelaksanaan sistem ekonomi Islam sebagai alternative dalam menghadapi kegawatan ekonomi global hari ini. Jelas telah berlaku peralihan paradigma dalam sistem kewangan dan ekonomi global.

Malaysia boleh berbangga sebagai salah sebuah Negara pelopor sistem kewangan Islam global. Tetapi malangnya Timbalan Perdana Menteri mengambil pendekatan yang tidak konvensyional untuk meningkat pendapatan Negara sejak menjadi Menteri Kewangan Oktober lepas. Banyak lesen dan tempat perjudian baru dikeluar dan dibenarkan dalam suasana dunia sedang mendekati sistem Islam dalam pengurusan kewangan dan ekonomi dunia.

AGENDA EKONOMI MALAYSIA

Selari dengan tuntutan Islam dan menginsafi Islam dapat memayungi seluruh rakyat dengan keadilannya, Parti Keadilan Rakyat meletakkan Agenda Ekonomi Malaysia yang komited untuk memperbaiki dan menaiktaraf golongan miskin dan terpinggir samada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lainnya. Kami sentiasa menegaskan bahawa di bawah kepimpinan kami, kepentingan orang Melayu akan dipelihara dan kami kekal komited untuk membina sebuah sistem baru yang lebih adil, lebih saksama dan berperanan untuk memastikan tidak ada seorang pun yang ketinggalan di belakang tanpa mengira apa agama dan bangsa mereka.

Kami merancang untuk melaksanakan mekanisme-mekanisme baru untuk menyalurkan bantuan ekonomi kepada sejumlah besar peniaga-peniaga kecil dalam komuniti Melayu dan memastikan peluang pendidikan, skim kewangan mikro kredit, perkhidmatan sosial dan kebajikan serta pelbagai lagi bentuk bantuan ekonomi terbuka untuk masyarakat Melayu.

Saya percaya bahawa semua rakyat Malaysia termasuklah golongan Melayu mengalu-alukan mandat yang diperolehi KeADILan pada 8 Mac lepas dan mereka memandang ke hadapan untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih berakauntabiliti, memerangi rasuah dan melaksanakan janji-janji untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan membasmi kemiskinan di dalam pelbagai sektor masyarakat.

Justeru saya turut terkesan dengan pelbagai usaha yang dilakukan oleh segelintir pihak untuk mengapi-apikan sentimen perkauman selepas Pilihanraya Umum 8 Mac yang lepas. Kami mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kempen ganas ini dipeloporti segelinti Melayu korporat dan pimpinan Umno yang bersalah kerana menyalahguna dan menyelewengkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk memperkayakan kelompok dan kroni mereka menggunakan wang yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat.

Hubaya-hubaya ini mempergunakan Umno dan media kawalan kerajaan untuk menyemarakkan rasa takut di kalangan masyarakat Melayu dan mengalihkan tumpuan daripada kekalahan mereka dan kegagalan terbesar Umno dalan sejarah, kepada memberi tumpuan dan fokus kepada keperluan seluruh rakyat Malaysia termasuklah Melayu miskin dan tertindas.

Saya menyeru kepada seluruh rakan warga Malaysia untuk menolak usaha desperado tajaan pimpinan dan ahli Umno untuk menyelamatkan harapan rakyat daripada dimanipulasi sebuah parti yang rosak yang menyemarakkan ketakutan rakyat dan berusaha memecahbelahkan rakyat negara ini.

Kita mesti kekal bersatu untuk menjunjung Harapan Baru untuk Malaysia

KESAN KRISIS KEWANGAN DAN EKONOMI GLOBAL KEPADA NEGARA

Begitu banyak pengajaran dalam Al-Quran yang mengisah betapa tindakan zalim segelintir pemimpin menyebabkan bala’ diturunkan keatas kaumnya sepertimana yang berlaku keatas umat nabi-nabi Nuh, Hud, Salleh, Lut a.s dan seterusnya.

Allah berfirman dalam Al-Quran surah Hud ayat 59;

“Dan itulah peristiwa kaum ‘Aad, mereka mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, serta mereka menderhaka kepada Rasul-rasulnya; dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua yang bermaharajalela, lagi degil dalam keingkarannya”.

Kisah Qaarun dan kekayaanya sepertimana yang dikisahkan dalam Al-Quran surah Al-Qasas ayat 78 yang maksudnya;

“Qaarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Kalaulah Qaarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan?”

Dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11, Allah berfirman yang maksudnya;

“ Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah Menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala’ bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”

Tanda-tanda kegawatan dan melesetan ekonomi akan melanda Negara jelas kelihatan sejak akhir tahun 2005 apabila pelaburan langsung asing (FDI) mula mengalir keluar dari pasaran secara besar-besaran sehingga pada tahun 2007, yang keluar melebihi yang masuk. Saya telah memberi amaran kepada kerajaan supaya berwaspada dan berjaga-jaga apabila meminta Parlimen membahas usul tergempar  kedudukan pengaliran keluar pelaburan langsung asing yang amat meruncing ini tahun lepas tetapi tidak diendahkan dan usul saya ditolak.

Malah kerajaan terus mengambil sikap “denial” sehingga semua petanda ekonomi untuk suku akhir 2008 menunjukkan asas atau fundamental ekonomi Negara telah jatuh mendadak. Pelbagai unjuran pertumbuhan ekonomi diramalkan oleh para pakar ekonomi untuk 2009. Tidak salah kalau saya nyatakan Negara akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang negatif (-2%) atau mungkin sehingga negatif (-5%) untuk tahun 2009. Negara sudah mengalami kemelesetan sejak pertengahan tahun 2008 yang dinafikan kerajaan selama ini.

Kesedaran ini berdasarkan analisa yang dibuat oleh IMF keatas Negara-negara OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development)  dari 1960 – 2007 menunjukkan pelabur-pelabur swasta secara umumnya keluar dari pasaran terlebih dahulu sebelum kemelesetan “rasmi” melanda sesebuah Negara atau rantau. Pelabur tidak akan masuk semula kedalam pasaran sehingga kemelesetan pulih sepenuhnya.

