Skip to main content
Penerbitan

Wawancara The Malaysian Times bersama Nurul Izzah Anwar

By 24 September, 2012February 18th, 2020No Comments

September 21, 2012

KUALA LUMPUR, 21 Sept : Naib Presiden KeAdilan (PKR ) dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini sekali lagi mencabar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berdebat berkaitan berhubung isu skim pembiayaan khas menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan masyarakat umum mengetahui isu sebenar penggunaan dana tersebut.

Katanya, sehingga kini tiada jawapan yang diberikan oleh Nong Chik dalam usaha membela rakyat berpendapatan rendah sekaligus membantu golongan miskin bandar memiliki rumah.

“Matlamat skim pembiayaan khas itu iaitu memastikan warga miskin bandar memiliki perumahan. Beliau ambil RM300 juta dengankadar pinjaman 5.5 peratus, pinjaman kepada warga kota untuk beli rumah PPR tapi mereka dicaj kadar faedah sebanyak 6.5 peratus iaitu satu peratus masuk Yayasan Wilayah Persekutuan.

“Saya syorkan kita boleh ikut negara-negara lain iaitu tiada caj faedah yang dikenakan kerana mereka miskin. Bukan kita kata, dapat rumah percuma atau sebagainya, mereka bayar, tapi tak kan lah mahu dicaj kadar bunga sedangkan Datuk Seri Shahrizat Jalil dengan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dapat dua peratus.Ini sememangnya tidak masuk akal,”katanya dalam satu temubual eksklusif bersama The Malaysian Times (TMT) di sini hari ini.

Nurul Izzah menambah, Nong Chik pernah menyatakan di Parlimen bahawa penduduk di Wilayah Persekutuan tidak mempunyai sebarang masalah untuk membayar perbezaan caj sebanyak RM85 dan perkara ini diulas tanpa sebarang maklum balas daripada penduduk kawasan tersebut.

“Saya tahu warga PPR mempunyai masalah dengan perbezaan caj yang dikenakan kerana gaji mereka pun tidak seberapa. Jadi saya fikir melalui jawapan-jawapan ini dan saya cabar, kalau beliau rasa cadangan-cadangan beliau lebih baik, ok..kita debat. Isu ini sahaja. Tapi sampai hari ini belum lagi berani untuk sahut cabaran saya,” jelas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Februari lalu, Nong Chik menyatakan hasrat untuk berdebat dengan tiga Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat iaitu Nurul Izzah, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Dr Dzulkefly Ahmad, wakil rakyat kerusi Kuala Selangor berhubung isu penggunaan dana KWSP.

Ketiga-tiga ahli pembangkang itu kemudiannya menyatakan persetujuan menyertai debat tersebut namun, cabaran yang dilaungkan oleh Nong Chik sehingga kini dilihat seperti pepatah melayu ‘berkokok di luar gelanggang, bila ke tengah menyusup di bawah kelengkang’.

Skim Pembiayaan Khas ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Januari lalu, yang mana skim berkenaan bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sekitar 25,000 bakal pembeli telah diberikan surat tawaran oleh DBKL dan pembiayaan sepenuhnya kepada rumah yang dianggarkan bernilai antara RM21,500 dan RM35,000, akan diberikan kepada mereka oleh KWSP.

Sedia bertanding dengan Nong Chik

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga menyatakan bahawa beliau mengalu-alukan Nong Chik untuk bertanding pada PIlihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di Lembah Pantai dan yakin pencalonan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu tidak akan memberi kesan kepada prestasi khidmat beliau di kawasan tersebut.

Nurul Izzah berkata, PR tetap akan memberi khidmat terbaik kepada penduduk di kawasan Lembah Pantai meskipun menerima tentangan hebat daripada pihak-pihak tertentu.

“Saya masih menunggu beliau mengumumkan dirinya sebagai calon tapi beliau belum buat lagi.saya masih menunggu; baiknya Menteri Wilayah memberi khidmat di Lembah Pantai . Rasa tersentuh jiwa sekiranya beliau bertanding,” ujarnya sinis.

Ditanya lanjut sama ada pencalonan Nong Chik akan memberi kesan kepada pengundi di kawasan Lembah Pantai yang dipimpin mereka, Nurul Izzah berkata ia bukan hanya melibatkan calon kawasan berkenaan.

“Kami (PR) buat apa yang kita mampu dan kita ambil maklum balas dengan positif. Kami akan cuba pastikan apa yang diminta oleh penduduk dan rakyat dapat dipenuhi dari masa ke semasa.

“Tapi malangnya apa yang kami lakukan tidak mendapat liputan media bahkan ada arahan sehingga gambar dan berita saya dipadam. Namun, itu tidak menghalang untuk saya berjuang untuk penduduk Lembah Pantai dan paling penting penduduk di kawasan ini mempunyai seorang wakil rakyat yang tidak takut bersuara,” katanya.

Perbezaan kepimpinan Nong Chik dan Shahrizat

Selain mengulas lanjut mengenai kerjaya politiknya, TMT turut meminta pandangan Nurul Izzah mengenai perbezaan kepimpinan Nong Chik dan bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil .

“Saya letakkan begini, kedua-duanya Menteri. Shahrizat menteri ketika itu dan menteri yang dipilih, kemudian dilantik sebagai Senator. Pun begitu, saya tidak dihalang daripada segi tekanan diberikan dari agensi kerajaan, masjid-masjid, banner saya tidak dikoyak, dirobek dengan kasar dan sebagainya.

“Tapi ini semua berlaku di bawah pimpinan Nong Chik. Jadi saya tertanya-tanya, termasuklah serangan malam berdarah di Lembah Pantai. Batu dibaling, serangan dan sebagainya,” kata Nurul Izzah.

Nurul Izzah berkata, sebagai ahli politik, pemimpin perlu bertarung secara professional dan bukannya menggunakan taktik kotor mahupun melemparkan berita-berita retorik terhadap pesaing masing-masing.

“Daripada sudut pandangan saya , Nong Chik terlalu ghairah menyalahgunakan kuasa. Ini kerana, semasa kepimpinan Shahrizat saya diberi kebebasan untuk berceramah, berkempen atau sebagainya namun di bawah kepimpinan Nong Chik, dewan pun saya tidak boleh gunakan. Keputusan bukan dibawah DBKL dan saya tahu arahan keluar dari siapa.

“Atas sebab itu saya nampak Shahrizat lebih berpengalaman meskipun terdapat kontroversi lain mengenai beliau. Saya hargai Shahrizat kerana beliau bersikap professional dalam pertarungan politik. Dalam politik, kita wajib ada padang sama rata. Jangan kita takutkan orang mahupun penduduk tempatan,” jelas Nurul Izzah.

Dipetik dari The Malaysian Times:
http://www.themalaysiantimes.com.my/wawancara-tmt-bersama-nurul-izzah-anwar