EKONOMI MENJUNAM

Kesemua penjana utama pertumbuhan ekonomi negara, iaitu ekspot, pelaburan dan perbelanjaan perseorangan menjunam dan bertambah lembab. Tiga sektor utama ekonomi Negara juga jatuh menjunam iaitu (1) Pembinaan (-1.6%), (2) Perlombongan (-5.7%), dan (3) Pengeluaran (-8.8%). Hanya sektor perkhidmatan tumbuh 5.6%.

Hasil expot terutama komoditi dan barangan elektronik jatuh mendadak (-13.4%) untuk suku akhir 2008 berbanding pertumbuhan 16% dalam 9 bulan pertama. Perkembangan ini dijangka akan berterusan untuk 2009 dan 2010. Ekonomi perlu diransang kembali pertumbuhan pelaburan untuk menggalakkan permintaan domestik.

Sektor perkilangan dan pengeluaran yang menyumbang 30% kepada Keluaran Kasar Domestik juga menjunam. Ekspot barangan elektrik dan elektronik menjunam 27.1% untuk bulan Disember 2008. Indeks Industri Kecil dan Sederhana Amerika Syarikat pula mencatat aras kejatuhan paling rendah sejak 30 tahun untuk Januari 2009. Ini petanda kegiatan ekspot dan pengeluaran akan menghadapi masa depan yang suram.

Lebih parah lagi sokongan dari injin pertumbuhan Asia semakin lemah. Impot dari Singapura jatuh 19.8% suku akhir tahun lepas dan 45.4% Januari tahun ini. Lebih mengejutkan impot dari China jatuh 23.2% antara Oktober 2008 hingga Januari 2009 melebihi kejatuhan impot China dari Singapura sebanyak 17%. Ini juga merupakan petanda jelas ekspot komoditi dan elektronik semakin melemah.

Pengeluaran barangan elektronik yang menyumbang 1/5 daripada keseluruhan pengeluaran berterusan lembab sejak 7 bulan yang lepas disebabkan kemerosotan permintaan global. Pada Disember 2008 sahaja ia merosot 35.4% dan bulan sebelum itu November merosot 14.6%.

Syarikat-syarikat multinational pula mula mengecil dan ada yang tutup operasi mereka. Western Digital telah mengumumkan penutupan kilang “hard-disk drive” di Sarawak, yang mempunyai 1500 pekerja. Intel pula dijangka menutup kilang “chip’ nya di Pulau Pinang dan Panasonic dijangka menutup dua buah kilang di Malaysia.

Apa yang berlaku ialah kerajaan gagal membangun semula perniagaan dan perusahaan yang telah tutup atau bertindak pantas melakarkan satu program ekonomi yang lebih berdaya saing. Kerajaan perlu memastikan perpindahan tidak lagi berlaku dan mengekal kelebihan melalui penggunaan teknologi terbaru dalam pengeluaran barangan permintaan ekonomi global terkini.

Bank-bank  mengambil pendekatan menjauhi risiko. Kadar kelulusan pinjaman menjunam apabila bank-bank mengetat kawalan kredit baik untuk isirumah maupun bukan  isirumah. Implikasi kepada sektor korporat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana lebih parah lagi. Kelulusan pinjaman jatuh 23.7% dalam bulan Disember. Pada November sudah jatuh 44% kemerosotan paling tinggi sejak May 1999. Dalam masa yang sama kemerosotan penerbitan saham dan jaminan hutang korporat (private korporat debt securities) menandakan ruang penglibatan sektor korporat dan pengguna dalam ekonomi terus lemah.

PENGANGGURAN MENINGKAT

Pasaran buruh juga menjunam. Peluang pekerjaan semakin sukar dan yang sedia ada tidak lagi dapat menjamin boleh bertahan.  Lebih ramai akan memasuki pasaran. Ini meningkatkan lagi pengangguran. Sektor perkilangan moden dan syarikat multinasional terjejas teruk kerana bergantung kepada ekonomi global.

Dianggarkan seramai 150 ribu pekerja akan diberhentikan atau kerja kurang masa.  Terdapat 50 ribu pekerja Malaysia berulang setiap hari ke Singapura dan dianggarkan 2/3 atau 30 ribu akan diberhentikan tahun ini.  Terdapat lebih daripada 125 ribu graduan yang masih menganggur atau “underemployed”. Ramai lagi graduan akan memasuki pasaran  tahun ini dan tahun-tahun hadapan. Dalam sektor lain dianggarkan antara 100 – 150 ribu pekerja akan terjejas kerana dijana oleh permintaan domestik yang semakin lembab. 

Secara keseluruhan dianggarkan antara 500 hingga 600 ribu pekerja akan terjejas samaada dibuang kerja atau bekerja kurang masa. Persekutuan Majikan Malaysia menganggarkan 400 ribu pekerja akan diberhentikan pada tahun 2009 sahaja.  

Pembuangan kerja dan pengangguran memberi kesan kepada penggunaan perseorangan (private consumption) ditambah pula dengan kejatuhan harga kelapa sawit (RM1900/ton untuk Februari 2009 berbanding RM4200/ton untuk April 2008). Pengguna terutamanya penduduk Bandar berpendapatan menengah mulai merasa kesannya. Index Sentimen Pengguna yang dikeluarkan oleh MIER  jatuh  71.4 mata pada suku akhir 2008, merosot 17.5 mata dari suku ketiga 2008.

Lebih parah lagi kelembaban pengguna  bandar berlaku dalam masa yang sama dengan kelembaban pengguna luar bandar. Ini kerana 120,000 keluarga peneroka terjejas dengan kejatuhan harga kelapa sawit. Akibatnya jualan barangan keluaran tempatan jatuh 20.8% untuk 2008 berbanding  2007.

PENGURUSAN EKONOMI NEGARA MENYIMPANG DARI HALATUJUNYA

Negara sepatutnya sudah mampu menjana kekayaan yang berupaya menanggung seluruh rakyatnya dengan selesa. Ia sepatutnya berupaya menyediakan prasarana, kemudahan dan perkhidmatan awam bertaraf dunia pada kadar tol, caj dan cukai yang munasabah dan berpatutan. Negara sepatutnya berupaya menyedia kemudahan asas kesihatan, pendidikan secara percuma dan berupaya menyedia rumah yang mampu dimiliki rakyat. Secara teorinya ekonomi kita sepatutnya sudah berdaya mencipta peluang bagi memperoleh pendapatan yang baik kepada semua golongan berdasarkan sumbangan produktif mereka dalam ekonomi.  Dengan hasil bumi yang kaya, barangan komoditi yang pelbagai dan daya usaha gigih di kalangan penduduk, ekonomi kita sebenarnya amat berjaya dan sepatutnya menduduki tangga ekonomi terbilang dunia.  

Namun demikian, jurang pendapatan di antara 10% rakyat terkaya dan 90% yang lain begitu ketara. Daripada perubahan kepada ekonomi moden yang dibayangkan dalam Wawasan 2020 dimana jurang pendapatan dirapatkan di antara penduduk setiap tahun, negara masih diselubungi dengan masalah jurang diantara yang kaya dan yang miskin semakin melebar.

Laporan Pembangunan Insan Bangsa-Bangsa Bersatu (2007) menunjukkan Malaysia mempunyai jurang pendapatan diantara yang kaya dengan yang miskin paling tinggi di Asia Tenggara dan yang kedua tertinggi di Asia selepas Papua New Guinea. 10% rakyat terkaya menguasai 38.4% dari pendapatan negara manakala 10% rakyat bawahan menguasai hanya 1.7%.  Dalam gambaran yang lebih besar  80% daripada pendapatan Negara dikuasai oleh 20% rakyat terkaya dan selebih 20% lagi terbahagi dikalangan 80% rakyat jelata.  

Sebenarnya kita berhadapan dengan ketidakbijaksanaan dan kesilapan dalam pengurusan ekonomi. Kerajaan mengalih ratusan billion ringgit sumber kewangan negara (dianggarkan antara 500-550 billion ringgit) yang hampir kesemuanya dipinjam dari institusi kewangan baik dari dalam maupun luar negara untuk melaksana projek-projek yang kebanyakannya diluluskan tanpa penilaian ekonomi dan kewangan yang teliti. Kebanyakan projek-projek ini dianugerah secara tender tertutup dan rundingan terus, mengenepi segala peraturan dan prosedur kerajaan, dan dengan harga yang tinggi melampau kepada beberapa buah syarikat terpilih.

Polisi ini berterusan dibawah pentadbiran Perdana Menteri sekarang, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, dimana semasa menjawab soalan mantan Ketua Pembangkang YB Datin Seri Wan Azizah Dato’ Wan Ismail didalam parlimen Mei 2008, kerajaan telah menganugerah tender dan kontrak secara tertutup dan rundingan terus berjumlah lebih daripada RM68 billion sejak tahun 2004 hingga akhir 2007.

Sebagai contoh dalam kes projek landasan keretapi berkembar utara selatan, apabila landasan berkembar dan elektrifikasi dicadangkan dari Johor Baru ke Padang Besar pada 2002-2003 secara terbuka, kos terendah ialah RM14 bilion dan mengambil masa enam tahun untuk dibina. Kerajaan perlu kira-kira RM2 bilion setahun untuk membina projek ini. Ia sepatutnya dimulakan pada 2004 tetapi ditunda apabila Perdana Menteri sekarang mengambil alih kepimpinan Negara pada 2003.

Sekarang kerajaan dapati ianya perlu diteruskan. Malangnya kos kini telah meningkat angkara tender tertutup dan rundingan terus. Untuk membina landasan berkembar dan elektrifikasi dari Ipoh ke Padang Besar sahaja (bukan Johor Baru ke Padang Besar) menelan belanja  RM12.5 bilion, kenaikan sebanyak RM7 billion atau 127% dari sebutharga asal. Kontrak ini dianugerah kepada Gamuda-MMC Joint Venture pada bulan Julai 2008.  Inilah hasilnya apabila sesuatu projek dibuat secara tertutup dan rundingan terus.

Banyak juga projek dianugerah secara penswastaan dengan syarat perjanjian berat sebelah dan amat menguntungkan penerima konsesi  tanpa memberi penekanan kepada keberkesanan dan keekonomikannya. Banyak tidak memenuhi kriteria asas ekonomi dan kewangan daya kejayaannya. Semua mengandungi elemen subsidi secara langsung atau tidak langsung, baik melalui geran, kadar tol dan caj yang tinggi, atau konsesi cukai. Banyak dijamin kerajaan untuk mendapat pinjaman dalam pelaksanaan projek-projek ini.  “Nisbah kos- faedah” atau ‘cost-benefit ratio’ tidak pernah ditakrif tetapi dilaksana di bawah slogan penswastaan. Ini termasuk Penjanaan Tenaga Bebas atau IPP, pembelian MAS, pembinaan hospital, lebuhraya, LRT, ERL, bekalan perubatan, makmal perubatan, pemeriksaan kenderaan, bekalan air dan sebagainya.

Sebagai contoh kerajaan tidak dapat selesai perjanjian berat sebelah yang amat menguntungkan pemegang konsesi IPP yang terus membeban Tenaga Nasional (TNB) dan rakyat. Kos TNB mengeluar 1 unit tenaga hanyalah 8.5 sen berbanding dengan kos 15.5 sen satu unit yang terpaksa dibeli dari IPP. Ketika harga gas melambong, Petronas dan kerajaan terpaksa memberi subsidi lebih daripada RM58 billion  kepada IPP kerana harga bekalan gas telah ditetapkan sepanjang hayat kontrak dengan mereka. Akibatnya kerajaan kekurangan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan untuk  menanggung kos subsidi kepada pemegang konsesi IPP dan harga elektrik dinaikkan.

Tan Sri Ani Arope, bekas Pengerusi Tenaga Nasional pernah menyatakan dalam akhbar The Star, 7 Mac 2009,

“ Tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh TNB selagi Perjanjian Pembelian Tenaga tidak disemak dan dirunding semula. IPP diberi syarat-syarat yang amat menguntungkan dan dilindungi dari pelbagai risiko yang melonjakkan mereka dari tidak dikenali kepada kemasyhuran dan keuntungan yang begitu besar. Kejayaan kewangan mereka bukan kerana kebijaksaan dan daya inovatif dalam perniagaan tetapi kerana Perjanjian Pembelian Tenaga yang berat sebelah dan begitu lumayan.”

Dalam keadaan rakyat tercengkam kesempitan hidup akibat krisis kewangan dan ekonomi global pun, kerajaan bersedia menaikkan tol lima buah lebuhraya yang sepatutnya berkuatkuasa 1 April 2009 untuk menjaga kepentingan syarikat-syarikat pemegang konsesi tol. Apabila rakyat bangkit membantah, kerajaan menunda tarikh pelaksanaannya, tetapi syarikat-syarikat konsesi tidak kerugian kerana mendapat gantirugi daripada kerajaan yang menggunakan wang rakyat. Sepatutnya kerajaan mengkaji semula semua perjanjian konsesi berat sebelah, apatah lagi dalam kegawatan ekonomi yang sedang melanda Negara.

Begitu juga banyak syarikat-syarikat yang mendapat subsidi daripada kerajaan, antaranya ERL Sdn Bhd kepunyaan YTL yang mendapat subsidi RM5 daripada setiap penumpang yang mengguna KLIA, samaada mereka naik atau tidak ERL, berjumlah RM175 juta setahun walaupun sudah mengaut keuntungan berbillion ringgit daripada IPP setahun. Syarikat Fly Asian Xpress mendapat subsidi RM136 juta setahun dan banyak lagi. Apabila rakyat tuntut diturunkan harga petrol dan diesel, kerajaan tidak bersedia menyedia subsidi.

PENGAJARAN DARI KRISIS KEWANGAN ASIA 1997

Saya masih ingat semasa krisis Kewangan Asia 1997 melanda, peruntukan diutamakan untuk “bail-out” syarikat-syarikat kroni daripada digunakan untuk projek-projek pembangunan. Syarikat-syarikat yang dibail-out pula mengalami pelbagai masaalah sehingga hari ini. Wang rakyat yang digunakan untuk bail-out masih belum terbayar dan ada yang ditukar sebagai geran seperti Perwaja, ada yang terpaksa diambilalih semula oleh kerajaan dengan harga yang merugikan lagi wang rakyat seperti MAS, saham-saham yang  KWSP, KWAP dan agensi-agensi kerajaan lain dipaksa membeli seperti TimeDotCom kehilangan nilai, pinjaman bank yang dijamin kerajaan dilupuskan seperti Time Engineering Bhd dengan Bank Prasarana dan pelbagai lagi.

Ini menyebabkan sejak krisis kewangan Asia 1997, ekonomi Negara masih belum pulih, mengalami masaalah kronik, tidak berdaya kembang, pertumbuhan terpaksa dijana melalui perbelanjaan deficit kerajaan 11 tahun berturut-turut, dan kemampuan serta daya tahan kewangan kerajaan untuk menghadapi krisis kewangan dan ekonomi global ini amat terbatas.

PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI RM60 BILLION

Saya ingin menegaskan bahawa kami dalam Pakatan Rakyat bersedia melakukan apa sahaja untuk membela rakyat termasuk sebarang inisiatif untuk membantu rakyat dan ini telah kami suarakan awal dahulu tatkala perbahasan belanjawan yang lalu pun kami mengajak supaya Kerajaan Barisan Nasional memberi ruang kepada wakil-wakil pembangkang membahaskan inisiatif yang dikemukakan tetapi hasrat itu diketepikan begitu sahaja oleh itu semua rangsangan dan inisiatif yang dikemukakan oleh kerajaan tidak mengambil kira pandangan dan perbahasan seperti mana yang dilakukan oleh kebanyakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Ada usaha untuk menggembleng semua kekuatan, mengajak rakan-rakan dari pelbagai pihak berunding mencari jalan penyelesaian. Sebab itu saya ingin mulakan dengan membandingkan apa yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan 10 Mac 2009 dengan apa yang berlaku di Amerika Syarikat kerana banyak usaha dan pendekatan Menteri Kewangan kononnya sekarang mengambil contoh dari rangsangan yang dikemukakan oleh Obama.

Perbezaan besar ialah sementara usaha-usaha ala Keynesian oleh Obama itu mengambil kira juga satu perubahan dasar kerana mengenal pasti permasalahan utama ialah persoalan sistemik, anjakan daripada cara pengurusan ekonomi syarikat dan bank yang leka mengaut keuntungan, namun di Malaysia seperti tidak ada kesungguhan untuk melakukan perubahan pengurusan, mengawal sistem dari kebocoran, ketirisan, rasuah dan kepincangan.

Sebab itulah maka Paul Krugman umpamanya pemenang Hadiah Nobel Ekonomi dan juga ahli ekonomi Keynesian yang terkenal dewasa ini mengingatkan rangsangan seumpama yang dikemukakan oleh Obama itu sendiri pun falling behind the curve sekiranya tidak megambil kira perubahan yang mendasar apatah lagi masalah dan krisis negara kita jauh lebih gawat dari pakej rangsangan kedua yang dikemukakan. Persoalan sebenarnya ialah isu ketelusan dan isu pertanggungjawaban.

Pakej rangsangan RM60 billion yang diumumkan melibatkan:-

1) RM15 billion untuk perbelanjaan fiscal, dimana RM10 billion untuk tahun 2009 dan RM5 billion untuk 2010,

2) RM25 billion dalam bentuk Jaminan Kerajaan (Guarantee Funds),

RM10 billion dalam pelaburan modal,

3) RM7 billion dalam Initiatif Kewangan Swasta (Private Finance initiative) dan projek-projek “off-budget”, dan RM3 billion dalam insentif cukai.

Dari jumlah yang diumumkan memang besar. Tetapi apabila diteliti perbelanjaan fiskal hanya melibatkan RM15 billion sahaja dimana RM10 billion diperuntukkan untuk tahun 2009 dan RM5 billion untuk 2010. Adakah jumlah ini dapat menjana pertumbuhan yang diharapkan bagi menangani kegawatan ekonomi yang melanda sekarang?

Berdasarkan anggaran pertumbuhan ekonomi akan mengalami pertumbuhan negative 2% (-2%) untuk 2009, maka dari segi teori Negara memerlukan tambahan perbelanjaan fiskal sebanyak 7% dari KDNK 2008 (RM528 billion) atau RM37 billion untuk menjana pertumbuhan 5% untuk tahun 2009.

Apa yang membimbangkan ialah peruntukan RM10 billion untuk pelaburan modal dimana RM3 billion disalurkan kepada Khazanah Bhd. Adakah ini akan digunakan untuk “bail-out” syarikat-syarikat tertentu? Di Amerika Syarikat, wang ‘bail-out’ kepada American International Group syarikat insuran terbesar, digunakan untuk membayar bonus para eksekutif kaya dan bukan untuk membangun semula perniagaan atau menyelamat simpanan pelanggan mereka.

Di Selangor umpamanya apabila Kerajaan Persekutuan enggan bekerjasama demi memastikan pengurusan air berada di tangan kerajaan negeri yang mahu memastikan tarif air berada pada tingkat harga yang rendah, kepentingan syarikat kroni Puncak Niaga bukannya kepentingan rakyat Selangor yang menjadi pertimbangan utama. Mengapa masih mahu dikekalkan penglibatan Puncak Niaga, SYABAS, Splash dan ABBAS di dalam pengurusan air di Selangor sedang kan terbukti jumlah hutang syarikat-syarikat tersebut ialah RM 6.4 billion. Walaupun syarikat mengalami hutang yang sebegitu besar Pengurusi Syabas (Tan Sri Rozali Ismail) masih dibayar elaun di antara yang tertinggi di negara ini iaitu sebanyak RM 5.1 juta pada tahun 2007.

Kerajaan Persekutuan juga telah menyalur RM7 billion kepada Valuecap dimana RM5 billion dipinjam daripada KWSP. Apa dah jadi dengan nilai pelaburan yang dibuat oleh Valuecap sehingga kini? Kerajaan tidak boleh pandang ringan kerana ia melibatkan wang simpanan pekerja.

Kerajaan memerlukan anjakan, jika tidak pakej ransangan ini akan dilihat sebagai usaha untuk membantu kroni yang sakit, dan monopolis yang rakus, “to reward the inefficient.” Ini yang disebutkan oleh Paul Krugman sebagai “lemon sosialism”

“taxpayers bear the cost if things go wrong, but stockholders and executives get the benefits if things go right.”

BERKESANKAH PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI?

Berapa besar sekali pun peruntukkan disediakan dalam pakej rangsangan tidak akan dapat menangani kegawatan ekonomi sekirannya pengurusan dan pelaksanaannya tidak telus dan ketirisan berleluasa.

Berdasarkan “track record” pengurusan ekonomi rejim sekarang, saya tidak yakin pakej rangsangan yang diumumkan dapat menepati sasaran. Ini kerana sejak krisis kewangan Asia 1997 melanda, kerajaan tidak upaya membentang belanjawan seimbang atau lebihan hingga sekarang, 11 tahun berturut-turut.

Semasa dunia sedang mengalami “commodity boom” pada tahun-tahun 2003 hingga 2007 kebanyakan negara pengeluar komoditi yang besar mendapat belanjawan lebihan kecuali Malaysia. Sejak menjadi Ketua Pembangkang pada 28 Ogos 2008, sehingga 16 Mac 2009, tak sampai 6 bulan, kerajaan telah membentang 5 jenis belanjawan berjumlah RM310.55 billion.

Ini termasuk belanjawan 2009 (RM208 billion) pada 29 Ogos 2008, peruntukkan khas (RM7.1 billion) pada 4 November 2008, Pakej rangsanggan (RM60 billion) pada 10 Mac 2009, belanjawan tambahan pertama 2008 (RM22.49 biilion) dan belanjawan tambahan kedua 2008 (RM12.96 billion) pada 16 Mac 2009.

Ini menyebabkan pelabur-pelabur baik tempatan maupun luar hilang keyakinan halatuju pengurusan ekonomi Negara dan keluar secara besar-besaran sejak tahun 2005. Menurut laporan UNCTAD (UN Conference on Trade and Development) World Investment Report 2008, Negara mengalami aliran bersih pelaburan langsung asing yang negatif sebanyak RM9 billion pada 2007 sedangkan rantau ASEAN mengalami peningkatan kemasukan FDI yang begitu besar mencecah RM209 billion. Dirantau ASEAN hanya Malaysia mencatat aliran bersih FDI yang negatif dan pertama kali dalam sejarah Negara.

KEUTAMAAN DALAM MENANGANI KRISIS KEWANGAN DAN EKONOMI GLOBAL – SEKAT KETIRISAN

Yang membimbangkan ialah kurangnya langkah-langkah untuk meningkatkan hasil bagi mengurang kesan kemerosotan keuntungan korporat dimasa akan datang. Banyak syarikat-syarikat mengalami kerugian dan kemerosotan hasil. Ini akan melebarkan lagi jurang fiskal untuk 2010 dan tahun-tahun seterusnya.

Proses perolehan dan pemberian kontrak yang telus dan terbuka boleh menjamin bahawa projek-projek kerajaan dilaksana dengan kos yang berpatutan kerana ia melibatkan persaingan.  Penjimatan kos pada kadar 10-20% pun besar kesannya jika jumlah projek melebihi RM100 bilion setahun. Ini merupakan ruang untuk meningkatkan lagi pendapatan Negara melalui penutupan ketirisan dalam perolehan kerajaan.

Terlalu banyak ketirisan berlaku akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa dikalangan penguatkuasa kerajaan dalam melaksanakan tanggongjawab mereka. Kecurian balak, pasir, penyeludupan, penipuan dalam perisytiharan harga sebenar barangan impot dan ekspot, harga perolehan kerajaan yang tinggi dan banyak lagi menyebabkan kerajaan kerugian berbillion ringgit dalam  kutipan hasil Negara.

Yang menyedihkan lagi ia melibatkan semua peringkat pengurusan kerajaan, dari pimpinan tertinggi Negara hinggalah kepada kakitangan rendah kerajaan. Pemimpin-pemimpin politik, Menteri-menteri, Exco-exco, Pegawai-pegawai kerajaan, Polis, Badan Kehakiman dan malah Suruhanjaya Pencegah Rasuah sendiri pun tidak terkecuali dalam kegiatan rasuah yang menyebabkan ketirisan berleluasa dan tidak berupaya dibendung.

Sekiranya ini berterusan maka tidak mungkin kerajaan berupaya memperbaiki prestasi pengurusan kewangannya dan belanjawan defisit akan berterusan dan tidak mungkin dapat dikawal lagi.

PERANAN SURUHANJAYA PENCEGAH RASUAH MALAYSIA- HARAPAN MENJADI MIMPI NGERI

Harapan yang menggunung untuk melihat rasuah dan penyalahgunaan kuasa dikurangkan apabila kerajaan menubuh SPRM yang sama-sama disokong oleh Pakatan Rakyat. Ini sedikit sebanyak diharap dapat mengawal ketirisan dalam perolehan kerajaan dan menyelamatkan berbillion ringgit wang rakyat

Harapan menjadi mimpi ngeri apabila SPRM dijadikan alat kerajaan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat. Tindakan pantas diambil apabila melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat, malah yang masih belum selesai disiasat dihebahkan seolah-olah sudah bersalah walaupun melibatkan pemberian lembu korban untuk rakyat miskin.

Puluhan laporan yang melibatkan berbillion ringgit wang rakyat entah kemana perginya fail siasatan. Hasil siasatan Suruhanjaya Video VK Lingam, kes pemalsuan laporan mata lebam saya yang melibatkan Ketua Polis Negara dan Peguam Negara, pendedahan Tan Sri Tajuddin Ramli dalam pembelian saham MAS, laporan rasuah dalam pemilihan pimpinan UMNO, laporan odit Negara dalam pelupusan hutang Perwaja yang mencurigakan, dan banyak lagi yang masih belum kedengaran hasil siasatannya.

Sejak diperintah oleh Pakatan Rakyat selepas pilihanraya umum ke 12, Mac 2008, Negeri Selangor telah mencatat banyak kejayaan yang tidak dapat ditandingi oleh negeri-negeri dibawah kerajaan Barisan Nasional. Kejayaan ini tidak disenangi oleh kerajaan pusat, maka satu program untuk menjatuhkan kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpinan Pakatan Rakyat dirancang.

“ICU dibawah Jabatan Perdana Menteri dalam  Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Persekutuan Negeri (JKTPNg) Selangor Darul Ehsan pada 26 Februari 2009 di Pejabat Pembangunan Negeri Selangor telah memutuskan Pelaksanaan Program “PEOPLE CENTRIC” di Negeri Selangor oleh Pejabat Pembangunan Negeri Selangor.”

1.     Antara hala tuju dan matlamat keseluruhannya :

a)     Bagi mengekalkan dan mengukuhkan persepsi/ tanggapan positif rakyat kepada Kerajaan Persekutuan,

b)     Meningkatkan sokongan kepada rakyat kepada Kerajaan Persekutuan dengan meningkatkan imej dan kredibiliti pemimpin dan sekaligus “MENJATUHKAN IMEJ DAN KREDIBILITI PEMBANGKANG”

c)     Memenangi Pilihanraya Umum ke-13 dengan majority dua pertiga di Parlimen; dan Barisan Nasional menawan kembali Negeri Selangor daripada Pembangkang

d)     Untuk mengekalkan terus kesinambungan pemerintahan Kerajaan Persekutuan dibawah Barisan Nasional

2.     KEAHLIAN TASK FORCE PEOPLE CENTRIC :-

I.      PENGERUSI – Pejabat Pembangunan Negeri

II.      KEAHLIAN –

·        Majlis Keselamatan Negeri

·        Jabatan Belia dan Sukan

·        Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Jabatan Hal Ehwal Khas

·        Jabatan Kemajuan Masyarakat

·        Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional

·        SURUHANJAYA PILIHAN RAYA!!!

Daripada apa yang kita lihat, kerajaan pusat lebih berminat berpolitik daripada menangani masaalah ekonomi Negara yang semakin gawat. Kita bersedia duduk membincang cara mengatasi masaalah ekonomi Negara dan mengenepi persoalan politik demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Apa yang berlaku di Perak dan Selangor membuktikan kerajaan pusat lebih berminat berpolitik kotor daripada menyelesai masaalah kegawatan ekonomi yang sedang melanda Negara.

Dalam menghadapi kegawatan ekonomi peranan SPRM amat penting dan diperlukan. Negara tidak mempunyai ruang untuk pembaziran berlaku angkara rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Tumpuan harus diberikan agar segala projek yang dirancang berjalan dengan lancar dan memberi menafaat semaksima kepada rakyat dan ekonomi Negara. Apatah lagi belanjawan tambahan dan pakej rangsangan yang diusulkan ini melibatkan puluhan billion ringgit yang akan diagihkan dengan pantas untuk memacu pertumbuhan ekonomi Negara yang sedang meleset.

KAJI SEMULA KEDUDUKAN ASET-ASET BANK

Kali terakhir kerajaan membentang belanjawan lebihan atau ‘surplus’ ialah pada 1997. Walaupun Negara mengalami pertumbuhan ekonomi 6-7 peratus setiap tahun dari 2002-2007 tetapi kerajaan berterusan membentang belanjawan defisit selama 11 tahun berturut-turut. Ini tidak langsung masuk akal.

Adakah ekonomi Negara sedang mengalami masaalah lain  sepertimana yang berlaku di Jepun pada tahun 90an iaitu ekonomi tidak berkembang atau ‘economic stagnation’? Jepun  merawati masaalah ini melalui pelaksanaan “Rancangan Takenaka” pada 2002 dengan mengetat pengauditan asset-aset. Dengan ini terbongkarlah angka sebenar asset-aset lapuk dalam sistem perbankan. Ini membawa kepada reformasi radikal dan menyeluruh dalam sistem perbankan Jepun setelah mengalami “economic stagnation” yang berpanjangan.

Dalam kajian yang dibuat oleh IMF terhadap 122 krisis bank seluruh dunia mendapati melainkan bank membersih penyata kewangannya pemulihan ekonomi akan menjadi perlahan dan meyakitkan, “very slow and painful”.

Dalam menghadapi krisis kewangan global keyakinan kepada sistem perbankan amat penting dan merupakan prasyarat dalam usaha memulih ekonomi yang mampan.

NASIB MANGSA KEGAWATAN MESTI DIBELA

Kemelesetan telah menjejas peluang kepada semua. Yang miskin terutama warga kota tidak berpendapatan kerana kurang peluang pekerjaan. Yang kurang upaya hilang pekerjaan. Ibu tunggal yang menanggong keluarga mengalami kesempitan luar biasa. Warga emas menghadapi kesukaran kerana keluarga menghadapi kesempitan sumber kewangan. Sehingga ekonomi pulih semula dalam jangka 3 tahun, seluruh segenap masyarakat akan terjejas terutama yang kurang upaya dan miskin.

Dana Khas dan Dana Pemberhentian Kerja Nasional yang melibatkan sumbangan kerajaan dan majikan perlu ditubuhkan bagi menyedia bantuan kewangan atau elaun latihan semula kepada mereka yang dibuang kerja. Kerajaan perlu menggantung semua bayaran untuk rawatan di hospital, pusat rawatan, pendidikan kepada mereka yang kurang upaya. Kita perlu prihatin dan menghulur tangan membantu mereka yang terjejas akibat kegawatan ekonomi sekarang. 

PELUANG MENINGKAT KEUPAYAAN SISTEM INDUSTRI

Perubahan besar dalam pengolahan ekonomi akan berlaku akibat krisis kewangan dan ekonomi global dan mungkin akan muncul sistem baru. Jadi amat kritikal Negara membuat persediaan awal untuk menempatkan kedudukan Negara dalam era pascal krisis ini. Perubahan perlu dilakukan dalam sistem industri, pengeluaran dan penghasilan Negara. Kita perlu berdaya kreatif dan inovatif dalam penghasilan barangan yang akan memenuhi permintaan era baru dunia pascal krisis kewangan dan ekonomi global.

Berlainan dengan dekad 30an, ekonomi global hari ini jauh lebih besar dan lebih saling bergantung diantara satu sama lain dengan Negara-negara seperti Brazil, China, India, Timur Tengah selain Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah yang berjumlah jutaan pengguna baru berpendapatan menengah. Keutamaan harus juga menjurus kepada peneguhan dan peningkatan penerokaan perdagangan di rantau tersebut.

Kemelesetan ekonomi membuka peluang melabur dalam industri baru yang menggunakan proses dan teknologi terkini yang lebih berkesan dan “Cost Effective”. Ini bagi memulih dan memodenkan sistem industri dan perusahaan.

Ransangan yang diperkenalkan oleh Obama mungkin boleh buat kita ambil petunjuk. Penumpuan untuk meningkatkan penggunaan dan pengenalan teknologi-teknologi terbaru yang telah dan sedang diuji di universiti-universiti dan pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan.

Mereka menyedia iklim menarik untuk memperkenal teknologi, proses dan cara baru dalam usaha meningkat kecekapan ekonomi, mengurang kos dan pergantungan kepada factor luar. Ini dapat dilihat dalam penggunaan ‘tenaga hijau’ dan kenderaan hybrid di Amerika Syarikat dan Jepun.

Dana Khas perlu disediakan bagi memodenkan sistem industri untuk mengganti atau melupuskan aspek-aspek dan proses-proses yang membebankan sistem industri dalam kemelesetan ekonomi ini terutama industri kecil dan sederhana. Dengan ini kita dapat memperkenal innovasi dan daya kreatif baru dalam ekonomi agar lebih kompetitif menjelang era baru ekonomi global yang akan muncul 3 tahun dari sekarang.

Malaysia terlalu bergantung kepada tenaga pekerka asing dalam penjanaan sistem industri menyebabkan ekonomi kita tidak lagi kompetitif. Ini membebankan  Negara kerana terpaksa menanggong kos sosial dalam bentuk faedah pemberhentian kerja dan sebagainya.  

BERI KEUTAMAAN DALAM MEMPERKASA INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA

Kerajaan perlu memberi keutamaan dalam pembangunan industri kecil dan sederhana kerana menyedari peranan penting mereka dalam ekonomi Negara.  Masalah yang dihadapi oleh industri kita ialah Tidak kompetitif berbanding Taiwan dan Korea, Terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing yang murah untuk pengeluaran, Usaha berterusan majikan memberi gaji murah menyebabkan rakyat Malaysia tidak lagi berminat dalam kerja perkilangan, Tidak bersedia melabur dalam peralatan dan proses moden,Tidak mengguna penyelidikan dan pembanguanan bagi menjana barangan baru yang mendapat permintaan ekonomi dunia.

KAJI SEMULA SISTEM CUKAI

Kerajaan perlu mengurangkan cukai perseorangan dan korporat atau sekurang-kurangnya menggantung atau menghapus segala cukai yang menghalang kegiatan perniagaan dan perkembangannya. Kemelesetan ekonomi menyebabkan pengucupan kegiatan ekonomi menjadikan sistem cukai sekarang tidak lagi sesuai. Amerika Syarikat sedang mempertimbang perubahan besar dalam struktur cukainya dalam usaha meletakkan lebih banyak wang dalam tangan pekerja daripada cukai. Malaysia perlu melakukan pekara yang sama.

Cukai korporat dan perseorangan perlu dikurangkan bagi menggalak industri dan perusahaan membuat pembaharuan dan pemodenan dan mengolah semula pengeluaran untuk barangan baru kepada sekurang-kurangnya 20% dalam masa 2 tahun dari 25% sekarang ini.  Beberapa cukai termasuk duti stem, cukai jualan, cukai eksport dikurangkan atau digantung sementara waktu untuk sekurang-kurangnya 3 tahun untuk memberi ruang  kepada ekonomi bernafas. 

KAJI SEMULA KONSESI TOL DAN TARIF

Kerajaan perlu mengkaji semula kesemua konsesi toll  dan tariff-tariff yang terlalu membebankan pengguna. Pemegang-pemegang konsesi Toll dan IPP tidak terjejas kepada kemelesetan ekonomi kerana dijamin kerajaan penggunaan hasil dan perkhidmatan mereka semaada diguna atau tidak. Mereka tidak sepatutnya mengaut keuntungan sebegitu tinggi sedangkan rakyat dan peniaga menderita akibat kemelesetan ekonomi.

PROJEK-PROJEK YANG PERLU DIUTAMAKAN

Isu utama berapa besar program pembangunan, dimana dan sektor apa yang patut dibelanjakan untuk memberi impak maksima kepada ekonomi. Lebih banyak lebuhraya bertol bukan jawapannya. Negara memerlukan pengangkutan Bandar baru dan moden. Kerajaan patut mengambil kesempatan memulakan fasa pertama dalam sistem pengangkutan Bandar di Bandar-bandar utama.

Inilah masanya kerajaan menyedia peruntukan untuk projek-projek mengatasi banjir dan banjir kilat, memoden prasarana sistem industri dan perusahaan, infrasruktur penyediaan air bersih, memodenkan sistem pendidikan, melatih semula kemahiran pekerja mengikut kehendak pasaran semasa, menyedia latihan dan pengalaman kerja kepada penganggur, memperkasa hasil penyelidikan dan pembangunan, membina perumahan untuk golongan berpendapatan serdahana dan rendah, sistem pengairan untuk pertanian dan ternakan, membuka kawasan-kawasan baru untuk pertanian dan penternakan, membangun kawasan rekreasi dan pelancongan dan pelbagai lagi yang bukan sahaja membuka peluang pekerjaan tetapi juga memberi menafaat besar kepada rakyat dan ekonomi negara.

SYABAS UNTUK KERAJAAN SELANGOR

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan Negeri Selangor yang memulakan langkah berani dan kehadapan yang mewajibkan semua exco-exco nya mengisytihar pendapatan dan harta mereka kepada kerajaan. Malah pendapatan dan harta mereka boleh dilihat oleh seluruh rakyat melalui laman web rasmi kerajaan Negeri Selangor. Ini merupakan langkah permulaan untuk menegakkan sebuah kerajaan yang bersih, telus dan berwibawa  agar apa yang cuba dilaksanakan demi menangani kegawatan ekonomi hari ini terlaksana.

Dalam menangani kegawatan ekonomi global, Kerajaan Selangor juga telah menyedia pakej rangsangan nya tersendiri untuk menjana pertumbuhan ekonomi seperti membaik pulih dan membersih Sungai Kelang, memperluas sistem pengangkutan awam Selangor, mengambilalih asset air oleh Pengurusan Asset Air Berhad, pembangunan semula kawasan perumahan orang miskin Bandar, dan menghidupkan semula projek-projek terbengkalai.  

RUMUSAN

Istilah perennial gale of creative destruction yang digunakan oleh Joseph Schumpeter sesuai untuk kita nukilkan kembali untuk mengembalikan keyakinan kita serta menggembeleng usaha melakukan yang mendasar ataupun sistemik di negara ini.

Kita  mesti bersedia untuk memanfaatkan kegawatan yang ada ini untuk menolak rasuah, penyelewengan, kesediaan memberikan projek kepada keluarga dan rakan-rakan. Inilah masanya kita mengangkat semula ekonomi berdasarkan kepada pertimbangan yang lebih rasional, yang lebih telus dan lebih bertanggungjawab.

Friedrich Hayek tatkala menyampaikan ucapan hadiah Nobel ekonominya, ‘The Pretence of Knowledge’, menyatakan kalau tidak kita terima dan sedia belajar bahawa pengurusan ekonomi itu begitu kompleks dan pengetahuan asas itu sangat penting. Bagaimana kepintaran kita merangka tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah kalau kita tidak cepat membuat beberapa penyesuaian mengikut persekitaran semasa.

“He will therefore dengan izin have to use what knowledge he can achieve, not to shape the results as the craftsman shapes his handy work but rather to cultivate a growth by providing the appropriate environment in the manner in which the gardener does this for his plants.”

Kita sedang berdepan dengan krisis kewangan dan ekonomi yang besar. Bagi semua penganalisis tanpa pengecualian dari yang pemerintah dan yang di peringkat swasta, institusi kewangan tempatan dan luar negara dan antarabangsa, tanpa kecuali mengatakan bahawa dalam keadaan sekarang, masa terdekat mungkin satu atau dua tahun lagi, tidak ada ekonomi yang mungkin selamat.

Persoalan yang harus diberi perhatian ialah ketelusan dan pertanggungjawaban institusi serta memecahkan tembok psikologi rakyat terbanyak, peniaga juga pelabur agar yakin dengan pengurusan ekonomi negara. Ini ditegaskan oleh ahli ekonomi terkemuka Amartya Sen yang mengutip pandangan Arthur Cecil Pigou, “One of the problems…arising from financial mismanagement and other transgressions, has become many times magnified by a psychological collapse.”

Justeru itu harus ada sesuatu pendekatan yang lebih kreatif, berani dan semestinya Perubahan yang menyeluruh bagi menangkis krisis ini serta keupayaan untuk bangkit kembali menjana kegemilangan negara.